Bilangan Pengunjung:

Tuesday, December 16, 2008

P036 Kuala Terengganu Milik Siapa?

Penulis jangkakan sudah ramai dari rakyat Malaysia yang mengetahui tentang apa yang akan berlaku pada awal Januari 2009 akan datang, kalau ada yang masih tidak mengetahui mungkin mereka tidak mengikut perkembangan masa ataupun tidak cukup masa untuk menonton berita-berita di saluran-saluran TV mungkin juga kerana mereka terlalu alpa dan leka menonton rancangan-rancangan hiburan yang bersepah disiarkan oleh stesen-stesen tv untuk melalaikan rakyat Malaysia, tetapi bukan ini perkara yang penulis ingin bincang pada hari ini, apa yang penulis maksudkan ialah Pilihan Raya Kecil (PRK) P036 Kuala Terengganu yang bakal dilangsungkan pada Awal Januari 2009 kelak.

Penulis percaya ramai juga di kalangan rakyat Malaysia yang sedang bermain teka-teki tentang siapa yang bakal menerajui P036 Kuala Terengganu tersebut selepas wakilnya sebelum ini kembali ke Rahmatullah dan diklasifikasikan sebagai 'kematian mengejut' . Pastinya rakyat Malaysia amnya dan Rakyat Terengganu khasnya ternanti-nanti P036 Kuala Terengganu ini akan menjadi milik siapa.

Barisan Nasional masih lagi menguasai Terengganu walaupun 'dikejutkan' dengan kehilangan beberapa buah negeri pada Pilihan Raya Umum 12 pada Mac yang lalu. Ramai yang berpendapat kejayaan Barisan Nasional terus memerintah Terengganu ialah disebabkan oleh kebijaksanaan Menteri Besar yang lalu yang juga Pengerusi BN Negeri yang lalu iaitu Datuk Seri Idris Jusoh. Ketokohan beliau menyebabkan rakyat Terengganu masih yakin untuk memilih Barisan Nasional memerintah Terengganu.

Pilihan Raya Kecil P036 Kuala Terengganu ini agak menarik memandangkan ia merupakan pilihan raya kecil pertama bagi Menteri Besar Terengganu yang baru iaitu Datuk Ahmad Said, pada masa ini kehebatan Datuk Ahmad Said bakal diuji pada PRK kali ini. Kalah dan Menang menjadi penentu adakah Datuk Ahmad Said diterima atau tidak oleh rakyat Terengganu sebagai MB Terengganu yang baru.

Setakat ini tiada lagi Pembaharuan atau sesuatu yang boleh membanggakan rakyat Terengganu yang dibuat oleh Datuk Ahmad Said, apa yang jelas kelihatan ialah daerah Kemaman sudah makin menonjol seolah-olah zaman pemerintahan Wan Mokhtar bakal berulang yang mana pada masa itu Kemaman lebih berbanding ibu negeri terengganu iaitu Kuala Terengganu, Adakah rakyat Terengganu khasnya di kawasan Kuala Terengganu mahu zaman Wan Mokhtar berulang? Terserah kepada mereka kita tunggu dan lihat sahaja.

Cabaran Penulis Terhadap Datuk Ahmad Said

Penulis pada hari ini ingin mencabar Datuk Ahmad Said sebagai MB Terengganu dan juga Pengerusi BN Negeri sekarang, sekiranya Barisan Nasional gagal mempertahankan P036 Kuala Terengganu, beliau hendaklah bertanggungjawab dan meletak semua jawatan yang disandangnya termasuklah Menteri Besar kerana beliau sememangnya perlu bertanggungjawab.

Cabaran ini dibuat oleh penulis adalah kerana untuk memastikan agar Datuk Ahmad Said dapat menguruskan Terengganu dengan lebih hebat berbanding Menteri Besar Terengganu yang sebelumnya, pada pengamatan penulis zaman beliau jauh lebih teruk berbanding zaman Menteri Besar sebelumnya, peningkatan kadar kemiskinan rakyat Terengganu juga agak membimbangkan di samping pertelingkahan Kerajaan Negeri dengan sebuah pasaraya terkemuka juga boleh memberi kesan negatif kepada negeri Terengganu dan juga Rakyat Terengganu khasnya.

Peluang 50-50

Penulis menjangkakan peluang untuk Barisan Nasional ataupun PAS untuk memenangi PRK kali ini ialah 50-50, ini adalah berdasarkan kepada di pihak Barisan Nasional ada mempunyai masalah dalaman, malah di pihak PAS juga mengalami masalah dalaman seperti mana yang kita tahu dua puak terbesar di dalam PAS memang tidak sehaluan iaitu Geng Ulama' dan Geng Professional.

Jadi dengan ini penulis menjangkakan kedua-dua belah pihak mempunyai peluang tipis untuk memenangi PRK kali ini, dan siapa yang berjaya menguasainya pun dengan majoriti yang agak tipis selagi kedua-dua belah pihak tidak menyelesaikan krisis dalaman mereka. Jadi nantikan PRK P036 Kuala Terengganu dengan penuh sabar.
Reblog this post [with Zemanta]

No comments:

Blog Widget by LinkWithin