Bilangan Pengunjung:

Showing posts with label Abdullah Haji Ahmad. Show all posts
Showing posts with label Abdullah Haji Ahmad. Show all posts

Wednesday, September 3, 2008

Kejadian yang tak pernah berlaku sebelum ini!

Laporan Utusan Online:

Ketua UMNO cawangan parah disimbah asid

03/09/2008 3:39pm

KOTA BHARU 3 Sept. – Ketua UMNO Cawangan Limau Manis, Datuk Azaha Abdul Rani, cedera parah disimbah asid oleh seorang lelaki yang tidak dikenali, di perkarangan rumahnya di Kampung Chekok, Panji, dekat sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, Azaha, 48, yang mengalami lecur di muka dan badan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan keadaannya dilaporkan stabil.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner II, Amir Hamzah Ibrahim berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dan isterinya keluar dari kereta sebaik tiba di rumah.- Utusan.


Laporan di atas adalah merujuk kepada perkara yang sebelum ini tidak pernah terjadi dalam tahun-tahun sebelum ini. Sebelum laporan di atas sudah ada seorang yang mati ditembak yang juga daripada UMNO. Kadang-kadang terfikir juga adakah politik Malaysia telah beredar ke era keganasan?

Apa yang menghairankan penulis, perkara tersebut tidak pernah berlaku semasa era pemerintahan empat Perdana Menteri sebelum ini. Tambah menarik pula perkara ini berlaku selepas kontroversi kenyataan Ketua UMNO Bukit Bendera yang di sama ertikan sebagai "perkauman" oleh bangsa lain terutamanya bangsa cina.

Kadang-kadang terbayang juga pada penulis apa bangsa lain akan kata sekiranya Melayu berkata itu adalah perbuatan 'perkauman' yang dilakukan oleh bangsa lain terhadap bangsa Melayu, sudah tentu Melayu akhirnya akan tetap dipersalahkan dan dilabel "perkauman", namun bukanlah niat penulis untuk meniup semangat "perkauman" di kalangan rakyat Malaysia khasnya Melayu cuma penulis ingin sedarkan sedikit bangsa lain kenapa Melayu sering dipersalahkan sedangkan Melayu telah banyak berkorban untuk bangsa lain, sebagai contoh pengorbanan paling besar Melayu ialah tidak begitu melulu menggunakan perundangan Islam di Malaysia sehinga Melayu terpaksa berbalah sesama Melayu sampai sekarang tidak padam-padam perbalahan itu.

Namun, bukanlah penulis mempunyai niat untuk memperkatakan insiden-insiden yang berlaku itu bermotifkan perkauman, namun kemungkinanya tetap ada.

Di samping itu, kebarangkalian insiden-insiden yang berlaku itu ada kaitan dengan PEKIDA ada juga kemungkinanya. Mungkin ramai yang tidak tahu kalau di Kelantan orang yang menjadi ahli PEKIDA adalah orang yang tidak mahu keretanya ditarik kiranya 'terlekat hutang' atau dengan kata lain PEKIDA ada kaitan dengan 'penarik kereta' atau dengan ungkapan yang lebih tepat lagi PEKIDA ada kaitan dengan samseng.

Penulis juga tidak menolak kemungkinan, insiden-insiden tersebut ada kaitan dengan pemilihan UMNO yang sedang rancak berlaku pada masa ini, mungkin juga lawan-lawan mereka tidak senang dengan kedudkan mereka pada masa ini.

Boleh jadi juga ia adalah bertujuan untuk menakut-nakutkan para perwakilan yang bakal memilih orang yang tidak dikehendaki mereka dan mempertahankan orang yang mereka kehendaki.

Jika benar, kenapa "Wild Politic" ini sudah nampak seperti menjadi-jadi dan menguasai pentas arena politik tanah air, bagi ahli-ahli UMNO cuba fikirkan sejenak kenapa perkara seumpama ini tidak berlaku di zaman presiden-presiden UMNO yang sebelum ini.

Penulis ingin mendesak supaya 'wild politic' ini dibanteras dengan seberapa segera sebelum luka kecil bertukar menjadi luka yang parah, dan apa yang penulis kesalkan kenapa tiada 'kenyataan' yang dikeluarkan oleh Presiden UMNO pada masa ini berhubung isu tersebut? Adakah kerana ianya ada kaitan dengan Presiden UMNO?.


Baca Lagi!

Friday, August 29, 2008

BAJET "KERAJAAN PRIHATIN" ATAU "BAJET PRIHATIN KEDUDUKAN PAK LAH"

Pada artikel kali pertama penulis mengenai Bajet yang dibentangkan oleh DS Abdullah Ahmad Badawi yang terkenal sebagai Perdana Menteri yang mempunyai pembantu khas yang bergelar 'Menantu' iaitu tidak lain dan tidak bukan Khairy Jamaluddin, tetapi kali ini penulis tidak berminat bercerita mengenai Khairy Jamaluddin seorang Graduan Oxford tetapi penulis lebih berminat untuk bercerita mengenai Bajet 2009 yang dibentangkan oleh PM yang kuat tidur Abdullah Ahmad Badawi.

Seperti yang penulis jangkakan sebelum pembentangan Bajet 2009 petang tadi yang kemungkinan banyak gula-gula diberikan kepada rakyat bagi bukan sahaja mempertahankan jawatanya sebagai Perdana Menteri malah beliau juga ingin mempertahankan jawatan Presiden UMNO yang disandangnya sekarang dan kononya 'akan melepaskan jawatan itu pada tahun 2010'. Kedudukan Abdullah Haji Ahmad memang amat membimbang apatah lagi beliau mungkin terpaksa hadapi pertandingan dua penjuru untuk jawatan yang disandangnya iaitu Presiden UMNO di antara beliau dan YBM Tengku Razaleigh Hamzah kerana aura beliau tidaklah sehebat aura Tun Dr. Mahathir yang penulis lebih gemar memanggilya "Ayahnda Tun" yang berjaya menewaskan pencabar yang sama satu ketika dahulu.

Pengalaman YBM Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali dengan nama Ku Li tersebut di dalam dunia politik, sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada beliau dan beliau juga mungkin sudah arif dengan 'sepak terajang' di dalam Pemilihan UMNO. Ini mungkin membuatkan penyandang presiden 'gugup sedikit' dan gementar untuk menghadapi pertandingan tersebut sehingga mempergunakan bermacam-macam alasan untuk mengelakkan diri dari pertandingan jawatan tertinggi UMNO itu.

Melihat kembali kepada Bajet 2009 yang dibentangkan tadi, penulis merasa nak tergelak apabila Abdullah Haji Ahmad ingin membuat pemansuhan bayaran untuk Bil Elektrik yang berjumlah RM20 ke bawah. Persoalan yang timbul di sini, berapa kerat sangat yang mempunyai bil elektrik yang bernilai RM20 ke bawah kerana kalau kita kira secara 'pukul rata' mengikut tinjauan yang penulis buat terhadap beberapa buah rumah yang berhampiran dengan rumah penulis dan rumah penulis sendiri. Daripada lima buah rumah yang penulis tinjau tidak termasuk rumah penulis penulis tidak jumpa walau satu rumah pun yang mempunyai bil Elektrik RM20 dan Kebawah. Kalau masuk dengan rumah penulis menjadikan enam buah rumah yang penulis tinjau tidak ada satupun yang bil elektrinya berada di dalam lingkungan RM20 ke bawah. Daripada peninjauan penulis rata rumah terpaksa memperuntukkan RM50 ke bawah bagi membiayai bil elektrik rumahnya.

Mengenai "* PENGURANGAN DUTI IMPORT BAGI BARANGAN PENGGUNA (CONTOH: MESIN PENGISAR, PERIUK NASI, KETUHAR GELOMBANG MIKRO DAN CEREK ELEKTRIK) KEPADA ANTARA 5 PERATUS DAN 30 PERATUS DARIPADA 10 PERATUS DAN 60 PERATUS" penulis merasakan ada kejanggalan berhubung dengan perkara ini daripada barang yang disenaraikan hanya dua sahaja yang lazimnya dibeli oleh golongan berpendapatan rendah iaitu Periuk Nasi dan Cerek Elektrik(ada juga golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu menggunakan Periuk Nasi dan Cerek Elektrik memandangkan ia akan menambahkan kos penggunaan elektrik di rumah mereka).

Manakala bagi Ketuhar Gelombang Mikro dan Mesin Pengisar lazimnya hanya dimiliki oleh mereka yang berada sahaja jarang sangat golongan yang berpendapatan rendah yang membeli alat-alat elektrik ini.

Mengenai Kakitangan Awam pula yang bakal diberikan bonus sebulan gaji atau Minima RM1000 yang dibayar dua kali penulis merasakan sepatutnya diberikan bonus satu bulan setengah gaji berdasarkan suasana ekonomi di Malaysia yang begitu malap di Malaysia ketika ini. Namun, penulis ingin mempersoalkan kenapa imbuhan-imbuhan lain seperti COLA, dan bermacam-macam elaun lagi tidak mengalami kenaikkan kerana pemberian bonus sahaja belum cukup kerana ia boleh diibaratkan sebuah kapal besar yang dipenuhi 'lubang-lubang bocor' hanya beberapa lubang sahaja yang ditampal, kesanya kapal besar itu akan tenggelam juga lambat laun.

Mengenai sektor Pengajian Tinggi, sepatunya kerajaan memberi insetif khas kepada siswa-siswa yang sedang menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi kerajaan dan swasta, tidak perlu banyak RM300 sebulan pun dah cukup untuk menampung kos sara hidup mereka sewaktu melanjutkan pelajaran di institusi-institusi tersebut.

Selain itu, penambahbaikan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) sepatutnya dititik beratkan oleh kerajaan demi mewujudkan pendidikan swasta kelas Pertama di Malaysia. Kerajaan sepatutnya membantu IPTS yang sudah terkenal seperti Universiti Tun Abdul Razak untuk mempertingkatkan mutu dan kualiti pembelajaran di Universiti Virtual pertama di Malaysia yang dikawal selia oleh Yayasan PINTAR yang dikelolai oleh Timbalan Perdana Menteri sendiri iaitu DS Najib Tun Abdul Razak.

Penulis merasakan setakat ini sahaja komen penulis mengenai Bajet 2009 yang dibentangkan oleh Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen petang tadi. Mungkin pembaca akan berselisih pendapat dengan penulis, namun perlulah ingat perselisihan pendapat itu perkara biasa. Penulis selaku rakyat Malaysia berhak memberi pandangan penulis mengenai bajet tersebut.

Baca Lagi!

MENANTI BAJET "KEMPEN" PAK LAH !

Hari ini 29 Ogos 2008 dijadualkan pembentangan bajet akan dilakukan oleh Perdana Menteri Berlagak Alim DS Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen. Pembentangan itu katanya akan disiarkan secara langsung menerusi RTM1 bermula pada pukul 3.30 petang ini. Penulis menjangkakan "Bajet" kali ini ada keistimewaanya memandangkan bukan sahaja kedudukan Barisan Nasional tergugat malahan kedudukan Jawatan Abdullah Haji Ahmad juga tergugat walaupun jika DS Anwar Ibrahim Imam Besar Mazhab Masyarakat Madani gagal menjatuhkan kerajaan yang diketuai Abdullah, beliau juga terpaksa menghadapi kemungkinan hilang jawatan melalui dalam UMNO sendiri apabila beliau bakal ditentang oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan Presiden UMNO yang mana secara 'pukul rata' Jawatan Perdana Menteri akan disandang oleh Presiden UMNO.

Mungkin banyak gula-gula akan diberikan melalui bajet yang disifatkan oleh sebuah organisasi penyelidikan ekonomi sebagai "Bajet Popular", namun penulis lebih suka dengan mengistilahkan bajet ini sebagai "Bajet Kempen Pak Lah" untuk mempertahankan jawatanya sebagai Perdana Menteri dan jawatan menantunya yang merupakan Pembantu Khas Abdullah Ahmad Badawi yang mempunyai kuasa lebih besar daripada PM.

Gula-gula itu akan digunakan untuk menambahkan lagi sokongan terhadapnya dan memperkukuhkan lagi jawatanya sebagai Perdana Menteri yang memegang jawatan Presiden UMNO. Penulis harapkan agar rakyat tidak tertipu dengan 'bajet kempen' Abdullah Ahmad Badawi yang terkenal dengan kebaikan luaranya dalaman mungkin anda tidak tahu.

Beliau lebih suka untuk mempertahankan jawatanya daripada memberi kesenangan kepada rakyat. Beliau juga lebih suka memberi kesenangan kepada menantunya daripada memberi kesenangan kepada rakyat dan jika dia memberi sedikit kesenangan kepada rakyat sudah tentu ada makna yang tersirat disebaliknya.

Penulis juga ternanti-nanti apakah gula-gula yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri yang bernama Abdullah Haji Ahmad, rakyat betul-betul tertindas dan tertekan semasa era pemerintahanya, namun penulis juga berharap di dalam keghairahan beliau mempertahankan jawatan jangan nanti jawatan itu bertukar menjadi jawatan Ketua Pembangkang kerana pada waktu itu menangis air mata darah pun tiada guna lagi.

Baca Lagi!

Thursday, July 10, 2008

Peralihan Kuasa Antara Realiti dan Fantasi

Hari ini diberitakan bahawa tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merangkap Bapa Mertua Khairy Jamaluddin kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan dijalankan pada Jun 2010 kononya. Persoalan yang timbul ialah adakah pengumuman tarikh peralihan kuasa ini sekadar omongan kosong atau 'helah bela diri' Abdullah sahaja untuk memperbaiki kedudukan kuasanya sebagai Perdana Menteri.

Jun 2010 mengambil masa lebih kurang dua tahun lagi untuk menjelma, kalau istilah orang kampung tempoh ini disifatkan 'suatu masa yang agak lama' dan boleh dikatakan risikonya amat tinggi kerana di dalam tempoh tersebut mungkin macam-macam perkara yang boleh terjadi kerana kita sebagai manusia biasa hanya mampu merancang tetahi Allah tuhan seru sekian alam yang menentukan, memang betul esok masih ada namun kita tidak tahu esok milik siapa.

Melihat kembali kepada janji Perdana Menteri mengenai peralihan kuasa akan berlaku pada Jun 2010, sebenarnya 'bibit-bibit' sabotaj sudah mula kelihatan walaupun Datuk Seri Najib Tun Razak masih mempunyai dua tahun untuk Abdullah menyerahkan kuasa padanya beliau telah diserang hebat seolah-olah ia saling berkaitan dengan 'peralihan kuasa' yang kononya akan di adakan pada Jun 2010.

Penulis yakin satu masa nanti serangan ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak akan terus diperhebatkan untuk menjadikan beliau seorang yang 'kotor' dan tidak layak menjadi pengganti Abdullah yang dikatakan bersih dan telus pada mata kasar orang sekaligus Abdullah akan berjaya mempertahankan jawatanya sebagai Perdana Menteri dan risikonya ialah Barisan Nasional akan tewas dengan dasyat pada Pilihgan Raya Umum yang ke 13 nanti dan mungkin pada masa itu Barisan Nasional bukan lagi Kerajaan di Malaysia tetapi sebaliknya menjadi pembangkang.

Penulis juga bersependapat dengan Pandangan Tun Dr. Mahathir mengenai isu peralihan kuasa ini yang disiarkan di dalam blog miliknya iaitu www.chedet.com, pandangan Tun tersebut ada kebenaranya dan penulis menasihatkan ahli-ahli akar umbi UMNO mengambil langkah drastik agar peralihan kuasa ini tidak hanya menjadi fantasi tetapi menjadi realiti.

Cara yang mungkin boleh digunakan oleh ahli UMNO akar umbi ialah pada Pemilihan Agung UMNO pada Disember tahun ini, mereka hendaklah mencalonkan YBM Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Presiden UMNO yang baru menggantikan Abdullah, dan beri peluang kepada YBM Ku Li untuk memperbetulkan keadaan dan selepas keadaan diperbetulkan peralihan kuasa akan diadakan kerana Ku Li lebih dipercayai berbanding Abdullah.

Penulis yakin Ku Li tidak akan memegang jawatan tersebut dalam masa yang lama lambat laun ia akan menyerahkanya pada Datuk Seri najib, tambahan pula hubungan Ku Li dengan Allahyarham Tun Abdul Razak (Ayah DS Najib) sangat akrab dan tidak mustahil dia tidak akan mensia-siakan anak kawan karibnya sendiri. Ini adalah jalan yang terbaik bagi menjadikan peralihan kuasa menjadi realiti dan bukanya sekadar fantasi ataupun sekadar di pinggiran.

Baca Lagi!

Tuesday, July 8, 2008

Benarkah UMNO Bahagian Selangor Sebulat Suara Sokong Abdullah?

Hari ini ada diberitakan bahawa semua UMNO Bahagian Selangor memberi sokongan padu kepada Presiden UMNO 'on duty' Abdullah Haji Ahmad Badawi. Pengumuman ini dibuat oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor iaitu Muhd Muhd Taib yang juga satu-satunya Menteri Kabinet yang tidak tahu berbahasa inggeris.

Persoalanya benarkah semua UMNO Bahagian di Selangor Sebulat suara memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Abdullah Haji Ahmad? Adakah suara Ketua-ketua Bahagian di Selangor mewakili kehendak akar umbi? ataupun ianya hanya mewakili kehendak Muhd Muhd Taib atau lebih tepat lagi Abdullah Haji Ahmad Badawi Pemimpin Berlagak Wara' tetapi tidak Wara'.

Benarkah semua ketua bahagian sebulat suara? Padahal pada masa ini umum mengetahui bahawa ramai juga Ketua Bahagian UMNO Selangor yang tidak bersefahaman dengan Abdullah dan meminta Abdullah berundur tetapi kenapa mereka tiba-tiba berubah? Adakah ada unsur 'ugutan' yang dibuat oleh Badan Perhubungan UMNO negeri ataupun UMNO Malaysia sendiri?

Penulis yakin ada sesuatu yang tidak kena dengan pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu. Sama ada Muhd Muhd Taib memberi kenyataan 'bohong' ataupun kenyataan beliau benar tetapi keputusan itu dibuat melalui paksaan atau arahan-arahan tertentu.

Rata-rata ahli-ahli akar Umbi UMNO di Selangor menolak kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi tetapi kenapa suara mereka tidak dibawa oleh Ketua-ketua Bahagian Masing-masing. Adakah ada unsur 'sekatan' untuk tidak membawa suara-suara mereka?

Budaya 'Voice Block' ini semakin menjadi-jadi semasa pemerintahan rejim Abdullah Haji Ahmad penulis berharap ahli UMNO akar umbi bertindak segera menyampaikan Suara sebenar mereka, beranikan diri untuk menonjolkan suara anda agar rejim Abdullah dapat digulingkan.

Baca Lagi!

Friday, June 6, 2008

Tindakan Tidak Popular Pak Lah Menjahanamkan Populariti UMNO/BN

Datuk Seri Yang Sudah Tiada Seri Abdullah Ahmad Badawi yang selalu sangat membuat tindakan tidak popular, adakah beliau tidak sedar lagi kerana tindakan tidak popularnya itu telah menghakiskan kepercayaan rakyat terhadap UMNO khasnya dan Barisan Nasional Amnya.

Kalau kita pergi balik tindakan DSYSTS Abdullah Ahmad Badawi sebelum Pilihan Raya Umum 12, kita mendapati bahawa Pentadbiran Kerajaan di bawah kepimpinan beliau sering kali mengambil tindakan tidak popular. Pertama sekali membatalkan Projek Jambatan Indah yang sekaligus membuatkan seolah-olah tunduk dengan Singapura.

Yang Keduanya ialah Kenaikkan minyak yang boleh disifat melampau pada sebelum Pilihan Raya Umum yang lalu. Yang Ketiganya ialah Menaikkan harga barang yang juga boleh dianggap tindakan tidak popular. Di tambah lagi dengan kenaikkan harga beras pada bulan ini, yang mana boleh juga tindakan tidak popular. Terbaru sekali Pak Lah juga telah mengambil tindakan tidak popular dengan membuat pengumuman mengejut kenaikkan harga minyak yang terlampau.

Penulis melihat tindakan tidak popular Pak Lah ini lebih kepada tindakan yang bakal menjahanamkan UMNO. Entah apa yang jadi pada Pak Lah di dalam keadaan BN menang dengan hanya majoriti mudah, beliau dengan mudah membuat pengumuman tidak popular, sedangkan di dalam politik Tindakan Popular amatlah penting, apa gunanya telus dan terbuka jika tidak disusuri dengan tindakan.

UMNO sememangnya tidak memerlukan pemimpin yang suka mengambil tindakan tidak popular untuk menjahanamkan populariti UMNO yang kian menyusut sejak kebelakangan ini, sudahlah Pak Lah kami semua sudah bosan dengan anda, muak dan mual apabila mendengar anda berucap di kaca tv yang mengampu anda yang juga merupakan anak seorang ulama, Anak Ulama apakah ini itulah kata "Iman tak dapat diwarisi oleh seorang ayah yang bertaqwa" sememangnya benar.

Baca Lagi!

Wednesday, May 28, 2008

Langkah drastik untuk memastikan kelumpuhan kerajaan autokratik Abdullah.

Kita semua telah banyak membazirkan masa dengan memendam perasaan tidak puas hati terhadap pemimpin autokratik Abdullah Badawi. Ternyata usaha-usaha kita melalui tulisan semata-mata adalah sia-sia belaka.

Tidakkah kita berasa sakit hati mendengar pemimpin-pemimpin UMNO terus menyatakan bahawa ahli-ahli akar umbi terus menyokong UMNO sedangkan kenyataan itu bukanlah kenyataan kita semua? Senario sebegini tidak ubah seperti bangsawan-bangsawan yang terus menyedapkan hati si Raja yang zalim dengan mengkhabarkan si Raja zalim bahawa rakyat kebanyakan masih mencintai si Raja yang zalim itu
.
Apakah kita sanggup untuk terus hidup sebegini sedangkan hati kita membara untuk menjatuhkan si Raja zalim itu? Kita boleh terus menyatakan rasa tidak puas hati kepada saudara-mara mahupun rakan-rakan yang terdekat. Tetapi, apa yang pasti, perubahan tidak mungkin akan berlaku tanpa sebarang usaha.

Dengan itu, saya menyeru orang-orang Melayu yang mencintai UMNO supaya mengambil langkah yang drastik untuk memastikan kejatuhan diktator yang mementingkan diri ini. Dalam merealisasikan hal ini, kita perlulah mengambil contoh dengan mempelajari peristiwa-peristiwa dimana orang bawahan biasa menjatuhkan kerajaan yang tidak mementingkan suara-suara umum.

Kita tidak perlu melihat jauh. Ingatkah kita bagaimana nenek moyang kita pada zaman dahulu bisa menentang Malayan Union? Apakah Malayan Union dapat digagalkan jika nenek moyang kita pada ketika itu terus dengan sikap tidak mengapa? Jika kita telitikan situasi pada hari ini, zaman penentangan Malayan Union tidak banyak berbeza terhadap penentangan ahli-ahli UMNO terhadap rejim Abdullah. Cuma apa yang diperlukan ialah semangat yang tinggi yang dimiliki oleh nenek moyang kita.

Pada zaman pembentukan Malayan Union, Sultan-Sultan telah dipaksa untuk menerima konsep Malayan Union dan Sultan-Sultan ketika itu tidak diberi peluang untuk berbincang. Lebih daripada itu, yang menentang akan diugut untuk digantikan dengan orang yang baru.

Penentangan nenek moyang kita begitu hebat sekali. Mereka telah bersatu untuk melumpuhkan gagasan Malayan Union dengan melakukan mesyuarat diseluruh pelusuk negara. Mereka berpendapat, penyatuan adalah penting untuk melumpuhkan gagasan tersebut.

Telegram dan surat telah dihantar kepada Perdana Menteri dan kerajaan Britania Raya oleh penyokong UMNO dan Sultan-Sultan. Sudah tentu, suara-suara ini tidak dipedulikan. Dengan itu, pada tanggal 1 April 1946, negeri-negeri Melayu diteruskan dengan gagasan Malayan Union. Sungguhpun ianya diteruskan, semangat nenek moyang kita tidak pernah padam. Sebaliknya, semangat mereka yang membara sudah jelas kelihatan. Orang Melayu berkabung dengan memakai tali putih disongkok mereka. Kaum wanita dan anak-anak juga tidak ketinggalan untuk menyatakan sokongan mereka.

Pada hari ini, diktator Abdullah tidak mengendahkan suara-suara akar umbi. Perbincangan untuk kebaikan parti telah diharamkan. Lebih menyedihkan, sebilangan pemimpin-pemimpin tertinggi terus menyatakan sokongan mereka sungguhpun mereka sendiri tidak percaya akan pentadbiran diktator Abdullah. Jika penentangan terhadap Abdullah dilakukan oleh ahli-ahli tertinggi, sudah tentu kedudukan mereka akan tergugat. Dapatkah kita bayangkan apa yang akan terjadi jika Sultan-Sultan ketika itu bersetuju dengan penjajah British dengan alasan untuk menjaga kedudukan masing-masing? Kita sudah lihat dimana ketua-ketua pribumi di New Zealand, Amerika, Kepulauan Pasifik, Afrika sanggup menggadaikan nasib anak bangsa demi menjaga kedudukan mereka yang sementara itu. Kerana tidak berfikir panjang, lihat sahajalah kepada anak-anak mereka pada hari ini. Mahukah kita menjadi seperti mereka?

Kita bersyukur kerana penyebaran maklumat pada hari ini dapat dilakukan dengan jumlah yang banyak dalam masa yang cepat dan menjimatkan. Oleh itu, kita hendaklah memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya. Kita akui bahawa bukan semua mampu mengakses maklumat secara elektronik. Maka, kita juga mempunyai tanggungjawab untuk menyampaikan maklumat kepada kesemua ahli yang tidak mempunyai akses internet. Media massa pada hari ini terus memuji diktator Abdullah. Ini adalah serupa dizaman penjajah dimana media ketika itu dikawal kerajaan British. Tetapi propaganda-proganda British pada waktu itu terus kalah dengan penerbitan-penerbitan akhbar yang membakar semangat orang-orang Melayu.

Apa lagi yang dapat membakar semangat ahli akar umbi untuk menggulingkan diktator Abdullah? Kerana apa yang kita perlukan hari ini ialah api semangat untuk menerangi perasaan kita yang kecewa. Contohnya, kita dapat menjalankan perhimpunan yang disertakan dengan ceramah-ceramah yang membakar semangat. Pada waktu yang sama, kita bolehlah menjual barang-barang yang mempunyai slogan anti Abdullah seperti sticker, t-shirt, bendera, sepanduk, poster dan sebagainya.

Kita akui bahawa bukan semua pemimpin-pemimpin tertinggi adalah pembodek diktator Abdullah. Pemimpin-pemimpin ini haruslah disokong kerana mereka sanggup menentang diktator Abdullah sungguhpun kemungkinan besar mereka akan ditangkap dan dizalimi. Oleh itu, kita perlulah menyokong pemimpin-pemimpin ini kerana mereka mengutamakan nasib anak bangsa lebih daripada kedudukan sendiri. Bagi yang tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pembodek-pembodek diktator Abdullah, kita perlu berdepan dengan pembodek-pembodek ini dengan mencabar kenyataan-kenyataan mereka. Jika diktator Abdullah melakukan sidang media, kita hendaklah sama-sama menuju ke majlis tersebut dengan memegang sepanduk yang menyatakan rasa tidak puas hati. Kita juga boleh melakukan perkara yang sama jika media menerbitkan kata-kata yang memuji diktator Abdullah.

Marilah kita sama-sama memberi cadangan akan bagaimana kita dapat melumpuhkan diktator Abdullah. Cadangan-cadangan yang diberikan diatas mungkin berbunyi tidak matang, tetapi apakah nenek moyang kita tidak matang jika mereka menjalankan perhimpunan, memakai tali putih disongkok, menulis sepanduk penentangan dan sebagainya?

Perlu diingatkan bahawa kita semua sudah pasti akan memikirkan akan ditangkap polis dan sebagainya. Kita semua tidak perlu gentar untuk berhadapan ini semua kerana pemerintah-pemerintah akan menggunakan kuasa ini bagi mengekalkan kedudukan mereka. Perarakan beramai-ramai dapat menjalinkan semangat setiakawan untuk terus menggulingkan pemerintahan autokratik Abdullah. Marilah kita sama-sama memikirkan cara untuk menggulingkan diktator Abdullah dan bertindak secepat mungkin. Kita perlu terus menjatuhkan pemerintahan autokratik Abdullah sebagai nenek moyang kita terus memberikan tekanan kepada British sungguhpun Malayan Union telah dilaksananakan.

dipetik dari:
http://www.mykmu.net

Baca Lagi!

Wednesday, May 21, 2008

Tun Dr. Mahathir Keluar UMNO kerana dicabar ahli PAS?



Penulis ada membaca blog milik Mohd Sayuti Omar yang turut dikenali dengan nama MSO, bloh yang bernama Merah Tinta MSO itu mendakwa di dalam artikelnya yang bertajuk "PAS perlu waspada dengan Tun Dr. Mahathir" yang keluarnya Tun Dr. Mahathir daripada UMNO adalah atas desakkan ahli PAS yang juga merupakan bekas calon PAS dun kota seputeh di dalam pilihan raya yang lalu. Ahli PAS yang dimaksudkan bernama Ismail Wan Teh yang telah mencabar Tun Dr. Mahathir supaya keluar UMNO.

Beberapa minit kemudian Tun Dr. Mahathir mengistiharkan beliau keluar UMNO dan akan terus berada di luar UMNO selagi kepimpinan UMNO kekal di bawah kekuasaan Abdullah Haji Ahmad "Saya masih perdana menteri" "Kerajaan saya kerajaan kuat cuma tak cukup lapan sahaja untuk majoriti 2/3, menantunya dan konco-konconya.

Penulis tidak pasti sejauh mana kebenaran cerita yang diceritakan oleh MSO ini atau adakah ianya hanya strategi MSO untuk menjatuhkan maruah Tun Dr. Mahathir bagi bermaksud untuk mengekalkan kepimpinan Abdullah Haji Ahmad, menantu dan konco-konconya supaya senang Anwar Ibrahim yang selalu dipujanya dapat membuat rampasan kuasa sekiranya kepimpinan bergaya perempuan seperti mana BJ Habibie di Indonesia ini diteruskan

Penulis tidak suka membuat spekulasi, bagi penulis apa yang penulis tak tahu tetapi penulis yakin Allah tuhan seru sekian alam pasti mengetahuinya. Jadi kita nantikan apa penjelasan daripada Tun Dr. Mahathir bin Mohammad berkenaan spekulasi yang ditimbulkan oleh MSO ini.

Baca Lagi!

Peralihan Kuasa Perlulah Secara Demokrasi

Selepas Tun Dr. Mahathir membuat pengumuman keluar UMNO beberapa hari lalu diikuti dengan Tan Sri Sanusi Junid dan juga anak kepada Tun Dr. Mahathir iaitu Mokhzani Mahathir serta Mukhriz yang akan terus berada di dalam UMNO dengan syarat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan dengan segera. Penulis meramalkan sekiranya desakkan dua beranak ini menjadi kenyataan sudah tentu akan ada peralihan kuasa daripada Abdullah Haji Ahmad kepada Najib Tun Razak.

Penulis merasakan peralihan kuasa secara ini tidak berapa sesuai memandangkan ia tidak akan wujud keadilan dan di mana mungkin akan mengecewakan orang yang berkempen kuat sebelum ini untuk mengambil alih jawatan Presiden UMNO itu. Cuba bayangkan jika seseorang itu sudah menghabiskan masa dan tenaga untuk menduduki jawatan tertinggi di dalam UMNO itu, tiba-tiba terpaksa mensia-siakan usahanya kerana sudah ada orang yang tidak pun berkempen menaiki takhta tertinggi UMNO itu. Di sini sudah tentu wujud ketidak-adilan dan bakal mengundang perpecahan.

Perlu ditegaskan di sini bahawa penulis bukanya tidak bersetuju dengan peralihan kuasa tetapi peralihan kuasa itu perlulah dibuat secara 'demokrasi' dan lebih demokratik. Apa yang penulis cuba sampaikan ialah peralihan kuasa boleh dibuat dengan mengawalkan tarikh Pemilihan Agung UMNO yang dijadualkan berlangsung disember ini kepada bulan-bulan yang terdekat, di samping itu Pemilihan Agung UMNO ini juga hendaklah tidak lagi menggunakan sistem kouta kerana sudah terang lagi bersuluh sistem kouta tidak akan memberikan keadilan kepada sesiapa sahaja yang masuk bertanding dan juga akan melemahkan atau dengan kata lain demokrasi dalam UMNO akan terus hancur sekiranya sistem kouta ini diteruskan kerana mungkin akan disalahgunakan oleh Presiden yang berkuasa sekiranya pemilihan parti berlangsung sekaligus dapat melindungi jawatanya daripada ditandingi oleh orang lain.

Bagi menyuburkan kembali demokrasi di dalam UMNO penulis mencadangkan supaya peralihan kuasa hendaklah dibuat melalui Pemilihan Agung UMNO bukanya peralihan kuasa daripada satu pihak kepada satu pihak yang sudah ada jawatan di dalam jawatan tertinggi UMNO kerana sudah jelas ini akan menidakkan demokrasi di dalam UMNO dan besar kemungkinan akan berlaku perpecahan paling besar di dalam sejarah UMNO sekiranya 'peralihan kuasa' tidak dilakukan secara demokrasi. Sebagai parti yang berjuang atas nama demokrasi UMNO sepatunya juga mengamalkan demokrasi di dalam partinya kerana "Ketam tidak akan mengajar anaknya berjalan lurus".

Akhir kalam, penulis doakan agar peralihan kuasa di dalam UMNO berlaku secara demokrasi bagi mengelakkan berlakunya perpecahan yang akan merosakkan lagi kekuatan parti yang begitu serius kerosakkanya pada hari ini.

Baca Lagi!
Blog Widget by LinkWithin