Bilangan Pengunjung:

Friday, February 3, 2012

PAS Perlu Kembali Ke Perjuangan Asal

PAS Perlu Kembali Ke Perjuangan Asal
Oleh: yieMEGA

DEMI Politik manusia sanggup berbuat apa sahaja asalkan mereka mendapat kuasa politik. Realiti Politik di Malaysia pada hari ini ialah penggiat-penggiat politik sanggup lakukan apa sahaja untuk mendapat sokongan demi kuasa politik.

PAS tidak terkecuali dengan realiti ini, mereka terpaksa melakukan apa sahaja demi kuasa dan kesinambungan politik. Mereka perlukan sokongan semua kaum untuk membolehkan mereka berkuasa. Oleh yang demikian, kita lihat PAS sejak akhir-akhir ini sudah jauh berubah tak keterlaluan kalau penulis kata PAS sekarang merupakan sebuah Parti Islam yang Liberal.

Lihat saja apa yang parti ini lakukan sejak akhir-akhir ini, keputusan-keputusan yang dibuat oleh parti ini kebelakangan ini ternyata kelihatan lebih Liberal berbanding sebelum ini. Adakah PAS terpaksa menjadi Liberal untuk mendapat sokongan ataupun dipaksa oleh parti yang menunjangi Pakatan Rakyat bagi meraih sokongan ramai.

Lihat sahaja keputusan terbaru yang PAS buat iaitu keputusan memecat keahlian Hassan Ali daripada menjadi ahli PAS dan pemecatan itu berpunca daripada satu saja iaitu kritikan Hassan Ali terhadap Anwar Ibrahim. Nampaknya sekarang ini Anwar Ibrahim lebih berkuasa di dalam PAS berbanding Hadi Awang mahupun Tok Guru Nik Aziz.

Timbul juga persoalan di benak pemikiran penulis, adakah akan berlaku sebagaimana yang pernah terjadi di dalam UMNO di mana Anwar Ibrahim telah berjaya menjatuhkan Allahyarham Tun Ghafar Baba suatu masa dulu.

Tidak dinafikan perkara ini akan terjadi, tambahan pula baru-baru ini Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang meluahkan hasrat ingin bersara dan melepaskan jawatan Presiden. Sekiranya ini berlaku bermakna Anwar Ibrahim sudah berjaya mencorakkan PAS mengikut corak yang diingini oleh beliau.

Begitu juga, demi Pakatan Rakyat PAS sanggup menjadi parti Islam yang Liberal. Kadang-kadang kelihatan PAS hanyalah sebuah parti 'Pak Turut' di dalam Pakatan Rakyat. Bagi penulis PAS sememangnya tidak layak menjadi parti 'Pak Turut' sepatutnya merekalah yang menunjangi Pakatan Rakyat.

Entah sampai bila PAS ingin terus membiarkan parti mereka terus diperalat oleh Anwar Ibrahim. Sekiranya PAS masih belum sedar sampai bila-bila pun mereka akan dipergunakan oleh Anwar Ibrahim untuk kepentingan diri Anwar Ibrahim sendiri.

Hassan Ali seorang bekas pemimpin PAS yang tabah, impian murni beliau untuk membersihkan PAS daripada anasir-anasir jahat atau yang dilabel sebagai 'Parasit' oleh Hassan Ali telah disekat sehinggakan beliau dikeluarkan dari PAS, namun perjuangan itu diteruskan di luar PAS.

Daripada beberapa kenyataan Hassan Ali jelas sekali 'hati dan jiwanya' masih lagi PAS dan tidak berminat untuk berhijrah kepada parti-parti yang menjadi lawan kepada PAS mahupun parti yang menjadi 'kawan' kepada PAS. Bagi meneruskan agenda perjuangan beliau menubuhkan JATI.

Hari-hari terus berlalu, PAS terus berubah dan berubah lagi berubah....perjuangan mereka selama ini sekarang ini sudah tidak kendengaran mungkin benar mereka sudah menjadi sebuah parti 'Pak Turut' di dalam Pakatan Rakyat.

Tahniah diucapkan kepada mereka-mereka yang dilabel 'parasit' oleh Hassan Ali kerana mereka sudah berjaya merosakkan PAS. Perjuangan mereka-mereka di dalam PAS sebelum ini sudah menjadi sia-sia dek kerana 'parasit-parasit' di dalam PAS.

Akhirkalam, pada pandangan penulis PAS perlu kembali kepada perjuangan asal dan berhenti daripada menjadi parti yang hanya menjadi 'Pak Turut' di dalam Pakatan Rakyat.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin