KL Gangster 2 Menjadi Mangsa Gangster Cetak Rompak
Oleh: yieMEGA
MENGEJUTKAN mungkin itu yang penulis boleh gambarkan mengenai isu yang sedang hangat diperkatakan kini, mungkin isu ini boleh diklasifikasikan sebagai isu hiburan ataupun isu perfileman tanah air kita. Penulis percaya ramai yang sudah mengetahui mengenai berita filem KL Gangster 2 yang disabotaj pihak tidak bertanggungjawab dengan memuat naik filem tersebut ke laman internet walaupun filem tersebut masih belum ditayangkan di pawagam tempatan.
Wah hebat betul industri cetak rompak di negara kita hari ini, kalau sebelum ini biasanya cetak rompak hanya akan keluar selepas sesebuah filem itu ditayangkan di pawagam. Pada kali ini lain pula jadinya apabila cetak rompak keluar terlebih dahulu sebelum filem tersebut ditayangkan di pawagam.
Isu ini meletakkan 'industri perfileman' negara kita dalam keadaan berbahaya dan ia sudah tentunya akan menyumbang sesuatu perkara yang negatif ke atas negara kita, malah nama baik negara kita juga akan tercemar. Cuba bayangkan oleh kerana isu ini berkemungkinan penerbit-penerbit filem antarabangsa akan mempertimbangkan semula penyiaran filem-filem mereka di pawagam-pawagam negara kita.
Penulis melihat cetak rompak telah mengundang 'malapetaka besar' terhadap industri perfileman negara kita. Sebagai contoh apabila berlakunya kejadian seumpama ini, ia akan memberikan kerugian besar kepada penerbit filem tempatan. Apatah lagi jika filem yang dikeluarkan menelan kos jutaan ringgit. Oleh kerana adanya cetak rompak berkemungkinan besar kutipan filem KL Gangster 2 akan terjejas dan mungkin juga akan menyebabkan sesebuah syarikat penerbitan mengalami kerugian besar sehingga boleh menjadi muflis.
Apa yang kita dapat lihat daripada isu ini adalah ini bermakna tauke-tauke cetak rompak sudah semakin berani sehingga sanggup memuatnaik filem ke internet walaupun filem ini masih belum ditayangkan di pawagam berhampiran anda. Penulis ingin gelarkan mereka ini sebagai "Gangster Cetak Rompak" kerana keberanian mereka yang tidak bertanggungjawab ini.
Dalam menangani isu ini, pihak Kerajaan perlu melipat gandakan usaha untuk membanteras agar kejadian seumpama ini tidak terus berulang kerana bukan sahaja syarikat penerbitan filem akan mengalami kerugian sekiranya perkara ini tidak dapat dibendung malah 'tempiasnya' juga akan kena kepada kerajaan. Usaha-usaha yang lebih serius perlu dilakukan oleh kerajaan di dalam menangani perkara ini daripada terus berulang.
Penulis juga ingin menasihati kepada semua penerbit-penerbit filem tempatan supaya menjadikan kejadian ini sebagai iktibar yang amat berguna kepada mereka. Dalam masa yang sama mereka perlu mengetatkan kawalan keselematan terutamanya keselamatan 'master film' mereka supaya ianya tidak terlepas kepada orang yang tidak bertangunggjawab. Sekiranya 'master film' tersebut terlepas kepada tangan orang yang tidak bertangungjawab percayalah mereka tidak lepas daripada menjadi mangsa sabotaj mereka yang berniat jahat.
Di dalam melahirkan sokongan kita terhadap industri perfilem tempatan, marilah bersama-sama kita membantu penerbit filem ini dengan keluar beramai-ramai untuk menonton filem ini di pawagam berhampiran walaupun ada segelintir daripada anda telah menonton filem ini yang dimuat turun daripada internet.
No comments:
Post a Comment