Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO mesti dipertandingkan
Oleh: yieMEGA
DATUK SERI Najib Razak baru sahaja melepaskan jawatan Presiden UMNO semalam, hari kendengaran pula cadangan yang meminta jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. Namun pada pandangan penulis dalam suasana iklim politik sekarang ia memerlukan jawatan ini dipertandingkan kerana UMNO memerlukan seseorang yang berkebolehan membuat 'revolusi' di dalam UMNO di dalam mengembalikan semula teras perjuangan asal UMNO yakni Alif, Ba, Ta di mana Alif mewakili Agama, Ba mewakili bangsa yakni Melayu, Ta mewakili tanah air yakni Malaysia dan bukanya untuk mencari kekayaan diri sebagai sebelum ini.
Keputusan tidak mempertandingkan jawatan tersebut boleh disifatkan sebagai mengulang kembali dosa lama pucuk pimpinan UMNO kepada akar umbinya. UMNO memerlukan tokoh yang benar-benar berkaliber dan boleh mengembalikan semula keyakinan rakyat marhaen terhadap parti keramat terbesar orang Melayu ini. Di mana, penulis melihat bahawa YBM Tengku Razaleigh Hamzah merupakan calon terbaik demi menentukan survival UMNO, kita tidak mahu UMNO terus terkubur pasca PRU14, sebaliknya jadikanlah kekalahan ini sebagai waktu rehat untuk bermuhasabah diri. Ingatlah tiada satu pun yang kekal di atas muka bumi Allah tuhan seru sekian alam ini.
UMNO tiada pilihan lain, pada waktu ini parti keramat ini memerlukan orang yang benar-benar berpengalaman untuk memulihkanya. Kenapa YBM Tengku Razaleigh paling layak? Beliau seorang yang berpengalaman bukan sahaja berpengalaman dalam kerajaan malah beliau juga mempunyai pengalaman sebagai pembangkang sekaligus dapat membantu mengambil peranan sebagai Ketua Pembangkang yang berkesan.
Tolonglah dengar suara akar umbi pada kali ini, janganlah ulangi silap yang serupa ingatlah janganlah kita jatuh di lubang yang sama lagi. Demi survival UMNO tolonglah berubah terimalah kemahuan akar umbi dan kembalikanlah demokrasi di dalam UMNO. Undian secara Ketua Bahagian hendaklah dihapuskan sebaliknya berikan hak setiap ahli satu undi barulah presiden tidak akan dapat bertindak sesuka hati selepas ini kerana dengan undian sebegini sedikit sebanyak ia dapat mengelakkan amalan politik wang kerana wang kini sudah tidak menjadi raja tetapi rakyat yang menjadi raja. Jadi untuk menjadikan UMNO sebuah parti yang benar-benar berpaksikan rakyat pemilihan undian setiap ahli hendaklah diadakan kerana ini juga mampu mengelakkan perpecahan di dalam UMNO.
Dalam pada itu, pada pandangan penulis bukan setakat Presiden UMNO yang sebelum ini perlu meletak jawatan tetapi Timbalan Presiden dan semua Ahli Majlis Tertinggi juga perlu meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada kepimpinan baru di dalam melicinkan lagi usaha-usaha ke arah memulihkan UMNO.
Imej UMNO yang disifatkan sebagai VVIP hendaklah diubah menjadi kepada Imej yang menunjukkan UMNO ini hanyalah sebahagian daripada rakyat marhaen dan menjadikan lebih terbuka dan juga inklusif dan bukanya eksklusif. Kalau UMNO terus berdegil dan bertegas tetap tidak mempertandingkan jawatan tersebut penulis percaya UMNO hanya ada di buku sejarah semata-mata. Tolonglah berubahlah demi akar umbi yang dahagakan perubahan dan mahukan maruah parti dikembalikan semula.
Usah lagi membuat keputusan yang kelak makan diri. Perlu diingatkan juga sewaktu DS Najib Razak Presiden sudah ada cadangan untuk tidak mempertandingkan kedua-dua jawatan tersebut sebelum PRU14 baru-baru ini dan hasilnya kita ditolak rakyat, udah-udah lah membuat tindakan 'syok sendiri' kita perlu membuat revolusi kepada UMNO agar di dalam PRU akan datang UMNO akan bernafas gagah semula.
No comments:
Post a Comment