Bilangan Pengunjung:

Monday, October 27, 2008

Pemilihan Kerjaya Perlulah Berlandaskan Fitrah Manusia !

Artikel penulis pada kali ini lebih bertumpu kepada Pemilihan Kerjaya dan kita lupakan sebentar mengenai politik tambahan pula di negara kita sekarang ini adalah musim peperiksaan, UPSR dan PMR selesai sudah, tinggal hanya SPM dan STPM. Pemilihan Kerjaya adalah penting bagi semua rakyat Malaysia dan jika tersalah memilih kerjaya boleh membuatkan hidup seseorang itu merana sepanjang hayat.

Salah Tanggapan Mengenai Pemilihan Kerjaya

Ramai orang terutamanya orang Melayu beranggapan bahawa Pemilihan Kerjaya hanya bermula selepas seseorang itu menduduki peperiksaan SPM, penulis ingin menegaskan di sini bahawa tanggapan mereka itu salah kerana pada waktu ini sudah agak terlambat untuk melakukan pemilihan kerjaya.

Pemilihan Kerjaya kalau di negara Barat ia bermula sejak dari sekolah rendah lagi, namun dalam konteks Malaysia ia bermula dari seseorang itu melangkah ke alam persekolahan menengah rendah ataupun tingkatan satu. Manakala, Di sekolah menengah mereka sepatutnya telah diberikan dengan pendedahan kerjaya-kerjaya yang ada di Malaysia.

Bukan itu sahaja, semasa Sekolah Rendah sepatutnya Guru-Guru Sekolah memberi pendedahan yang penting mengenai kerjaya seperti syarat-syarat untuk memasuki kerjaya yang diimpikan oleh seseorang murid, cara ini juga berkesan untuk menjadikan seseorang murid konsisten di dalam kerjaya impian mereka dan kerjaya impian mereka tidak berubah mengikut peredaran masa.

Setelah seseorang itu memasuki alam persekolahan Menengah atas, disinilah sepatutnya mereka mengambil subjek-subjek yang selari dengan kerjaya impian mereka kerana ianya adalah salah satu cara perancangan kerjaya yang berkesan, tambahan pula maklumat-maklumat penting mengenai kerjaya impian mereka sudah mereka ketahui semasa di Sekolah Rendah.

Peperiksaan SPM/STPM pula lebih kepada 'lesen' untuk menimba ilmu berdasarkan keupayaan dan kerjaya impian seseorang dan bukanlah satu tempat untuk membuat pemilihan kerjaya seperti mana yang diamalkan oleh kebanyakkan rakyat negara ini.

Cara Yang Salah Dalam Pemilihan Kerjaya

Daripada kajian dan kaji selidik yang telah penulis buat, penulis mendapati banyak juga dikalangan ibu-bapa yang mengamalkan cara yang salah di dalam menentukan kerjaya anak-anak mereka. Ada diantara mereka yang lebih kepada menentukan haluan kerjaya anak-anak mereka tanpa memikirkan keupayaan, kebolehan dan minat yang ada pada anak mereka.

Ibu-bapa ini lebih bersikap diktator di dalam pemilihan kerjaya untuk anak mereka. Penulis ingin tegaskan di sini bukan sahaja cara pemiliha kerjaya ini adalah salah tetapi juga bakal mengundang risiko kepada anak-anak mereka contohnya dibuang universiti kerana gagal peperiksaan, tidak berminat untuk belajar dan bermacam-macam lagi permasaalahan akan timbul.

Penulis percaya sebagai seorang Islam, sudah tentu mereka tahu tentang fitrah manusia, setiap manusia yang diciptakan oleh Allah tuhan seru sekian alam sudah tentu, ada kelebihanya dan ada kekurangnya tetapi pasti ada fungsinya. Makhluk ciptaan tuhan di atas muka bumi ini semua fungsinya sendiri, ayam dengan fungsinya, itik dengan fungsinya, semut dengan fungsinya begitu juga dengan manusia. Jadi janganlah kita menidakkan fitrah manusia yang ada pada anak kita dengan mendesak mereka mengikut jalan kerjaya yang ditentukan oleh kita.

Cara Pemilihan Kerjaya Yang Betul

Ibu-bapa atau penjaga hendaklah mengamalkan sistem demokrasi di dalam pemilihan kerjaya bagi anak-anak mereka, cara diktaktor memang tidak sesuai digunakan di dalam pemilihan kerjaya anak-anak mereka kerana cara ini bakal mengundang masalah, ia juga boleh menyebabkan kesihatan mental anak mereka terganggu kerana tertekan dengan desakkan keluarga. Adalah lebih baik, kuasa memilih kerjaya diberikan kepada anak-anak mereka dan mereka bertindak sebagai pembimbing atau pemudah cara sahaja.

Bagi ibu-bapa yang mempunyai anak yang baru sahaja selesai menduduki peperiksaan PMR bolehlah menghantar anak-anak mereka ke Ujian Pemilihan Kerjaya Sesuai atau Ujian SDS di mana-mana tempat yang menawarkanya. Bagi ibu-bapa yang berminat menduduki ujian SDS ini menerusi email @ pos boleh lah hantarkan permohonan kepada tokmek[at]myjaring.net (Gantikan [at] dgn @) dengan bayaran hanya RM88.00 satu kali ujian.


Reblog this post [with Zemanta]

Baca Lagi!

Sunday, October 26, 2008

Deklarasi Janda Baik Para Blogger

DEKLARASI JANDA BAIK

Memandangkan keadaan politik negara yang gawat, cabaran dan gugatan terhadap kepimpinan Melayu yang lemah oleh pihak-pihak tertentu, dari dalam dan luar negara serta keadaan ekonomi dunia yang kucar kacir dewasa ini, maka KAMI, para penulis, wartawan dan blogger yang prihatin terhadap nasib Bangsa, Agama dan Tanah Air, yang bersidang di Janda Baik, Pahang mengambil sikap dan pendirian seperti berikut:-

1. KAMI mendesak dan menuntut agar para pemimpin Melayu dari berbagai fahaman politik mengembelengkan tenaga, kerjasama dan buah fikiran demi mempertahankan keluhuran dan kekeramatan PERLEMBAGAAN MALAYSIA TANPA KOMPROMI
.
2. KAMI memberi amaran kepada para pemimpin politik Melayu dari semua fahaman ideologi agar jangan menjadi pemimpin Pak Pandir yang hanya menang sorak tetapi kampung halaman dan negara terjual kepada pihak asing.

3. KAMI juga memberi amaran keras kepada pihak-pihak tertentu yang memainkan sentimen perkauman dan mempertikaikan HAK ISTIMEWA MELAYU sepertimana yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN NEGARA agar jangan mencetuskan permusuhan antara kaum, antara agama dan antara budaya oleh kerana mereka menganggap kepimpinan Melayu lemah dan boleh diperdagangkan untuk memenuhi agenda perkauman mereka.

4. KAMI juga memberi amaran keras kepada para pemimpin Melayu, khasnya UMNO, agar mereka jangan menjadi pengkhianat BANGSA, AGAMA DAN TANAH AIR hanya kerana didorong oleh nafsu kekayaan kebendaan, kuasa yang dipinjamkan Allah, hingga melupai tanggungjawab mereka terhadap generasi Melayu akan datang.

5. KAMI menggesa seluruh umat Melayu yang menjadi para pejuang BANGSA, AGAMA DAN TANAHAIR tanpa mengira aliran politik agar memilih barisan pemimpin mereka yang terbaik dan bersih dari korupsi, berbagai skandal yang memalukan, yang berwibawa, berilmu dan berjiwa dinamik untuk menerajui kerajaan dan badan-badan amanah lainnya.

6. KAMI memberi peringatan dan teguran ikhlas bahawa UMNO mesti melakukan revolusi mental dan perombakan pemikiran yang dekaden, konservatif, materialistik yang melampau, anti ilmu, berpuak-puak, mementingkan diri, kaum keluarga dan para kroni hingga sanggup memperjudikan nasib BANGSA, AGAMA DAN TANAHAIR
.
7. KAMI memberi amaran keras dan peringatan yang tulus ikhlas bahawa kepimpinan UMNO yang lemah, korup, rakus dan gila kuasa boleh menggerhanakan masa depan generasi muda Melayu dan rakyat yang telah memberikan sokongan mereka sejak 51 tahun UMNO memimpin kerajaan Malaysia.

8. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa agar jangan terlalu banyak berkompromi dengan golongan-golongan tertentu yang mempunyai agenda tertentu untuk melemahkan kepimpinan Melayu.

9. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa bahawa kelemahan kekuasaan politik Melayu akan membawa kehancuran dan penghapusan kuasa orang Melayu di bumi Malaysia yang bertuah ini.

10. KAMI menyeru dan menggesa rakyat Melayu bertindak proaktif dalam berbagai bidang kehidupan untuk menjamin kekuasaan politik Melayu tidak terhakis dan ketuanan Melayu dan Islam kekal subur selagi ada matahari dan bulan

11. KAMI merafak sembah memohon agar Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu mempertahankan kedaulatan baginda seperti mana yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN MALAYSIA dengan memberi sokongan moral kepada perjuangan umat Melayu dan Islam dalam berbagai lapangan hidup. Perlulah dihayati kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu akan berterusan sekiranya rakyat Melayu dan umat Islam memperjuang dan mempertahankan institusi Raja tersebut.

12. KAMI dengan penuh takzimnya memohon Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan kaum kerabat baginda agar jangan mengkhianati dan melakukan sesuatu tindakan yang boleh menjejaskan institusi Raja dan melukai perasaan umat Melayu yang mempertahankan institusi Raja selama ini.

13. KAMI juga menyeru kepada kerajaan agar melaksanakan KEADILAN dan TANGGUNGJAWAB sebagai pemerintah kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum memandangkan Malaysia negara majmuk.

14. KAMI ingin memberi peringatan kepada bukan Melayu agar berpegang teguh pada kontrak sosial dan PERLEMBAGAAN NEGARA demi menjaga keharmonian hubungan antara kaum serta kesejahteraan dan keamanan yang kita sama-sama mempertahankannya.

15. KAMI yakin dan percaya bahawa Kebebasan suara Rakyat dan amalan Demokrasi mestilah dipertahankan oleh kerana rakyat yang memberi mandat dan amanah kepada parti-parti politik tertentu untuk berkuasa. Oleh hal demikian KAMI akan bekerjasama dengan siapa saja, dan dari golongan mana sekali pun, demi memperjuangkan hak dan kebebasan Rakyat serta amalan Demokrasi di bumi Malaysia yang bertuah ini.

Inilah deklarasi yang tulus ikhlas yang KAMI abadikan sebagai cetusan rasa dari buah fikiran KAMI demi memperjuangkan hak dan kepentingan Rakyat, Keamanan dan Kesejahteraan Negara Malaysia.

KAMI rakamkan cetusan hati nurani Rakyat yang bernama DEKLARASI JANDA BAIK, bertempat di kediaman Sdr Syed Hussein Al-Attas, bertarikh 26 Oktober 2008.{Wadi Hussein (Kediaman Pak Habib), Janda Baik, Pahang)

Buat pertama kalinya di Malaysia blogger mengeluarkan deklarasi khas berkenaan dengan isu-isu semasa yang berlaku di tanah air. Dekralasi ini adalah bertujuan untuk mendesak pihak-pihak tertentu yang telah menghuru-harakan politik Malaysia dengan pelbagai isu tanpa menyedari bahaya dan bahana yang akan tiba sekiranya permainan isu itu terus menjadi ikut-ikutan.

Dikisahkan deklarasi tersebut bermula apabila seorang ahli perniagaan iaitu Abdul Aziz Chemor yang mengadakan perjumpaan dengan beberapa blogger tanah air yang mana pertemuan tersebut dipanggil pertemuan Ceise Fire.

Deklarasi Janda Baik ini adalah lanjutan daripada Majlis Ceise Fire yang dianjurkan oleh ahli perniagaan tersebut. Deklarasi ini juga disempurnakan dan dizahirkan oleh Sdr Yassin Salleh mewakili kumpulan mereka itu.

Penulis tidak berkesempatan untuk menghadiri kedua-dua majlis yang bersejarah buat blogger itu kerana kesibukkan tugas, namun terima kasih kepada rakan blogger penulis iaitu Tuan MSO kerana telah memaklumkan perkembangan terkini berkenaan kedua-dua majlis tersebut di dalam blog beliau.

Sokongan Deklarasi Janda Baik

Penulis dengan sepenuh hati tanpa dipengaruhi oleh mana pihak-pihak baik di pihak kerajaan atau di pihak pembangkang menyokong penuh deklarasi Janda Baik ini kerana ia akan membantu meredakan keadaan politik tanah air yang sedikit tegang pada masa ini.

Penulis juga merasakan Deklarasi Janda Baik ini adalah salah satu cara untuk mempertahankan Perlembagaan Negara lebih-lebih lagi yang melibatkan Islam dan hak serta keistimewaan Melayu sebagai Pribumi.

Para blogger yang masih belum menyatakan sokongan terhadap Deklarasi Janda Baik ini bolehlah berbuat demikian dengan memuatkan Deklarasi Janda Baik di dalam blog masing-masing demi Agama, Bangsa dan Negara dan ingatlah panas tidak selalu ke petang. Fikir-fikirkanlah.


Reblog this post [with Zemanta]

Baca Lagi!

Saturday, October 25, 2008

Apabila Ku Li Dipergunakan dan Diperbodohkan !

Tengku Razaleigh HamzahImage via Wikipedia"Apabila Ku Li dipergunakan dan diperbodohkan!" menjadi topik artikel penulis pada hari ini selepas lama juga tidak mengemaskini blog ini kerana kesibukkan tugas, namun pada hari ini penulis mempunyai sedikit masa yang terluang dan dapatlah penulis memuatkan artikel pada blog penulis pada hari ini.

"Apabila Ku Li dipergunakan dan diperbodohkan" memang keras sedikit bunyinya, tapi itulah realitinya yang dapat digambarkan dan ditafsirkan oleh akal kurniaan Allah tuhan seru sekian alam terhadap penulis terhadap apa yang terjadi pada Ku Li yang masih gagal mendapat pencalonan untuk jawatan Presiden UMNO walaupun dialah seorang ahli UMNO yang berani mencabar kedudukan Presiden AAB tetapi ternyata usaha-usaha beliau gagal menarik perwakilan-perwakilan UMNO di bahagian-bahagianya seluruh negara untuk mencalonkanya.

Jelas sekali kelihatan Ku Li telah dipergunakan oleh pihak tertentu untuk mencapai hasrat pihak tertentu yang mahu mencorakkan kepimpinan UMNO yang searus denganya. Apa yang penulis dapat lihat di sini ialah sekali lagi pengorbanan Ku Li bukan sahaja diketepikan tetapi juga telah diperbodohkan oleh golongan tertentu di dalam UMNO yang secara zahirnya kita nampak macam menyokong Ku Li tetapi sebenarnya tidak ia lebih kepada untuk membuat Presiden AAB merasa tergugat.

Perbualan Kedai Kopi

Sempat juga penulis mendengar perbualan di kedai kopi mengenai pencalonan DS Najib Tun Razak dengan pencalonan Ku Li atau Tengku Razaleigh Hamzah ini. Izinkan penulis memetik sedikit kata-kata orang yang berbual itu "Lanun tidak akan memilih Imam menjadi ketua, dia lebih suka memilih Lanun juga sebagai ketua" kata-kata mereka adalah merujuk kepada Ku Li sebagai Imam dan DS Najib sebagai Lanun.

Kata-kata ahli politik kedai kopi itu membuatkan penulis ketawa, sebab agak lucu juga bunyinya. Namun, kata-kata mereka itu ada juga kebenaranya yelah mana ada lanun nak ambil tok imam jadi ketua.....

Hadiah Kemenangan DS Najib

Nampaknya hadiah kemenangan DS Najib khas untuk orang Melayu sudah diumumkan oleh DS Najib Tun Abdul Razak sendiri iaitu unsur DEB akan dihapuskan. Hadiah ini memang hebat ia mampu membuat Melayu mampu bersaing dengan bangsa lain walaupun setengah pihak berpendapat ia adalah lebih kepada cubaan untuk menghapuskan "Hak Istimewa Melayu" yang kononya dipertahankan oleh parti yang bernama UMNO. Ada juga orang mengistilahkan tindakan ini sebagai 'jual melayu', dah kena lah tu penyamun jual penyangak (meminjam dialog Filem 3 Abdul lakonan P. Ramlee)

Tunggu sahaja hadiah-hadiah baru bakal diumumkan oleh bakal Presiden UMNO yang baru ini khas untuk semua kerana bukan sahaja menjadikan impianya tercapai tetapi juga impian isterinya turut tercapai.

Oh hampir terlupa, masalah siswa UNITAR kini menjadi semakin serius dan berkemungkinan besar beberapa cawanganya akan ditutup tidak lama lagi. Jangan lupa juga UNITAR di bawah tanggungjawab siapa, sudah tentu di bawah tanggungjawab bakal Perdana Menteri Malaysia nak urus UNITAR pun tak dapat inikan pula nak urus negara. Nang bo tinang qui buti qui.
Reblog this post [with Zemanta]

Baca Lagi!

Monday, October 13, 2008

DS Najib bakal jadi calon tunggal Presiden?

Najib Tun Razak, Deputy Prime Minister of Mala...Image via WikipediaKehangatan Pemilihan Agung UMNO semakin jelas terasa dewasa ini. Pencalonan untuk jawatan Presiden nampaknya didahului oleh YAB Datuk Seri Najib Tun Razak. Seorang lagi yang menawarkan diri untuk jawatan yang sama iaitu YBM Tengku Razaleigh Hamzah masih gagal mendapat sebarang pencalonan untuk jawatan Presiden tersebut.

Khabarnya kalau ada cubaan mencalonkan Tengku Razaleigh yang lebih dikenali oleh Ku Li di Bahagian Pontian dan Beruas tetapi pencalonan itu ditolak kerana tewas undi perwakilan.

Seperti yang dijangka, sistem kuota telah membuatkan kemaraan Ku Li terbatas. Sistem yang sudah tidak relevan sekarang patut dihapuskan.

Ramalan awal penulis ialah kemungkinan besar Najib bakal memenangi jawatan Presiden UMNO dengan tanpa pertandingan. Peluang cerah untuk Najib menerajui kepimpinan tertinggi di dalam UMNO itu.

PESANAN BUAT NAJIB

Penulis berharap sekiranya Datuk Najib berjaya menjawat jawatan sebagai Presiden UMNO yang baru merangkap Perdana Menteri Malaysia penulis ada beberapa pesanan untuk diberikan kepada Datuk Seri Najib walaupun beliau tidak memintanya daripada penulis tetapi penulis merasa bertanggungjawab untuk memberikan pesanan buatnya demi Islam, Untuk Melayu dan Keranamu Malaysia.

Penguasaan Budak Tingkat Empat

Khabarnya kuasa budak tingkat empat masih tidak terjejas dan masih dipelihara oleh kompeni DS Najib dan ada juga desas-desus ada perjanjian sulit antara kompeni DS Najib dengan DS Abdullah untuk mempertahankan kedudukan budak-budak tingkat empat.

DS Najib perlu ingat, kemerosotan prestasi UMNO dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum yang lalu salah satunya disebabkan oleh isu-isu budak-budak tingkat empat ini. Apa rasionalnya kalau kita masih mahu mengekalkan kedudukan budak-budak tingkat empat ini sedangkan mereka telah memalit tahi ke muka kita.

DS Najib perlu bertegas dan menyekat kekuasaan budak-budak tingkat empat yang jelas memberi kerugian kepada Islam, Melayu dan Malaysia serta parti UMNO itu sendiri. Mengapa perlu diberikan ruang sekali lagi kepada orang yang layak digelar 'parasit' itu.

Permasaalahan UNITAR

Sebelum ini penulis sudah berkali-kali berjuang mengeluarkan artikel untuk menyelamatkan sebuah universiti yang sinonim dengan UMNO, dinaungi Yayasan PINTAR yang dikepalai DS Najib sendiri. Setakat ini, penulis merasakan perjuangan penulis masih sia-sia dan gagal mendapat perhatian DS Najib dan sebaliknya universiti tersebut terus ditimpa pelbagai masalah.

Universiti tersebut yang lebih dikenali dengan nama UNITAR terus ditimpa masalah yang bertimpa-timpa sedangkan DS Najib sendiri tidak cakna dengan masalah yang dialami oleh UNITAR dan siswa UNITAR sendiri. DS Najib sepatutnya lebih prihatin dengan masalah ini, apatah lagi UNITAR sememangnya berkait rapat denganya.

Sebelum bergelar Presiden UMNO, penulis menasihatkan agar DS Najib lebih peka dengan permasaalah siswa UNITAR kerana mereka adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia, dan merekalah bakal menentukan kedudukan DS Najib kelak jadi jangan sampai DS Najib dijatuhkan oleh mereka kerana DS Najib tidak prihatin dengan masalah mereka.

Campur Tangan Keluarga

DS Najib juga hendaklah mengelakkan campurtangan keluarga di dalam urusan dalaman negara, jangan jadikan kabinet Malaysia sebagai 'kabinet dapur'. Salah satu sebab kejatuhan UMNO DAN BN ialah kerana 'kabinet dapur' jangan jadikan 'pisang berbuah dua kali'.

Elakkan daripada membina pejabat isteri di Kementerian yang diketuai Oleh DS Najib kerana ia bukan sahaja boleh menimbulkan fitnah tetapi juga rakyat akan merasa sangsi mengenai peranan yang dimainkan oleh isterinya di dalam pejabat kementerian.

Akhir kalam DS Najib perlu memikirkan dengan sebaik mungkin pesanan-pesanan yang diberikan penulis ini demi menjaga kedudukan beliau dan tahap kepercayaan rakyat kepada beliau. Jangan biarkan ahli UMNO tersalah memilih pemimpin lagi sepertimana kita sudah tersalah pilih Presiden AAB dahulu.


Reblog this post [with Zemanta]

Baca Lagi!

Thursday, October 9, 2008

Para Penasihat Gagal Pertahan Presiden AAB !

Official logo of United Malays National Organi...Image via Wikipedia
Para penasihat Presiden AAB yang sebelum ini berusaha bersunguh-sunguh untuk terus mengekalkan dan mempertahankan Presiden AAB nampaknya sudah gagal apabila Presiden AAB telah membuat pengumuman tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO yang disandangnya kini.

Pelbagai cara mereka menggunakan untuk mempertahankan kedudukan Presiden AAB yang banyak memberi 'ruang dan peluang' kepada mereka. Mereka juga telah mempergunakan beberapa NGO dan membawa ramai orang untuk menunjukkan sokongan kepada Presiden AAB di kediaman rasmi PM Putrajaya sehinggalah ke tempat Dewan Tertinggi BN bermesyuarat.

Namun, usaha-usaha mereka ternyata sia-sia apabila Presiden AAB tetap berkeras untuk tidak terus mempertahankan jawatan Presiden UMNO. Sekaligus menjadikan "Peralihan Kuasa" yang sepatutnya berlaku pada tahun Jun 2010 akan berlaku pada Mac 2009.

Mungkin selepas ini sudah tiada lagi "ruang dan peluang" buat penasihat Presiden AAB untuk terus berkuasa mereka mungkin susah untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan yang sebelum ini begitu mudah mereka dapatkan. Namun, ianya terlalu awal untuk menilainya kerana khabarnya 'budak-budak tingkat empat' akan terus berkuasa walaupun Presiden AAB tidak lagi menjadi PM.

Ada kemungkinan penasihat-penasihat yang gagal mempertahankan Presiden AAB akan cuba menjadi penasihat kepada DS Najib Tun Razak dan berharap mereka akan dapat 'ruang dan peluang' untuk mendapatkan apa sahaja yang diidamkan mereka.

Khabarnya, sudah ramai Penasihat Presiden AAB cuba membuat pertemuan dengan DS Najib Tun Razak agar mereka pula diterima sebagai 'penasihat' atau dengan perkataan sebenarnya "punahsihat" kerana mereka memang mementingkan keuntungan semata-mata.
Reblog this post [with Zemanta]

Baca Lagi!

Wednesday, October 8, 2008

Terkini: Presiden AAB Tidak Pertahan Jawatan Presiden UMNO !


Petang tadi dilaporkan bahawa Presiden AAB tidak akan mempertahankan jawatan yang disandang sekarang pada pemilihan parti Mac 2009 nanti sekaligus menjadikan ramalan yang dibuat oleh penulis dalam artikel sebelum ini ternyata meleset.

Inilah satu perkembangan yang baik bagi membolehkan DS Najib Tun Razak bertanding di dalam pemilihan parti yang akan datang sebagai calon Presiden UMNO dan ini bermakna setakat ini hanya Tengku Razaleigh Hamzah sahaja merupakan pencabar tunggal di dalam jawatan yang beliau akan masuk bertanding.

Namun, mungkin ini masih awal untuk penulis meramalkan pertandingan dua penjuru di antara DS Najib Tun Razak dengan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah. Namun apa yang pasti buat masa terdekat ini besar kemungkinan pertandingan dua penjuru merebut jawatan tertinggi di dalam parti itu akan menghadapi pertarungan dua penjuru.

Bagi jawatan Timbalan Presiden pula setakat ini ada dua orang telah menyatakan hasratnya untuk 'mencuba' nasib di dalam pertandingan merebut tempat dalam jawatan tersebut iaitu Dr. Zahid Hamidi dan Nur Jazlan. Sementara itu, orang yang disebut-sebut 'berminat' untuk mencuba nasib dalam jawatan yang sama iaitu TS Muhyidin Yassin belum membuat pengumuman mengenainya dan pengumuman hanya akan dibuat Jumaat ini.
'DEWA KATAK' ANWAR DAN KERAJAAN KATAKNYA

Sementara itu, tentu ramai masih ingat mengenai projek 916 yang cuba dijalankan oleh "Pakatan Rakyat", namun sampai sekarang masih belum lihat projek berkenaan berjaya. Kali ini di dalam kesibukkan dan kehangatan Pemilihan UMNO, Anwar sekali lagi tampil dengan dakwaan terbaru dan disebarkan melalui blog pro Anwar yang mengatakan beliau sudah menyiapkan senarai Menteri Kabinet Baru Pakatan Rakyat.

Sejauh manakah kebenaran dakwaan beliau sama-samalah kita nantikanya. Penulis paling berminat untuk mengetahui siapakah yang bakal mengisi jawatan-jawatan Menteri Kabinet "Kerajaan Katak" nanti dan adakah mereka bersedia untuk melaksanakan undang-undang Hudud di Malaysia ataupun sekadar berpolitik lebih sudu daripada kuah sahaja.

Itulah dikatakan "Politik Malaysia" kalau dah hendak sesuatu dah tak menyempat-nyempat lagi, tapi kalau kena keluar sesuatu nanti dulu, kaji dulu, bincang dulu, mesyuarat dulu sampai bilakah budaya "Politik Malaysia" ini hendak berubah adakah tunggu sehingga kita menjadi hamba di bumi sendiri baru nak berubah.
Reblog this post [with Zemanta]

Baca Lagi!

NGO PRESIDEN AAB

Official logo of United Malays National Organi...Image via WikipediaPenulis sempat menonton berita di RTM1 pada pukul 1 tengahari tadi, rancangan berita itu memuatkan berita tentang beberapa NGO yang berkumpul di hadapan kediaman rasmi Presiden AAB yang kononya mendesak Presiden AAB terus mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti akan datang.

Melihat pada keadaan ini sekali lagi NGO cuba campurtangan di dalam urusan dalam UMNO dan ia seolah-olah NGO itu ditubuhkan untuk mempertahankan Presiden AAB dan tiada matlamat yang boleh memberi keuntungan kepada rakyat. Setahu penulis, sebelum ini tidak pernah NGO ditubuhkan untuk mempertahankan seseorang tetapi biasanya mempertahankan satu kumpulan yang ramai.

Cuba kita singkap kembali artikel yang penulis tulis semalam yang bertajuk "Ku Li tidak akan jadi pengkhianat" yang dimanipulasikan media yang umum mengetahui kuasa yang ada pada salah seorang pembela Abdullah yang digelar 'Hindu God' dan hari ini pula perhimpunan NGO untuk desak Presiden AAB terus mempertahankan jawatan Presiden UMNO seolah-olah perkara ini saling berkaitan atau dengan kata lain ia telah dirancang bagi menyelamatkan kedudukan Presiden AAB.

Mungkin dalam dua tiga hari lagi selepas Ku Li yang menjadi mangsa manipulasi media, pasti mereka yang terlibat dalam desakkan mengawalkan "peralihan kuasa" juga bakal menjadi mangsa manipulasi media seperti Tan Sri Muhyidin Yassin dan mungkin DS Najib Tun Razak sendiri juga bakal menjadi mangsa manipulasi media.

Dengan tanda-tanda awal seperti yang berikut penulis meramalkan besar kemungkinan Presiden AAB akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti Mac 2009 ini kerana Presiden AAB sudah tentu akan merasa 'kedudukanya selamat' selepas beberapa perkara yang berlaku dua tiga hari ini yang sedikit sebanyka menguntungkanya.

Reblog this post [with Zemanta]

Baca Lagi!

Tuesday, October 7, 2008

Ku Li Tak Akan Jadi Pengkhianat !

Tengku Razaleigh HamzahImage via WikipediaPetikan daripada posting seorang forumer MYKMU.NET:

Ku Li syor BN bentuk kerajaan perpaduan libatkan Pakatan

PETALING JAYA: Selepas lebih enam bulan pilihan raya umum 2008, Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen kanan dari Gua Musang, mengesyorkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat menerokai idea kemungkinan membentuk kerajaan perpaduan untuk keluar daripada ketidaktentuan politik.

Ketua UMNO Gua Musang itu telah mengetengahkan idea berkenaan dalam pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat baru-baru ini.

Menurut Tengku Razaleigh, usaha ke arah itu boleh mengguna pakai formula yang pernah diamalkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada 1974 apabila membentuk BN, menggantikan Perikatan.

Dalam pertemuan tersebut, kata bekas Naib Presiden UMNO itu yang dipetik The Star berkata, beliau telah menyentuh kemungkinan merangka satu asas minimum bagi membentuk barisan kebangsaan yang baru - sebuah kerajaan hasil kejujuran dan keikhlasan demi perpaduan negara.

Kata beliau, langkah membawa parti-parti utama bersama BN akan membolehkan negara berhadapan dengan ujian dan cabaran ekoran perkembangan baru landskap politik selain situasi ekonomi global.

Sebagaimana disaksikan pada pilihan raya umum 1969, BN mengalami kekalahan di lima buah negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selain hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Kelmarin, Tengku Razaleigh yang menawarkan diri merebut kerusi Presiden UMNO, mengakui pernah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain Anwar, bekas Menteri Kewangan itu juga ada menemui Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Difahamkan Tengku Razaleigh dan Anwar telah bertemu sebanyak tiga kali sebelum ini.

Bagaimanpun Tengku Razaleigh berkata, pertemuan-pertemuan itu hanya berlangsung dalam "konteks kawan-kawan lama yang bertemu."

Ketika mengulas khabar angin bahawa sudah menyertai Pakatan Rakyat, Tengku Razaleigh berkata, beliau telah menemui pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat atas permintaan mereka mahu menemuinya untuk membincangkan masa depan negara.

"Sebagai seorang pemimpin, saya terbuka untuk menemui kesemua ahli politik, tidak kira sama ada mereka dari Barisan ataupun Pakatan," katanya. Malah desas-desus sedemikian pernah muncul tiga bulan lalu, yang beliau telah menemui pemimpin PAS di Parlimen dan ditawarkan memimpin pembangkang sebagai Perdana Menteri.

Tengku Razaleigh juga meminta kesemua ahli politik mengutamakan kepentingan negara khususnya ia penting dalam suasana seperti sekarang.

"Khususnya dalam suasana sekarang kita perlu mengatasi ketidaktentuan politik dan ekonomi," katanya.

Tengku Razaleigh menambah, beliau mempunyai rancangan sendiri untuk membantu negara bebas daripada persekitaran politik dan ekonomi semasa.{http://forum.mykmu.net/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=22054#568670}

Nampaknya bahang Pemilihan Agung UMNO semakin panas apabila ditengah-tengah kehangatan isu berkenaan tambahan pula semua UMNO Bahagian akan mula bersidang Jumaat ini timbul pula isu begini sungguh menghairankan bukan? Adakah ini cubaan untuk mengagalkan percubaan Ku Li untuk bertanding di dalam jawatan Presiden UMNO pada pemilihan yang akan datang?

SMS pun tersebar meluas yang mengatakan Ku Li bakal 'lompat' ke Pakatan Rakyat. Seingat penulis sudah lebih dari tiga kali 'khabar angin Ku Li akan 'lompat' parti disebarkan tetapi sampai sekarang beliau masih di dalam UMNO dan tidak menyertai Pakatan Rakyat.

Hebat sekali SMS layang yang masuk bertalu-talu ke telefon bimbit penulis. Pertandingan di dalam Pemilihan UMNO yang akan datang penulis boleh ramalkan sebagai pertandingan panas dan kontroversi.

STAIL POLITIK KU LI

Penulis cukup arif dengan stail dan corak politik yang digunakan Ku Li dan mengikut perkiraan penulis Ku Li tidak akan meninggalkan UMNO seperti mana SMS yang tersebar secara meluas beberapa hari ini.

Pertamanya, Ku Li tidak akan meninggalkan UMNO kerana beberapa ucapanya sebelum ini ternyata dia berani bercakap tentang Melayu (selalunya dianggap perkauman oleh bangsa lain) dan masih sayangkan UMNO.

Keduanya, kita singkap kembali sejarah silam politik Ku Li. Memang benar Ku Li memang pernah meninggalkan UMNO, tetapi tidak menyertai PAS tetapi menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 (S46) (maknanya Melayu tetap menjadi agenda perjuanganya).

Ketiganya, walaupun orang kuat PKR iaitu DS Anwar Ibrahim baik denganya, namun corak perjuangan PKR tidak sehaluan dengan agenda perjuanganya. Tidak mesti kalau kita AP Kerajaan tidak boleh berbaik dengan AP Pembangkang.

Keempatnya, hendakkah Anwar Ibrahim melepaskan jawatan yang dipegangnya kepada Ku Li sedangkan jawatan itu sudah lama diidamkanya semenjak dari dia mengalahkan Tun Ghafar Baba lagi dia bercita-cita nak jadi Perdana Menteri sama seperti Khairy Jamaluddin sekarang.

Kelimanya, hendakkah Ku Li membazirkan masanya untuk membantu orang lain menjadi Perdana Menteri sedangkan jawatan itu patut disandang oleh beliau tidak berapa lama dulu lebih-lebih lagi orang itu telah bergelar "pengkhianat bangsa".

MANIPULASI MEDIA KENYATAAN KU LI

Pada pandangan penulis, kenyataan Ku Li itu hasil manipulasi Media Arus Perdana yang tidak mahu melihat kemaraan Ku Li dan kejayaan Ku Li menjadi Presiden UMNO yang baru untuk sekadar satu penggal.

Semua orang tahu pasal Hindu God yang suka spin macam-macam di dalam media mereka tambahan pula Hindu God ini adalah pembela sejati Presiden AAB. Kenyataan Ku Li tersebut hanya adalah sekadar cadangan salahkah memberi cadangan? Jangan diputarbelitkan cerita untuk keuntungan sesuatu pihak sahaja kelak ia akan memakan diri sendiri.

Cukuplah memutarbelitkan dan menambah kerumitan keadaan yang telah sedia rumit. Ku Li tidak akan tinggalkan UMNO dan tidak juga akan jadi 'musuh dalam selimut' ataupun jadi pengkhianat UMNO percayalah........Ianya hanya cubaan untuk menjatuhkan Ku Li sahja.



Reblog this post [with Zemanta]

Baca Lagi!

Monday, October 6, 2008

Krisis 3F Memerlukan Pemimpin berkaliber !

Tengku Razaleigh HamzahImage via WikipediaKrisis 3F kini begitu popular di kalangan masyarakat dunia. Apakah yang dikatan dengan 'krisis 3F'? sebenarnya 3F itu bermaksud Food (makanan), Fuel (Minyak) dan Financial (kewangan).

Malaysia pun tidak terkecuali daripada terkena kepada tempias krisis 3F ini. Bukan calang-calang orang dapat meredakan krisis 3F ini ia memerlukan kepada orang yang benar-benar pakar di dalam bidang ekonomi untuk memperbaiki dan mengatasi krisis yang boleh dikatakan di alami seluruh dunia ini.

Kebetulan pula pada masa ini Malaysia mempunyai pemimpin yang tidak cekap dan lemah di dalam segala hal ia akan menjadikan penyelesaian krisis 3F menjadi bertambah rumit. Penyusunan semula ekonomi juga akan menjadi lembab dan pelbagai masalah baru bakal muncul.

Sebenarnya krisis 3F ini telah diceritakan di dalam sebuah Kitab Islam, namanya bagi orang yang pernah menelaah kitab-kitab pasti akan tahu mengenainya. Namun, penulis memohon maaf kerana terlupa apa nama kitab tersebut kalau nak tahu lebih lanjut boleh lah berguru dengan guru-guru agama di kawasan masing-masing.

Penyelesaiaan krisis 3F ini memerlukan kepada khidmat seorang pemimpin yang benar-benar berpengalaman di dalam bidang ekonomi untuk membolehkanya mengadakan penyusunan semula ekonomi negara. Orang-orang seperti Tengku Razaleigh hendaklah diberi peluang untuk melaksanakan penyusunan semula ekonomi negara.

Pada masa yang sama Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hendaklah digerakkan semula dan memainkan peranan aktif untuk menyusun semula ekonomi negara bagi mengeluarkan negara daripada krisis 3F ini.

Selain itu, jawatan Menteri Kewangan Kedua hendaklah diberikan semula kepada Datuk Mustapha Muhammad memandangkan beliau sudah ada pengalaman dalam mengendalikan krisis kewangan 1997/1998 yang lalu dan dia memang sesuai menyandang jawatan tersebut bagi membantu negara menghadapi krisis 3F ini.
Reblog this post [with Zemanta]

Baca Lagi!

Sunday, October 5, 2008

Budak Tingkat Empat masih berkuasa?

Khairy Jamaluddin, Deputy Youth Chief of Baris...Image via WikipediaMasih ingatkah anda dengan budak-budak Tingkat Empat yang menjadi isu hangat tidak berapa lama dahulu. Kumpulan budak tingkat Empat yang diketuai oleh Khairy Jamaluddin yang sangat berkuasa semasa Perdana Menteri sekarang iaitu Presiden AAB Al-Flip-flop malah ada yang mengatakan kuasanya mengalahkan kuasa PM apatah lagi PM mengikut telunjuknya.

Pada mulanya penulis ingat budak Tingkat Empat akan hilang 'taringnya' apabila PM yang juga bapa mertua kepada Ketua Kumpulan Budak Tingkat Empat tersebut (penulis suka memanggil kumpulan tersebut dengan nama Empat Jahanam) namun sangkaan penulis ternyata meleset apabila membaca Blog Another Brick Wall yang artikelnya berbunyi "If Pak Lah is Leaving, Why Level Four Boys Still command"

Berdasarkan perkembangan terbaru ini penulis mempunyai dua ramalan mengenai apa yang bakalan terjadi selepas ini. Pertamanya ada kemungkinan Presiden AAB akan terus bertanding jawatan Presiden di Pemilihan Agung UMNO yang akan datang mungkin juga kerana desakkan ketua Budak Tingkat Empat yang dikatakan masih berkuasa itu. Lagipun tak sampai Lima tahun budak Tingkat Empat berkuasa dan ia sememangnya belum cukup bagi mereka tambahan pula 'sifat tamak' selalu ada pada diri seorang yang berjiwa seperti mereka.

Ramalan kedua penulis ialah jikapun Presiden AAB tidak bertanding di dalam Pemilihan UMNO akan datang dan sekaligus memberi ruang kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadi Presiden baru UMNO dan juga Perdana Menteri, namun ia tetap tidak akan menjejaskan kuasa Budak Tingkat Empat dan berkemungkinan Budak Tingkat Empat itu bakalan dikekalkan. Berdasarkan cara Najib yang memilih cara "Playsafe" dalam mengungguli kedudukan tertinggi di dalam parti itu berkemungkinan sudah ada perjanjian dimeterai oleh Presiden AAB dengan Najib untuk mengekalkan Kedudukan Budak Tingkat Empat dan perjanjian tersebut mungkin perjanjian sulit kerana Presiden AAB memang suka dengan Perjanjian Sulit ini.

Jika ramalan kedua penulis menjadi kenyataan maknanya tiada gunanya menukar pucuk pimpinan sekiranya Budak Tingkat Empat masih berkuasa tambahan pula Penulis tidak begitu jelas adakah Najib menyukai atau tidak Budak Tingkat Empat tersebut. Namun sekiranya ia benar-benar berlaku, sudah tentu kita memerlukan orang yang tidak suka dengan budak tingkat Empat menerajui pucuk pimpinan UMNO dan setakat penulis tahu Tengku Razaleigh ataupun Ku Li telah menyatakan secara 'terang-terangan' menentang 'budak-budak tingkat empat tersebut' terutamanya Khairy Jamaluddin.

Kita memang perlu memilih jalan yang terbaik untuk menghilangkan 'kuasa' budak tingkat Empat daripada terus menjadi "Hidden PM" dan memberi arahan kepada PM yang berkuasa serta menjadikan PM sebagai "Sleeping Partner".
Reblog this post [with Zemanta]

Baca Lagi!

Saturday, October 4, 2008

Menanti "Kejutan" Lepas Raya!

Official logo of United Malays National Organi...Image via Wikipedia
Setelah beberapa hari penulis tidak menulis sebarang artikel di blog ini, hari ini penulis berkesempatan sedikit untuk membicarakan isu-isu semasa di negara kita. Tajuk artikel penulis pada kali ini berbunyi " Menanti Kejutan Lepas Raya!".

Artikel penulis kali ini berkisarkan perkara-perkara yang mungkin terjadi selepas raya nanti terutamanya di dalam arena politik tanah air. Beberapa Forumer MYKMU.NET mengatakan 'ada kejutan selepas raya nanti tetapi tidak dipastikan kejutan yang bagaimana.

Namun penulis mengandaikan 'kejutan' tersebut mungkin melibatkan kedudukan Presiden AAB sebagai Presiden UMNO dan juga Perdana Menteri Malaysia. Boleh jadi juga ia berkisarkan penolakkan kepada keputusan Majlis Tertinggi UMNO berhubung Pemilihan Agung UMNO yang ditunda sehingga Mac 2009 kelak. Ada juga kemungkinan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menunggu waktu "Peralihan Kuasa" yang dijanjikan oleh Presiden Flip-Flop AAB.

Tidak lupa juga mungkin 'kejutan' tersebut adalah kemungkinan orang yang sudah lama berkempen untuk jawatan Presiden UMNO sejak dari mula akan berjaya mencapai matlamatnya dan sekaligus menjadi Presiden UMNO yang baru dan juga bakal mengenepikan orang yang selalu dikaitkan dengan "Peralihan Kuasa" iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak.

Walaupun individu yang ingin bertanding jawatan Presiden UMNO tersebut adalah seorang yang boleh dikatakan 'lone ranger' namun kita boleh memandang lekeh padanya kerana beliau begitu berpengalaman bukan sahaja di dalam bidang politik tetapi juga ekonomi. Individu yang dimaksudkan ialah Tengku Razaleigh Hamzah yang turut dikenali sebagai Ku Li dikalangan rakyat jelata dan juga merupakan Kerabat Diraja Kelantan.

Satu lagi 'kejutan' yang berkemungkinan akan berlaku ataupun tidak berlaku langsung ialah penubuhan Kerajaan Katak apabila usul tidak percaya kepada Perdana Menteri diusulkan di Parlimen oleh Ketua Pembangkang yang baru iaitu Anwar Ibrahim. Selepas kegagalan 16 September beliau terus mencanangkan tunggu sehingga Parlimen bersidang, jadi lepas raya ini kebetulan pula Parlimen mula bersidang kembali. Apakah kesudahan dan apakah kejutanya sama-samalah kita nantikanya dengan penuh sabar.
Reblog this post [with Zemanta]

Baca Lagi!
Blog Widget by LinkWithin