DEKLARASI JANDA BAIK
Memandangkan keadaan politik negara yang gawat, cabaran dan gugatan terhadap kepimpinan Melayu yang lemah oleh pihak-pihak tertentu, dari dalam dan luar negara serta keadaan ekonomi dunia yang kucar kacir dewasa ini, maka KAMI, para penulis, wartawan dan blogger yang prihatin terhadap nasib Bangsa, Agama dan Tanah Air, yang bersidang di Janda Baik, Pahang mengambil sikap dan pendirian seperti berikut:-
1. KAMI mendesak dan menuntut agar para pemimpin Melayu dari berbagai fahaman politik mengembelengkan tenaga, kerjasama dan buah fikiran demi mempertahankan keluhuran dan kekeramatan PERLEMBAGAAN MALAYSIA TANPA KOMPROMI
.
2. KAMI memberi amaran kepada para pemimpin politik Melayu dari semua fahaman ideologi agar jangan menjadi pemimpin Pak Pandir yang hanya menang sorak tetapi kampung halaman dan negara terjual kepada pihak asing.
3. KAMI juga memberi amaran keras kepada pihak-pihak tertentu yang memainkan sentimen perkauman dan mempertikaikan HAK ISTIMEWA MELAYU sepertimana yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN NEGARA agar jangan mencetuskan permusuhan antara kaum, antara agama dan antara budaya oleh kerana mereka menganggap kepimpinan Melayu lemah dan boleh diperdagangkan untuk memenuhi agenda perkauman mereka.
4. KAMI juga memberi amaran keras kepada para pemimpin Melayu, khasnya UMNO, agar mereka jangan menjadi pengkhianat BANGSA, AGAMA DAN TANAH AIR hanya kerana didorong oleh nafsu kekayaan kebendaan, kuasa yang dipinjamkan Allah, hingga melupai tanggungjawab mereka terhadap generasi Melayu akan datang.
5. KAMI menggesa seluruh umat Melayu yang menjadi para pejuang BANGSA, AGAMA DAN TANAHAIR tanpa mengira aliran politik agar memilih barisan pemimpin mereka yang terbaik dan bersih dari korupsi, berbagai skandal yang memalukan, yang berwibawa, berilmu dan berjiwa dinamik untuk menerajui kerajaan dan badan-badan amanah lainnya.
6. KAMI memberi peringatan dan teguran ikhlas bahawa UMNO mesti melakukan revolusi mental dan perombakan pemikiran yang dekaden, konservatif, materialistik yang melampau, anti ilmu, berpuak-puak, mementingkan diri, kaum keluarga dan para kroni hingga sanggup memperjudikan nasib BANGSA, AGAMA DAN TANAHAIR
.
7. KAMI memberi amaran keras dan peringatan yang tulus ikhlas bahawa kepimpinan UMNO yang lemah, korup, rakus dan gila kuasa boleh menggerhanakan masa depan generasi muda Melayu dan rakyat yang telah memberikan sokongan mereka sejak 51 tahun UMNO memimpin kerajaan Malaysia.
8. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa agar jangan terlalu banyak berkompromi dengan golongan-golongan tertentu yang mempunyai agenda tertentu untuk melemahkan kepimpinan Melayu.
9. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa bahawa kelemahan kekuasaan politik Melayu akan membawa kehancuran dan penghapusan kuasa orang Melayu di bumi Malaysia yang bertuah ini.
10. KAMI menyeru dan menggesa rakyat Melayu bertindak proaktif dalam berbagai bidang kehidupan untuk menjamin kekuasaan politik Melayu tidak terhakis dan ketuanan Melayu dan Islam kekal subur selagi ada matahari dan bulan
11. KAMI merafak sembah memohon agar Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu mempertahankan kedaulatan baginda seperti mana yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN MALAYSIA dengan memberi sokongan moral kepada perjuangan umat Melayu dan Islam dalam berbagai lapangan hidup. Perlulah dihayati kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu akan berterusan sekiranya rakyat Melayu dan umat Islam memperjuang dan mempertahankan institusi Raja tersebut.
12. KAMI dengan penuh takzimnya memohon Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan kaum kerabat baginda agar jangan mengkhianati dan melakukan sesuatu tindakan yang boleh menjejaskan institusi Raja dan melukai perasaan umat Melayu yang mempertahankan institusi Raja selama ini.
13. KAMI juga menyeru kepada kerajaan agar melaksanakan KEADILAN dan TANGGUNGJAWAB sebagai pemerintah kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum memandangkan Malaysia negara majmuk.
14. KAMI ingin memberi peringatan kepada bukan Melayu agar berpegang teguh pada kontrak sosial dan PERLEMBAGAAN NEGARA demi menjaga keharmonian hubungan antara kaum serta kesejahteraan dan keamanan yang kita sama-sama mempertahankannya.
15. KAMI yakin dan percaya bahawa Kebebasan suara Rakyat dan amalan Demokrasi mestilah dipertahankan oleh kerana rakyat yang memberi mandat dan amanah kepada parti-parti politik tertentu untuk berkuasa. Oleh hal demikian KAMI akan bekerjasama dengan siapa saja, dan dari golongan mana sekali pun, demi memperjuangkan hak dan kebebasan Rakyat serta amalan Demokrasi di bumi Malaysia yang bertuah ini.
Inilah deklarasi yang tulus ikhlas yang KAMI abadikan sebagai cetusan rasa dari buah fikiran KAMI demi memperjuangkan hak dan kepentingan Rakyat, Keamanan dan Kesejahteraan Negara Malaysia.
KAMI rakamkan cetusan hati nurani Rakyat yang bernama DEKLARASI JANDA BAIK, bertempat di kediaman Sdr Syed Hussein Al-Attas, bertarikh 26 Oktober 2008.{Wadi Hussein (Kediaman Pak Habib), Janda Baik, Pahang)
Buat pertama kalinya di Malaysia blogger mengeluarkan deklarasi khas berkenaan dengan isu-isu semasa yang berlaku di tanah air. Dekralasi ini adalah bertujuan untuk mendesak pihak-pihak tertentu yang telah menghuru-harakan politik Malaysia dengan pelbagai isu tanpa menyedari bahaya dan bahana yang akan tiba sekiranya permainan isu itu terus menjadi ikut-ikutan.
Dikisahkan deklarasi tersebut bermula apabila seorang ahli perniagaan iaitu Abdul Aziz Chemor yang mengadakan perjumpaan dengan beberapa blogger tanah air yang mana pertemuan tersebut dipanggil pertemuan Ceise Fire.
Deklarasi Janda Baik ini adalah lanjutan daripada Majlis Ceise Fire yang dianjurkan oleh ahli perniagaan tersebut. Deklarasi ini juga disempurnakan dan dizahirkan oleh Sdr Yassin Salleh mewakili kumpulan mereka itu.
Penulis tidak berkesempatan untuk menghadiri kedua-dua majlis yang bersejarah buat blogger itu kerana kesibukkan tugas, namun terima kasih kepada rakan blogger penulis iaitu Tuan MSO kerana telah memaklumkan perkembangan terkini berkenaan kedua-dua majlis tersebut di dalam blog beliau.
Sokongan Deklarasi Janda Baik
Penulis dengan sepenuh hati tanpa dipengaruhi oleh mana pihak-pihak baik di pihak kerajaan atau di pihak pembangkang menyokong penuh deklarasi Janda Baik ini kerana ia akan membantu meredakan keadaan politik tanah air yang sedikit tegang pada masa ini.
Penulis juga merasakan Deklarasi Janda Baik ini adalah salah satu cara untuk mempertahankan Perlembagaan Negara lebih-lebih lagi yang melibatkan Islam dan hak serta keistimewaan Melayu sebagai Pribumi.
Para blogger yang masih belum menyatakan sokongan terhadap Deklarasi Janda Baik ini bolehlah berbuat demikian dengan memuatkan Deklarasi Janda Baik di dalam blog masing-masing demi Agama, Bangsa dan Negara dan ingatlah panas tidak selalu ke petang. Fikir-fikirkanlah.
1 comment:
Salam,
Blog anda telah disenaraikan di http://deklarasijandabaik.blogspot.com/
Sila ke sana utk perbincangan dan menyatakan sokongan.
Terima kasih.
Post a Comment