Bilangan Pengunjung:

Wednesday, June 28, 2017

Aidilfitri Hari Kemenangan Umat Islam

Aidilfitri Hari Kemenangan Umat Islam
Oleh: yieMEGA

SETELAH hampir sebulan umat Islam mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadhan Al-Mubarak, kini tiba masanya umat Islam di seantero dunia menyambut hari kemenangan yakni Hari Raya Aidilfitri pada bulan Syawal. Pada hari kemenangan ini ianya disambut meriah tidak kira tua ataupun muda malah kanak-kanak adalah orang yang paling gembira dalam menyambut kedatangan syawal. 

Bersama-samalah kita menyambut hari kemenangan yang penuh bermakna ini dengan bersederhana dan janganlah berlebih-lebihan. Belanjalah ikut kemampuan sepertimana kata pepatah Melayu "Ukurlah baju di badan sendiri" janganlah kita berbelanja di luar kemampuan kita di dalam keghairahan menyambut ketibaan Syawal. Ingat kalau kita terlalu berlebih-lebihan menyambut Syawal ia dikhuatiri akan menyalahi syarak, selain itu ia bakal juga masalah lain kepada kita tanpa disangka-sangka.

Dalam keghairahan kita menyambut Syawal, jangan pula kita lupa pada yang tiada kerana mereka juga berhak merasai kenikmatan menyambut hari kemenangan ini, jika kita berkemampuan dari segi kewangan bantulah mereka sedaya yang anda mampu. Bermacam cara boleh anda gunakan untuk membantu yang tiada mungkin anda boleh belikan mereka baju raya, memberi duit raya dan bermacam-macam cara lagi anda boleh gunakan untuk membantu mereka yang tiada.

Aidilfitri juga merupakan apa yang kita panggil kembali kepada fitrah, apabila umat Islam yang berpuasa sebulan di bulan Ramadhan, kini sudah kembali mengikut fitrah semula jadi manusia iaitu makan mengikut waktu, melayan serakah dengan cara yang sah disisi syarak. Namun, walaupun kita sudah kembali kepada fitrah jangan lupa pula ibadat wajib yang lain dan juga kalau boleh kita cuba terus bawa budaya di bulan Ramadhan kepada bulan-bulan yang lain.


Kita sebagai umat Islam yang lahir di Malaysia dikira bertuah dan beruntung kerana kita menyambut Syawal ini dengan suasana aman berbeza dengan negara-negara bergolak yang lain mereka menyambut kedatangan Aidilfitri dengan penuh kehuru-haraan kerana negara mereka tidak aman. Oleh yang demikian, janganlah kita mensia-siakan nikmat keamanan yang telah diberikan oleh Allah tuhan seru sekian alam kepada kita. 

Akhir kalam, di kesempatan ini penulis ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1438H kepada semua umat Islam terutamanya pembaca setia blog ini, sekiranya ada salah dan silap penulis harap dimaafkan, Maaf, Zahir dan batin. Semoga Allah terus memelihara kesejahteraan umat-umat Islam yang berada di seantero dunia.


No comments:

Blog Widget by LinkWithin