Bilangan Pengunjung:

Saturday, June 3, 2017

Pinjaman Bank Yang Sukar, Pinjaman Along menjadi pilihan

Pinjaman Bank Yang Sukar, Pinjaman Along menjadi pilihan
Oleh: yieMEGA

PINJAMAN ada pelbagai bentuk pinjaman, ada Pinjaman Peribadi, ada Pinjaman Sewa Beli Kenderaan, ada Pinjamn Perniagaan dan bermacam-macam lagi jenis pinjaman. Dewasa ini, penulis percaya ramai yang tidak menafikan bahawa pinjaman yang ditawarkan oleh Bank sedikit sukar berbanding dahulu. 

Mungkin ada Bank yang memberi alasan mereka terpaksa mengetatkan syarat mereka atas kehendak Bank Negara Malaysia oleh kerana semakin ramai peminjam yang tidak mampu untuk membuat bayaran pinjaman. Mungkin alasan ini boleh diterima, tetapi janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. 

Syarat pinjaman yang ditawarkan oleh Bank sememangnya semakin ketat sejak akhir-akhir ini sebenarnya ia akan mengundang satu perkara yang lebih buruk kerana ia akan menambahkan lagi masalah rakyat. Apabila rakyat tiada pilihan mereka terpaksa memilih untuk meminjam daripada lintah darat yang menjalankan perniagaan pemberi pinjam wang haram yakni Along atau Ah Long. 

Tindakan kerajaan yang mengetatkan syarat pemohon pinjaman bank, secara tidak langsung telah mengalakkan perniagaan Ah Long ini. Ini sesuatu yang tidak baik buat negara kita kerana ia akan mengundang lebih banyak masalah kepada negara.


Penulis pun hairan juga, kenapa Ah Long boleh mengenakan syarat yang lebih mudah adakah modal berbayar mereka lebih tinggi daripada bank. Bagi penulis mengetatkan syarat pinjaman bukanlah jalan terbaik untuk mengurangkan bilangan mereka yang disytiharkan bankrap.

Kerajaan sepatutnya perlu tahu bahawa pinjaman adalah satu keperluan dewasa ini terutamanya senario ekonomi negara kita yang begitu lembab sejak akhir-akhir ini. Penulis ingin menyarankan kepada kerajaan supaya adakan mekanisme baru di dalam menentukan syarat-syarat untuk memohon pinjaman daripada institusi kewangan berlesen di negara ini.

Pada pandangan penulis, bagi merancakkan semula ekonomi negara adalah lebih baik pinjaman-pinjaman daripada institusi kewangan dapat dipermudahkan, mungkin boleh mengguna pakai konsep Ah Long dari segi kelulusan pinjaman, manakala pengendalian pinjaman pula menggunakan konsep yang profesional tidak sepertimana Ah Long.

Akhir kalam, kerajaan perlu berbuat sesuatu kerana ini adalah satu cara untuk mengelakkan rakyat daripada terus menjadi mangsa lintah darat bernama Ah Long. Buatlah sesuatu sebelum terlambat, penulis khuatir satu hari nanti Ah Long akan bermaharajalela di negara kita.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin