Tiket Taman Laut dan Cukai Penginapan
Oleh: yieMEGA
Tiket Taman Laut
BEBERAPA hari yang lepas penulis berkesempatan berkunjung ke Pulau Perhentian, Besut, Terengganu. Kesempatan itu penulis ambil untuk mengetahui apakah situasi semasa kedatangan pelancong ke Pulau Perhentian. Umum mengetahui Pulau Perhentian merupakan salah sebuah destinasi pelancongan yang popular bukan sahaja di kalangan pelancong domestik malahan ia juga turut menjadi pilihan utama pelancong asing.
Daripada pemerhatian dan cakap-cakap pengusaha Bot Pelancong penulis merasakan kehadiran pelancong ke pulau tersebut telahpun merosot, mungkin juga disebabkan ketidaktentuan ekonomi global menyebabkan ramai yang cuba mengurangkan aktiviti pelancongan memandangkan mereka lebih memilih untuk berjimat bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan kedudukan ekonomi semasa. Oleh yang demikian, mereka memilih untuk tidak melancong walaupun ke destinasi yang popular seperti Pulau Perhentian.
Menurut pengusaha bot pelancong tersebut, sepatutnya pada tahun lepas apabila tiba bulan Julai bilangan pelancong akan meningkat mendadak kerana lazimnya pada bulan Julai - Oktober merupakan musim puncak atau high season bagi Pulau Perhentian namun setakat hari ni masih belum nampak tanda-tanda bilangan pelancong akan meningkat mendadak sepertimana tahun lepas.
Kerajaan perlu berbuat sesuatu agar kehadiran pelancong ke pulau ini kembali sepertimana musim puncak tahun lepas. Pengusaha Bot juga ada mengatakan bahawa ada pelancong asing yang membuat rungutan tentang kenapa Tiket Taman Laut terlalu mahal dikenakan terhadap mereka. Mengikut Pengusaha bot tersebut Tiket Taman Laut untuk Pelancong Asing dikenakan sebanyak RM30.00. Harga tersebut pada pandangan penulis keterlaluan mana tidaknya bayangkanlah ia enam kali ganda lebih mahal daripada kadar Tiket Taman Laut yang dikenakan terhadap pelancong domestik. Langkah mengurangkan kadar tiket ini penulis percaya mampu meningkatkan kehadiran pelancong ke pulau yang begitu indah dan menarik ini. Pada pandangan penulis kadar Tiket Taman Laut untuk pelancong asing sepatutnya hanya RM15.00/RM20.00 sahaja itu sudah memadai.
Sekiranya kerajaan masih berdegil mahu mengekalkan kadar tersebut penulis percaya kehadiran pelancong akan terus merosot dan mungkin satu hari nanti mereka sudah tidak berminat lagi untuk melancong ke Malaysia dan paling teruk lagi mungkin ada Pelancong Asing yang akan mendakwa Kerajaan Malaysia cuba mengambil kesempatan ke atas mereka dengan Kadar Tiket Taman Laut Untuk pelancong asing yang begitu tinggi hari ini. Oleh itu kerajaan perlu melakukan sesuatu demi memastikan Malaysia terus menjadi destinasi pelancong dari seantero dunia.
Cukai Penginapan
Baru-baru ini pihak kerajaan bercadang untuk mengenakan cukai penginapan kepada pelancong-pelancong tidak kiralah domestik mahupun pelancong asing, alasan yang diberikan ialah untuk mempertingkatkan aktiviti-aktiviti pelancongan dan juga membuat sektor pelancongan berkembang pesat. Jika ya bagai di kata Alhamdulillah lah, namun penulis kurang bersetuju dengan cadangan perlaksanaan Cukai Penginapan ini kerana sekarang bukan masa yang sesuai.
Dewasa ini, kehadiran pelancong sudah merosot dan apa yang dibimbangkan adalah dengan perlaksanaan cukai tersebut akan membuatkan kehadiran pelancong terus merosot. Daripada pemerhatian penulis di beberapa Resort dan hotel yang pernah penulis kunjungi rata-rata pengusaha mengatakan pendapatan mereka kian merosot sejak akhir-akhir ini kerana kekurangan kedatangan pelancong dan penulis percaya dengan langkah mengenakan cukai penginapan ini ia akan membuatkan kemerosotan pelancong akan bertambah parah.
Oleh yang demikian, perlaksanaan cukai penginapan ini harus dibantah oleh semua kerana ianya akan merugikan banyak pihak. Sekiranya kerajaan berdegil untuk tetap melaksanakan cukai tersebut penulis ingin menyeru kepada semua rakyat Malaysia kita bersatu untuk tidak memilih lagi Kerajaan Barisan Nasional di Pilihan Raya Umum yang akan datang. Biar kerajaan tahu bahawa suara rakyat adalah suara keramat.
Sebagai kerajaan yang memerintah mereka sepatutnya membantu mengurangkan beban rakyat bukanya membantu menambahkan beban rakyat sepertimana mereka lakukan pada hari ini seperti cukai GST, cukai penginapan dan bermacam-macam lagi tidakkah ini satu kezaliman terhadap rakyat.
Pemimpin yang adil harus kita angkat, pemimpin yang zalim harus kita tentang. Jangan biarkan mereka terus membuat kezaliman di atas muka bumi Malaysia yang aman dan permai ini demi kebaikkan dan masa depan anak-anak cucu kita di depan hari.
Akhirkalam, kerajaan perlu berubah sebelum rakyat mengubah kerajaan kerana pada masa itu sudah tidak ada gunanya kalau kerajaan nak berubah sebab ianya sudah terlambat sepertimana nasi yang sudah menjadi bubur kita dah tidak boleh jadikanya nasi semula. Fahamilah dan cuba selami penderitaan yang dialami rakyat mulai sekarang demi kesinambungan kerajaan sekarang.
No comments:
Post a Comment