Bilangan Pengunjung:

Sunday, September 7, 2008

MCA Juga Tidak Akan Keluar BN

Laporan Utusan Online:

Tiada sebab untuk MCA keluar daripada BN, kata Ong Ka Chuan

07/09/2008 4:20pm


Datuk Ong Ka Chuan


IPOH 7 Sept — Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan hari ini berkata, tidak ada sebab untuk parti itu keluar daripada Barisan Nasional (BN) seperti mana gesaan daripada anggota akar umbinya.

Beliau berkata, MCA bukanlah ’orang luar’, sebaliknya bersama-sama UMNO dan MIC sebagai pengasas kepada pembentukan parti Perikatan yang kini dikenali sebagai BN.

“Maka sebab itu sekiranya terdapat sebarang masalah, kita perlu menyelesaikannya bersama-sama. Itulah semangat yang patut kita ada dan bukannya membangkitkan soal menarik diri daripada BN. Menarik diri tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, pada ketika ini perpaduan dalam kalangan parti komponen BN lebih penting daripada bercakaran sesama sendiri, apatah lagi dengan dakwaan pihak tertentu kerajaan BN akan ditumbangkan menjelang 16 September ini.

“Sebenarnya bukan orang lain yang akan menumbangkan kita sebaliknya kita (BN) sendiri yang akan menumbangkan diri kita. Kita perlu ambil pengajaran daripada perkara itu. Berhenti bergaduh, berhenti membangkitkan isu-isu yang boleh melukakan hati pihak lain dan bekerjalah secara berpasukan mencakupi konteks rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya. - Bernama{http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_03.htm}

Nampaknya MCA turut menjejaki langkah Gerakan untuk tetap bersama di dalam BN, tahniah diucapkan kepada MCA kerana berjaya menjadi kawan yang baik yang tidak melupakan kawan yang berada di dalam kesusahan.

Ekoran ini, isu yang timbul hasil manipulasi media mengenai ucapan Ketua UMNO Bukit Bendera telah beransur-ansur pulih. Semangat inilah yang patut ada di dalam BN sebagai Parti Persabahatan yang 'original' dan tidak celup sepertimana parti lain.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau sememangnya benar-benar menangkis desas desus yang MCA akan keluar daripada Barisan Nasional. Penulis berharap agar kenyataan yang diberikan oleh beliau sebagai kenyataan yang ikhlas.

Penulis turut setuju dengan pandangan Datuk Ong Ka Chuan mengenai 'rumah bernama Barisan Nasional ini dibina atas kerjasama MCA, MIC dan UMNO jadi tak kan lah MCA mahu meninggalkan rumah sendiri'. Penulis berharap kata-kata beliau bukan sekadar untuk menyedapkan hati pemimpin tertentu tetapi lebih kepada menjernihkan yang keruh.

Salah faham memang perkara biasa, sedangkan gigi pun sering tergigit lidah. Namun, setiap perselisihan itu ada juga titik persefahamanya, jadi setiap salah faham hendaklah diselesaikan secara rasional bukan secara emosional.

Cuma tinggal beberapa hari lagi menjelang 16 September 2008, penulis memang ternantikan-nantikan apakah kesudahanya yang akan berlaku pada hari penubuhan Malaysia itu. Adakah Kerajaan Baru bakal ditubuhkan? Namun, penulis lebih suka tunggu dan lihat apa yang akan terjadi pada tarikh yang tidak kurang keramatnya di kalangan rakyat Malaysia memandangkan pada tarikh ini Malaysia dibentuk.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin