Bilangan Pengunjung:

Thursday, September 18, 2008

Menanti Berita Gembira Dari Menteri Kewangan Baru


Beberapa hari lalu, Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak kini tidak lagi memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan. Mulai daripada tarikh itu beliau mula memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.

Penulis percaya rakyat Malaysia pasti ternanti-nantikan apakah berita gembira yang akan disampaikan oleh Menteri Kewangan 1 yang baru itu. Ada juga yang membayangkan harga minyak akan turun sehingga menjadi RM2 satu liter tetapi setakat ini belum ada perkembangan positif mengenainya.

Posisi Menteri Kewangan 1 bukan posisi yang amat mudah kerana ia melibatkan 'pembangunan ekonomi' negara. Daripada situlah bermula beberapa perancangan ekonomi yang perlu dibuat untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.

Penulis percaya sebagai Menteri Kewangan 1 banyak halangan dan dugaan yang perlu ditempuhi oleh Najib kerana posisi itu sememangnya bergantungan dengan suasana ekonomi negara dan dunia. Krisis Ekonomi dunia sedikit sebanyak memberi tempias kepada ekonomi negara.

Masalah melanda sebuah firma antarabangsa yang berpangkalan di Amerika juga sedikit sebanyak menganggu-gugat ekonomi negara kita. American Insurance Group (AIG) sebuah syarikat gergasi Insurans di Amerika dan bertaraf multinasional kini dikatakan terpaksa menangung kerugian ekoran daripada kelembapan ekonomi dunia. Keadaaan itu memaksa Kerajaa Amerika Syarikat untuk tampil membantu syarikat tersebut. Namun, ia dikatakan masih gagal membendung masalah yang dialami oleh syarikat Insurans Multinasional tersebut dan secara tidak langsung ia memberi kesan kepada ekonomi Malaysia.

Pada waktu sekarang, Datuk Seri Najib yang memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan 1 perlu mengambil langkah bagi memulihkan ekonomi negara. Selain itu, beliau juga perlu mengeluarkan berita gembira kepada rakyat contohnya penurunan harga Petrol dan Diesel di mana, pada ketika ini rakyat masih tertekan dengan harganya dan secara tidak langsung ia memberi kesan kepada peningkatan kes jenayah yang naik secara mendadak sejak kebelakangan ini.

Datuk Seri Najib hendaklah tidak mensia-siakan peluang keemasan ini untuk menunjukkan kepintaran ekonominya dan pasti pelabur-pelabur di luar sana ternanti-nantikan pendekatan ekonomi yang baru yang mungkin bakal digunakan oleh beliau selaku Menteri Kewangan 1. Ia boleh diumpamakan, pentas untuk bersilat sudah disiapkan, terpulang kepada beliau untuk bersilat cara mana ataupun langsung tidak bersilat.

Namun dalam keadaan kehuru-haraan ekonomi dunia sekarang penulis percaya negara perlu khidmat seorang yang berpengalaman di dalam bidang ekonomi contohnya Tengku Razaleigh Hamzah, tambahan pula ekonomi sememangnya bidangnya. Pengalaman beliau memang diperlukan untuk memperbaiki kedudukan ekonomi negara. Sememangnya pengalamanya tidak boleh disia-siakan oleh Kerajaan Malaysia.

Keadaan ekonomi sekarang jika tidak dirawat berkemungkinan besar ia akan memberi kesan buruk kepada negara tidak kira dalam jangkamasa panjang ataupun dalam jangkamasa pendek. Jadi Tengku Razaleigh perlu diberi peluang sekali lagi untuk memperbetulkan kedudukan ekonomi negara yang tidak menentu pada masa ini.

Dalam masa yang sama, penulis turut menantikan berita gembira daripada Menteri Kewangan 1 yang baru kerana pada masa sekarang ini rakyat Malaysia sememangnya memerlukan penurunan harga minyak petrol dan diesel kerana bebanya semakin hari semakin menghantui rakyat.

Akhir kalam, penulis mengucapkan selamat bertugas di bawah Kementerian baru kepada Datuk Seri Najib, semoga beliau berjaya memperbaiki ekonomi negara yang terjejas teruk pada masa ini ekoran kelembapan ekonomi dunia dicampur pula krisis kepercayaan di kalangan Pelabur di Amerika Syarikat.


No comments:

Blog Widget by LinkWithin