Bilangan Pengunjung:

Sunday, September 21, 2008

Pak Lah Kekal Berkuasa Hingga 2010?

Laporan Utusan Online:

Tiada tekanan MT UMNO - Peralihan kuasa Abdullah-Najib kekal 2010

BANGI 20 Sept. – Ketua Penerangan UMNO, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib menafikan wujud tekanan daripada Majlis Tertinggi (MT) parti supaya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan Presiden lebih awal.

Beliau sebaliknya menegaskan keputusan peralihan kuasa antara Abdullah dengan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap kekal pada pertengahan 2010, malah proses ke arah itu telah pun diumumkan Perdana Menteri.

Menurut beliau, meskipun terdapat satu atau dua pandangan daripada ahli MT supaya Abdullah segera melepaskan jawatan tetapi ia tidak menggambarkan desakan secara menyeluruh.

‘‘Tidak ada gesaan supaya Perdana Menteri harus meletakkan jawatan lebih awal, mungkin ada satu atau dua pandangan tetapi desakan daripada MT secara menyeluruh tidak ada.

“Sebenarnya beliau tidak ditekan untuk berbuat demikian (melepaskan jawatan) malah Perdana Menteri sendiri telah menetapkan peralihan kuasa pada 2010,’’ katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Waran Peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Selangor serta taklimat Pengukuhan Pengajaran dan Pembelajaran al-Quran di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Muhammad menyampaikan cek bernilai RM18.25 juta sumbangan Kerajaan Persekutuan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk elaun 2,300 guru KAFA di negeri itu.

Akhbar The Star hari ini melaporkan yang Abdullah didesak ahli-ahli MT pada mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Khamis lalu supaya menyegerakan proses peralihan kuasa tanpa perlu menunggu 2010.

Antara ahli MT yang dikatakan menyuarakan pandangan tersebut ialah Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz dan Ahli MT, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Muhammad menegaskan setakat hari ini UMNO setuju supaya Abdullah kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tarikh peralihan kuasa pada 2010, malah Najib turut memaklumkan bahawa beliau tidak akan mencabar kedudukan itu.

Sementara itu, Hishammuddin membidas tindakan pemimpin mendedahkan perjalanan mesyuarat MT UMNO kepada media yang dikhuatiri boleh menjejaskan maruah parti.

Lebih memburukkan keadaan, katanya, laporan yang disiarkan oleh akhbar berbahasa Inggeris tentang mesyuarat yang sepatutnya menjadi rahsia parti itu tidak tepat dan mengelirukan hingga menimbulkan persoalan tentang kredibiliti UMNO.

‘‘Mustahil mana-mana pihak boleh memberi gambaran yang tepat untuk mesyuarat yang berlangsung selama hampir tiga jam.

‘‘Lagi pun ini bercanggah dengan ikrar dan etika kita kerana apa jua yang dibincang dalam MT adalah rahsia,’’ katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim kariah Masjid Jamek Alam Shah di sini hari ini.

Ditanya sama ada Perdana Menteri diberikan tekanan supaya melepaskan jawatan sebelum pertengahan tahun 2010, Hishammuddin berkata: ‘‘Rahsia. Kalau saya bocor bermakna saya pun tidak beramanah dengan pendirian saya.’’

Dalam hal ini, Hishammuddin menasihatkan semua pihak di dalam UMNO supaya kembali kepada asas dan amalan yang menjadi pegangan parti.

‘‘Kalau terus benar orang luar tentukan gerak-geri kita, menggembar-gemburkan perkara yang dibincangkan ke khalayak ramai maka maruah parti itu sendiri akan terjejas.

‘‘Kalau kita keluar daripada apa yang telah kita dididik dan diajar, sanggup lakukan perkara yang merupakan landasan dan kekuatan perjuangan UMNO itu sendiri, akhirnya yang akan menjadi mangsa ialah institusi itu sendiri,’’ tegasnya.

Dalam pada itu, ahli MT, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, kebebasan bersuara dalam mesyuarat MT sudah lama diamalkan termasuk berhubung isu peralihan kuasa antara Presiden dan timbalannya.

“Dalam mesyuarat MT sebelum ini pun kita memang bercakap. Namun paling mustahak ialah keputusan akhirnya akan ditentukan oleh mereka berdua,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian bantuan kepada fakir miskin di Pangsapuri Sri Stulang di Johor Bahru hari ini.

Seorang lagi ahli MT, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tindakan mendesak Abdullah menyegerakan proses peralihan kuasa menggambarkan pemimpin terbabit tidak setia terhadap kepimpinan parti.

Katanya, pemimpin terlibat berlaku tidak adil kerana hanya memperkatakan mengenai perkara itu sewaktu mesyuarat hampir berakhir sehinggakan ahli MT lain tidak berpeluang untuk menjawab atau mendebatkannya.

“Adalah tidak wajar mereka membangkitkan isu tersebut dan mendesak pengunduran Abdullah sewaktu pelan peralihan kuasa antara Perdana Menteri dan timbalannya telah dipersetujui MT,’’ ujarnya.{http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm}


Komen SGMM

Berita seumpama ini sememangnya sudah dijangkakan oleh penulis, nampaknya Presiden AAB tetap dengan kedegilanya. 2010 tetap menjadi angka untuk Presiden AAB bersara. Dengan ini, maknanya Presiden AAB akan bertanding untuk jawatan Presiden UMNO pada Disember ini dan akan berusaha untuk mengekalnya sehingga 2010.

Najib pula masih menggunakan pendekatan 'play safe' (bukan jenama kondom) dan lebih suka untuk menunggu Jun 2010 berkunjung tiba. Walaupun dia cuba bersuara sekejap selepas Tan Sri Muhyidin Yasin meminta peralihan kuasa disegerakan. Tapi bagi penulis ia hanyalah kosmetik untuk memastikan agar sokongan kepadanya tidak beralih arah.

Mungkin juga maklumat awal yang dikatakan pencalonan untuk jawatan Presiden UMNO tidak memihak kepada Presiden AAB langsung tidak menakutkan Presiden AAB itu. Nampaknya, Presiden AAB tidak memilih jalan berundur secara terhormat, beliau lebih suka menggunakan jalan yang tidak terhormat.

Marilah kita nantikan kesudahan cerita ini.
Reblog this post [with Zemanta]

No comments:

Blog Widget by LinkWithin