Bilangan Pengunjung:

Tuesday, April 9, 2013

Menanti Debaran Ibu Segala Pilihan Raya..

Menanti Debaran Ibu Segala Pilihan Raya..
Oleh: yieMEGA

PENULIS percaya bahawa umum dah mengetahui bahawa Parlimen Malaysia telah dibubarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, diikuti dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri termasuklah negeri-negeri yang dijajah oleh pembangkang.

Esok dikatakan tarikh penamaan calon dan juga hari membuang undi ibu segala Pilihan Raya akan diumumkan. Bagi mereka yang belum mengetahui adalah elok penulis menerangkan apa itu Ibu Segala Pilihan Raya. PRU13 dikatakan ibu segala pilihan raya kerana dijangkakan pilihan raya kali ini merupakan pilihan raya yang paling sengit di dalam sejarah.

Sebelum ini, tarikh pembubaran Parlimen terus menjadi teka-teki sehinggakan penyokong penjajah pembangkang menyatakan bahawa Perdana Menteri takut untuk membubarkan parlimen. Ramai juga yang percaya dengan dakwaan ini, bagi penulis sudah tentu PM ada alasan tersendiri dengan membiarkan tarikh pembubaran Parlimen terus menjadi teka-teki sehinggalah pembubabaran baru-baru ini. Lagipun sebelum ini kendengaran negeri-negeri yang dijajah pembangkang mahu mengadakan pilihan raya berasingan dengan Parlimen, mungkin ia adalah salah satu strategi Najib untuk mengelakkan berlakunya pilihan raya yang berasingan yang mungkin akan menyebabkan bertambahnya kos pengendalian pilihan raya, di mana ianya dikhuatiri akan membazirkan wang rakyat.


Baca Lagi!

Sunday, January 27, 2013

Antara Maruah dan PRU13

Antara Maruah dan PRU13
Oleh: yieMEGA

PENULIS merasakan sudah terlalu lama penulis tidak mengulas mengenai isu-isu terkini di blog milik penulis ini. Masa telah berlalu pergi meninggalkan kita kini kita sudah berada pada tahun 2013, sudah hampir sebulan 2012 kita telah tinggalkan, buku-buku catatan kehidupan 2012 sudah kita ikat kemas dan telah disimpan di almari kehidupan. Terlebih dahulu penulis ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf terutamanya kepada semua pembaca-pembaca setia blog ini kerana sudah lama penulis tidak mengemaskini blog ini. Ini bukanlah disengajakan tetapi apakan daya penulis terlalu sibuk dengan tugas-tugas seharian penulis.

Artikel pertama tahun 2013 ini, penulis memilih "Antara Maruah dan PRU13" sebagai tajuk artikel penulis pada kali ini. Tajuk ini sengaja penulis pilih kerana ianya dirasakan bersesuaian dengan isu semasa politik yang berlaku di tanah air kita.

Sehingga hari ini isu Kalimah Allah terus hangat diperkatakan dan menjadi buah mulut orang ramai. Malah Dewan Persidangan Politik Kedai Kopi juga turut membahaskan isu yang sama. Bagi mereka yang biasa ke kedai kopi sudah tentu tahu mengenainya, manakala bagi mereka yang tidak biasa sudah tentu tidak akan mengetahuinya.

Dewan Ulamak PAS Pusat yang telah bermesyuarat pada 12hb Januari 2013 telah memutuskan bahawa penggunaan nama Allah yang merujuk kepada Allah Yang Maha Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan tidak boleh digunakan di dalam bible. Ketetapan yang telah dibuat itu mengundang reaksi negatif daripada Karpal Singh dan meminta keputusan itu dikaji semula agar ianya selari dengan kehendak Pakatan Rakyat.

Nampaknya, polemik Kalimah Allah ini tidak habis-habis sehingga sekarang walaupun isu itu sudah agak lama dibincangkan dan terus menjadi topik harian perbualan sesetengah orang. Persoalanya di sini adakah PAS akan sanggup menggadaikan maruahnya hanya kerana kemenangan politik dan terus menjadi parti Pak Turut di dalam Pakatan Rakyat.

Masih lagi terngiang-ngiang di telinga penulis dengan impian PAS untuk menjadi pengganti UMNO dengan slogan PAS Ganti UMNO,sekiranya PAS menurut kemahuan Pakatan Rakyat dengan membuat kajian semula terhadap keputusan Majlis Syura Ulama PAS itu, sememangnya sudah terang lagi bersuluh bahawa PAS tidak layak menggantikan UMNO kerana mereka hanyalah 'Pak Turut' di dalam Pakatan Rakyat.

Penulis meramalkan PRU13 akan menjadi pilihan raya paling sengit di dalam sejarah, namun sekiranya PAS hanya memetingkan kemenangan PRU daripada perjuangan sebenar PAS, penulis percaya satu masa lagi PAS berjaya dihancurkan oleh Pakatan Rakyat hasil kerjasama DAP dan PKR.

Marilah sama-sama kita nantikan sampai bila PAS sanggup menjadi 'Pak Turut' di dalam Pakatan Rakyat dan berapa lama parti yang memperjuangkan Islam itu akan menjadi 'kuda tunganggan' DAP dan PKR. Bersabarlah kita melihat kesudahanya.

Baca Lagi!

Thursday, November 29, 2012

DOA UMNO UNTUK PAS

DOA UMNO UNTUK PAS
Oleh: yieMEGA

LAMA juga penulis tidak berkesempatan untuk mengemaskini blog ini, ini adalah kerana penulis terlalu sibuk dengan tugas-tugas yang menjadi rutin seharian penulis. Kebetulan hari penulis ada masa terluang jadi penulis merasakan tidak-tidak sia-sia sekiranya masa yang terluang itu digunakan untuk mengemaskini blog ini.

Artikel penulis pada kali ini bertajuk "Doa UMNO untuk PAS" berselari dengan Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sekarang ini, sebelum ini heboh di seluruh Malaysia dengan PAS yang telah diwar-warkan bahawa telah mengemukakan doa memohon kepada kehancuran UMNO. Doa daripada PAS itu terus menerima kecaman hebat daripada warga tanah air.

Jika sebelum ini PAS telah mendoakan agar UMNO hancur, berbeza pula dengan UMNO pada kali ini telah mendoakan sesuatu yang baik buat PAS. UMNO tetap mendoakan kesejahteraan PAS walaupun PAS sebelum ini memohon doa untuk membinasakan UMNO. Teringat pula penulis, pada zaman nabi Muhammad s.a.w. baginda turut melakukan perkara yang hampir sama dengan apa yang dilakukan oleh UMNO sekarang, walaupun ada orang berbuat jahat kepada baginda, tetapi baginda tetap membuat kebaikkan kepada orang yang berbuat jahat terhadap baginda.

Terlintas juga di fikiran penulis, daripada apa yang telah berlaku ini bukankah kita sudah mendapat jawaban tentang siapa yang lebih islamik dan juga siapa yang kurang islamik. PAS yang sentiasa melaungkan dan mendabik dada kononya mereka pejuang Islam sebenar akan menjadi bagai tikus takutkan kucing apabila DAP mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju dengan PAS.

Daripada apa yang penulis perhatikan jelaslah bahawa di dalam Pakatan Rakyat DAP yang sebenarnya lebih berkuasa daripada PKR dan juga PAS. Mana taknya sekiranya DAP tidak bersetuju di pihak PAS dan PKR cepat-cepat membuat perubahan agar DAP bersetuju secara tidak langsung ia menunjukkan bahawa DAP yang sebenarnya yang menjadi parti yang menunjangi Pakatan Rakyat  dan PAS dan PKR menjadi keldai bodoh tunggangan DAP dan mereka akan terus memperbodohkan PAS dan PKR untuk mencapai impian mereka sendiri dengan memperalatkan kedua-dua parti ini.

Sampai bilakah PAS dan PKR akan terus menjadi keldai bodoh tunggangan DAP? Sama-samalah kita tunggu dan lihat adakah kedua-dua parti ini akan terus sanggup menjadi keldai bodoh tunggangan DAP atau tidak sama-samalah kita nantikanya.

Baca Lagi!

Wednesday, September 19, 2012

Filem Hina Islam

Filem Hina Islam

Oleh: yieMEGA

BEBERAPA hari yang lalu Umat Islam di seantero dunia dikejutkan dengan penyebaran filem yang terang-terangnya menghina Islam. Insiden seperti ini sudah beberapa kali terjadi sebelum ini, seperti biasa kita mula nak melatah, kita sebagai umat Islam menzahirkan tanda protes terhadap filem tersebut dengan mengadakan demonstrasi demi demonstrasi jalanan. Tidak dinafikan filem itu juga menjadi punca umat Islam di seantero dunia menjadi marah. Jadi pihak-pihak berkenaan tidak patut menyalahkan umat Islam sekiranya berlaku apa-apa kejadian bertitik tolak daripada filem yang menghina Islam tersebut.

Sebelum penulis pergi lebih jauh ingin penulis tegaskan di sini bahawa penulis mengutuk sekeras-kerasnya penayangan, pengendaran, pembuatan dan penyebaran tersebut kerana penulis bersetuju bahawa filem tersebut sememangnya menghina Islam. Sebagai umat Islam, penulis sendiri tidak mahu agama yang dianuti oleh penulis dihina sebegitu rupa.

Dalam kekalutan kita  mengadakan demonstasi bagi menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap pihak-pihak yang telah mengeluar dan mengedarkan filem tersebut, pernahkan kita sebagai umat Islam terfikir bahawa kenapa kerap kali penghinaan dilakukan terhadap orang Islam seantero dunia, tidak terfikirkah anda bahawa keadaan ini berlaku ada kemungkinanya berpunca daripada umat Islam sendiri?

Kenapa penulis berkata penghinaan berterusan terhadap umat Islam hari ini berpunca daripada umat Islam sendiri? Jawapanya ialah kita lihat perpercahan di kalangan umat Islam hari ini begitu ketara sebagai contoh kita tak perlu pergi jauh, apa yang kita dapat lihat di Malaysia umat Islam berpecah belah dek kerana satu perkara iaitu politik kepartian. Umat Islam daripada parti yang berlambang bulan tidak boleh bersatu dengan umat Islam yang daripada parti yang berlambang keris. Walaupun kita tahu bahawa sekiranya kita tidak bersatu begitu mudah musuh-musuh Islam menghancurkan kita tetapi semua itu kita ketepikan demi kuasa politik yang kita sendiri tidak tahu selama mana kuasa politik tersebut bertahan di kelangan umat Islam.

Pada pandangan penulis, penghinaan seperti ini tidak akan terjadi sekiranya umat Islam sendiri membuat anjakkan paradigma, dan membuat perubahan besar-besaran bagi memastikan agama kita yakni Islam akan digeruni di serata dunia. Kita perlu bagkit daripada kelemahan kita sendiri, kita sudah tiada masa adakah kita mahu Islam terus diperlekehkan oleh Agama lain? Jika tidak ayuh bangkitlah daripada tidurmu wahai umat-umat Islam seantero dunia.

Kita hendaklah berusaha untuk menyatukan umat-umat Islam di seluruh dunia bagi memastikan Islam menjadi kuat, kita mulakan penyantuan Umat Islam di negara kita sendiri yakni Malaysia dan kemudian kita teruskan penyatuan umat Islam di seluruh dunia agar Islam menjadi kuat dan digeruni di seantero dunia. Fikir-fikirkanlah......

Baca Lagi!

Wednesday, August 8, 2012

Empayar Najib VS Empayar Anwar

Empayar Najib VS Empayar Anwar
Oleh: yieMEGA

PENULIS percaya semua orang di luar sana terutamanya yang amat meminati dunia politik tanah air kita sedanga ternanti-nantikan bilakah Pilihan Raya Umum Ke 13 akan di adakan. Teka-teki mengenainya terus menjadi tanda tanya, timbul bermacam-macam andaian tentang tarikh PRU13. Walaubagaimanapun hari ini penulis bukan hendak meramalkan tarikh PRU13.

Apa yang penulis ingin bincangkan hari ini ada kaitan dengan PRU13, apabila kita bercakap mengenai PRU13, ada satu perkara yang sinonim dengan PRU13, perkara yang penulis maksudkan ialah pertembungan dua empayar iaitu Empayar Najib dengan Empayar Anwar Ibrahim.Siapa sangka dulu mereka daripada pasukan yang sama kini sudah menjadi pesaing dan bersaing sesama sendiri. Masihkan anda ingat Team Wawasan satu ketika dulu? Pada waktu itu Najib dengan Anwar Ibrahim boleh dikatakan sekapal. Tetapi sekarang masing-masing dengan arah tuju masing-masing.

Sejak kebelakangan ini, kita sering dapat lihat kedua-dua empayar cuba menonjolkan kelebihan empayar masing-masing, Najib dengan caranya yang tersendiri begitu juga Anwar dengan cara beliau sendiri menonjolkan kelebihan empayar beliau dengan cara yang tersendiri.

Akhir-akhir ini, kita lihat Najib kerap membuat pengumuman yang boleh disifatkan sebagai 'populis' apabila ianya membuat rakyat merasa senang hati dengan pengumuman yang dibuat oleh beliau. Mungkin ia sesuai dengan janji yang diberikan beliau sebelum ini yang beliau akan cuba menyelami denyut nadi rakyat marhaen dan cuba memberikan yang terbaik buat rakyat.


Begitu juga dengan Anwar, beliau sering membuat janji-janji yang begitu manis di dengar sekiranya Empayar beliau yang dinamakan Pakatan Rakyat dapat mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan Malaysia. Di antaranya ialah menghapuskan pinjaman PTPTN dan memperkenalkan pendidikan tinggi percuma untuk rakyat.

Persoalanya sekarang diantara dua empayar tersebut, empayar manakah yang akan mendapat tempat di hati rakyat? Penulis percaya kedua-dua empayar tersebut mempunyai penyokongnya sendiri. Mungkin juga kekuatan penyokong kedua-dua empayar tersebut sama tetapi apa yang menjai penentu kepada kejayaan mereka adalah mereka-mereka yang berkecuali atau lebih tepat lagi kita katakan sebagai golongan 'atas pagar'.

Bagi memastikan empayar mereka mencapai kejayaan, mereka perlu berusaha untuk menyakinkan 'golongan atas pagar' agar memilih empayar mereka, mereka perlu menunjukkan empayar mereka adalah lebih daripada yang terbaik dan dapatlah 'golongan atas pagar' yakin dengan empayar mereka.

Penulis yakin pada waktu ini kedua-dua empayar tersebut sedang berusaha menjari 'senjata terbaik' untuk memastikan empayar mereka mencapai kemenangan. Disamping itu juga masing-masing berusaha untuk mencari kelemahan empayar masing-masing bagi memudahkan serangan dibuat.

Penulis merasakan sukar untuk meramalkan empayar mana yang dapat berkuasa selepas PRU13, begitu juga dengan saudari-saudari pembaca yang budiman sudah tentu anda semua tidak meramalkan empayar mana yang benar-benar dapat menguasai Malaysia, bersama-samalah kita nantikan keputusannya. 

Baca Lagi!

Monday, August 6, 2012

Salam Ramadhan

Salam Ramadhan
Oleh:  yieMEGA

SUDAH masuk tujuh belas hari umat Islam telah menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini, di kesempatan ini juga penulis ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua pembaca setia blog Suara Generasi Muda Malaysia yang beragama Islam.

Begitu pantas masa berlalu, itulah yang dinamakan masa kita tidak akan mampu mengejarnya kerana ia akan berlalu pergi tanpa kita sedari. Begitulah hukum alam yang perlu kita akui, namun kita sebagai manusia harus berusaha untuk mengejarnya.

Tambahan pula bulan Ramadhan ini kan bulan untuk menggandakan ibadat kita hendaklah berusaha untuk membuat ibadat sebanyak mungkin yang termampu oleh batang tubuh diri sendiri. Sebelum penulis terlupa izinkan penulis memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemaskini blog ini ekoran daripada penulis terlalu sibuk dengan tugas yang menjadi rutin harian penulis sehinggakan tiada masa untuk mengemaskini blog ini.

Kebetulan pada hari ini penulis mempunyai sedikit kelapangan, jadi penulis tidak mensia-siakanya untuk mengemaskini blog milik penulis yang tak seberapa ini. Mungkin banyak juga isu-isu yang penulis terlepas untuk mengulasnya sepanjang bulan Ramadhan Al Mubarak ini kerana terlalu sibuk, tapi mungkin di lain masa dan ketika penulis akan mengulasnya.

Terus terang penulis katakan yang penulis amat merindui untuk mengulas isu-isu semasa sepertimana yang dibuat oleh penulis sebelum ini, tetapi apakan daya masa tak akan dapat kembali. Bercakap mengenai puasa, tak lama lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dan selepas itu kita akan menyambut Hari Kebangsaaan atau kata lain Merdeka.


Pendek kata tahun ni kita RayaMerdeka, bukan lagi merdeka raya sebab kita raya dulu baru merdeka. Penulis percaya mereka yang berada di luar sana sudah tentu sibuk mempersiapkan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pesan penulis pada mereka sambutlah raya tahun ini dengan penuh bersederhana, jangan nanti lepas raya hutang keliling pinggang. Raya tu raya juga tetapi biarlah berpada-pada.

Oh ya, kelmarin baru sahaja kita dapat lihat misi skuad badminton negara kita mendapat pingat emas ternyata gagal apabila pemain negara kita Datuk Lee Chong Way gagal menumbangkan pemain daripada China iaitu Lin Dan. Nampaknya kita perlu akur bahawa kita perlu terima kekalahan tersebut dengan hati yang terbuka, mungkin nasib masih menyebelahi Lin Dan dan tidak menyebelahi Lee Chong Way. Tak dapatlah kita makan aiskrim free tapi tak mengapa cuba lagi di lain hari.

Bercakap mengenai Olimpik London ni, terfikir juga penulis mampukah negara kita mencapai matlamat untuk mendapat sebutir pingat emas sebagai ole-ole untuk rakyat Malaysia yang dibawa pulang oleh atlit negara kita di london?

Baca Lagi!

Saturday, June 9, 2012

Misi Menawan Kelantan Tak Akan Berjaya

Misi Menawan Kelantan Tak Akan Berjaya
Oleh: yieMEGA

NAMPAKNYA Barisan Nasional begitu bersungguh-sungguh berusaha untuk menawan Kelantan menjelang Pilihan Raya Umum Ke 13 yang bakal menjelang, kelihatan pihak BN begitu yakin yang mereka dapat menumbangkan Kerajaan PAS Kelantan.

Penulis merasakan misi menawan Kelantan yang dijalankan oleh BN tidak akan berjaya di atas beberapa faktor yang lebih memihak kepada PAS. Pendek Kata petugas-petugas PAS tidak perlu bersungguh-sungguh untuk mempertahankan Kerajaan PAS Kelantan kerana BN tidak akan berjaya membentuk kerajaan di Kelantan.

Faktor-faktor yang menyumbang kepada kegagalan BN menawan Kelantan ialah Menteri Besar Kelantan itu sendiri iaitu Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Sepertimana semua sudah maklum mengenai Tok Guru yang sudah sinonim di hati sanubari rakyat Kelantan ini sekiranya Tok Guru masih lagi menjadi Menteri Besar ternyata amat susah bagi BN di dalam usahnya untuk menumbangkan Kerajaan PAS Kelantan.

Selain itu, faktor dalaman BN itu sendiri juga bakal menyumbang kepada kegagalan BN di dalam misinya untuk menawan Kelantan. Satu masalah dalaman BN Kelantan yang tidak menemui jalan penyelesaian sampai sekarang ialah masalah persengketaan sesama ahli parti sendiri ataupun ungkapan yang paling sinonim dengan BN Kelantan ialah Sindrom 'Cah Keting'. Masalah inilah yang menjadi duri dalam daging bagi BN Kelantan sehingga kini, dan khabarnya sudah beberapa persengketaan telah terjadi di kalangan pemimpin-pemimpin BN di Kelantan. Sindrom ini menjadi penyumbang terbesar kepada kegagalan BN untuk menawan Kelantan.

Selain itu, pemilihan Calon semasa menghadapi PRU13 juga menjadi instrumen terpenting bagi menentukan kejayaan atau kegagalan BN Kelantan untuk menumbangkan Kerajaan PAS Kelantan. Pemilihan calon yang bermasaalah dan tidak disukai akar umbi juga menjadi punca kepada kegagalan BN menawan Kelantan.

Daripada beberapa faktor yang telah penulis senaraikan di atas, ini bermakna kerja-kerja PAS untuk mempertahankan kepimpinan PAS di Kelantan menjadi semakin mudah, jadi tak payahlah nak bekerja keras sangat nak mempertahankan Kelantan kerana ternyata PRU13 Kelantan tetap milik PAS.

Baca Lagi!
Blog Widget by LinkWithin