Bilangan Pengunjung:

Friday, April 6, 2012

UMNO Kelantan Jangan Ulangi Kesilapan Lalu...

UMNO Kelantan Jangan Ulangi Kesilapan Lalu...

Oleh: yieMEGA

BAHANG Pilihan Raya Umum ke 13 semakin jelas terasa walaupun kita masih belum dapat pastikan bilakah tarikh sebenar Pilihan Raya Umum tersebut namun kehangatanya semakin hangat dari hari ke hari. Begitulah kiranya dengan kebelakangan hari ini. 

Satu sejarah telah diukir semasa Pilihan Raya Umum Ke 12 yang lalu, dimana ada beberapa  negeri yang ditunjangi oleh BN  telah berjaya ditumbangkan oleh parti yang menggelarkan diri mereka 'Pakatan Rakyat' dan mendabik dada merekalah 'juara kepada rakyat'.

Dalam PRU12 juga kita dapat menyaksikan kegagalan UMNO/BN Kelantan di dalam misinya untuk membentuk Kerajaan Negeri Kelantan. Selain begitu banyaknya isu nasional terdapat juga beberapa isu domestik atau tempatan yang menjadikan misi tersebut gagal.

Taktik Paling tidak berkesan yang dikenakan oleh UMNO/BN ialah dengan 'menjaja' poster calon Menteri Besar Kelantan yang pada masa itu ialah Dr. Awang Adek Husin. Penulis hairan kenapa mereka memilih taktik ini sedangkan UMNO/BN negeri jiran merekapun yakni Kelantan tidak menggunakan taktik ini.

Cadangan penulis pada PRU kali ini berbekalkan semangat Gelombang Merah bertatahkan misi Acu Try Sepengal jangan sekali-kali UMNO/BN Kelantan menggunakan taktik ini, biarkan rakyat 'tertanya-tanya' siapakah yang bakal bergelar Menteri Besar sekiranya UMNO/BN Kelantan dapat membentuk Kerajaan Negeri Kelantan, 

Begitu juga semangat setiakawan di kalangan ahli hendaklah dipertingkatkan bagi memastikan impian Acu Try Sepenggal menjadi kenyataan dan bukan lagi 'omong-omong' kosong, kesepakatan di dalam membentuk perpaduan di kalangan ahli parti hendaklah dilakukan, ini adalah penting di dalam merealisasikan hasrat Acu Try Sepenggal.

Baca Lagi!

Tuesday, February 7, 2012

PEMBUBARAN PARTI KITA

PEMBUBARAN PARTI KITA
Oleh: yieMEGA

Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) merupakan sebuah parti yang ditubuhkan oleh Zaid Ibrahim selepas keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Namun semacam ada masaalah sahaja dengan parti KITA ini sejak akhir-akhir ini apabila Presidenya Datuk Zaid Ibrahim membuat sidang media meluahkan perasaanya ingin membubarkan kita.

Jika benar KITA hendak dibubarkan ini bermakna perjalanan parti KITA hanya terhenti setakat ini sahaja. Sekaligus menjadikan parti KITA sebagai parti yang paling singkat wujudnya di Malaysia ini. Persoalan yang timbul yang timbul di benak fikiran penulis adalah kenapa KITA nak dibubarkan sekarang kenapa tidak beberapa tahun akan datang, sedangkan parti ini masih belum diuji keupayaanya semasa pilihan raya.

Bagi penulis perbuatan Zaid Ibrahim maaf cakap bukan maksud penulis untuk membuat beliau marah tetapi sekadar renungan dan kritikan membina untuk beliau, perbuatan beliau itu boleh diumpamakan sebagai "Berundur sebelum berperang" Ya lah Pilihan Raya tak masuk lagi tapi dah nak bubar parti.

Parti KITA bagi penulis perlu terus wujud kerana ia dapat menyeimbangkan diantara oposisi dengan kerajaan, dimana rakyat ada satu lagi pilihan iaitu bagi mereka-mereka yang berkecuali sudah tentu mereka boleh memilih KITA sekiranya mereka merasakan kedua-dua pihak iaitu oposisi dan kerajaan tidak menepati citarasa mereka.

Kadang-kadang terfikir juga penulis, mengapa dengan tiba-tiba sahaja Zaid Ibrahim ingin membubarkan KITA sedangkan beberapa pemimpin negeri KITA masih mahukan agar parti ini terus wujud. Mungkin Kenyataan Akhbar mengenai masa depan parti kita ini boleh membantu.

Nasihat penulis kepada Zaid Ibrahim, jangan cepat berputus asa teruskan perjuangan anda dengan KITA dan cuba lihat penerimaan rakyat pada PRU13 yang bakal mendatang, setidak-tidaknya prestasi sebenar KITA dapat dinilai dengan seadil-adilnya.

Baca Lagi!

Sunday, February 5, 2012

Beri Peluang Kepada Graduan Menganggur Menjadi Pemimpin

Beri Peluang Kepada Graduan Menganggur Menjadi Pemimpin
Oleh: yieMEGA

GRADUAN merupakan aset terpenting bagi sesebuah negara. Universiti di sinilah tempat lahirnya mereka yang bergelar graduan. Negara kita mempunyai dua sektor pendidikan tinggi utama. Pertama sekali Institusi Pengajian Tinggi Awam atau ringkasnya IPTA dan satu lagi ialah Institusi Pengajian Tinggi Swasta atau ringkasnya IPTS.

Dewasa ini, kita sering mendengar berita-berita mengenai begitu banyaknya Graduan menganggur di negara kita yang tercinta ini. Semakin hari bilangan graduan yang menganggur terus meningkat, keadaan ini menjadi bertambah parah apabila had umur bersara kakitangan awam dinaikkan menjadi 60 tahun.

Penulis kurang pasti lah pulak kenapa had umur bersara kakitangan awam dinaikkan menjadi 60 tahun. Mengikut satu sumber ia adalah atas cadangan Cuepacs, namun maklumat ini belum betul-betul sahih lagi. Namun, sekiranya ia satu cadangan Cuepacs bagi penulis ini adalah satu cadangan yang amat buruk.

Kita lupakan mengenai had umur bersara kakitangan awam itu, berbalik kita kepada motif utama artikel ini diterbitkan iaitu mencadangkan kepada mana-mana parti politik di tanah air kita supaya memberikan peluang kepada graduan-graduan menganggur untuk menjadi pemimpin.

Pada pandangan penulis sekiranya graduan-graduan menganggur diberi peluang untuk menjadi pemimpin sedikit sebanyak akan mengurangkan kadar pengangguran di negara kita ini. Bagaimanakah caranya untuk menjadikan graduan-graduan menganggur ini sebagai pemimpin? Jawapanya mudah sahaja mana-mana parti politik yang ingin turut serta perlulah mencalonkan graduan-graduan menganggur untuk menjadi calon-calon mereka semasa Pilihan Raya Umum. Dengan cara ini, secara automatisnya mampu membuatkan graduan menganggur menjadi pemimpin.

Apakah implikasi kepada parti-parti politik yang mencalonkan graduan menganggur sebagai calon pilihan raya mereka? Banyak faedahnya yang akan diterima oleh parti politik yang menggunakan graduan menganggur sebagai pemimpin mereka, contohnya sebagai graduan mereka masih bersih daripada sebarang isu yang mampu menganggu-gugat kedudukan parti.

Kesimpulanya peluang perlu diberikan kepada graduan-graduan menganggur untuk menjadi pemimpin sekaligus dalam masa yang sama membantu mengurangkan kadar penganguran di negara kita yang tercinta ini.

Baca Lagi!

Friday, February 3, 2012

PAS Perlu Kembali Ke Perjuangan Asal

PAS Perlu Kembali Ke Perjuangan Asal
Oleh: yieMEGA

DEMI Politik manusia sanggup berbuat apa sahaja asalkan mereka mendapat kuasa politik. Realiti Politik di Malaysia pada hari ini ialah penggiat-penggiat politik sanggup lakukan apa sahaja untuk mendapat sokongan demi kuasa politik.

PAS tidak terkecuali dengan realiti ini, mereka terpaksa melakukan apa sahaja demi kuasa dan kesinambungan politik. Mereka perlukan sokongan semua kaum untuk membolehkan mereka berkuasa. Oleh yang demikian, kita lihat PAS sejak akhir-akhir ini sudah jauh berubah tak keterlaluan kalau penulis kata PAS sekarang merupakan sebuah Parti Islam yang Liberal.

Lihat saja apa yang parti ini lakukan sejak akhir-akhir ini, keputusan-keputusan yang dibuat oleh parti ini kebelakangan ini ternyata kelihatan lebih Liberal berbanding sebelum ini. Adakah PAS terpaksa menjadi Liberal untuk mendapat sokongan ataupun dipaksa oleh parti yang menunjangi Pakatan Rakyat bagi meraih sokongan ramai.

Lihat sahaja keputusan terbaru yang PAS buat iaitu keputusan memecat keahlian Hassan Ali daripada menjadi ahli PAS dan pemecatan itu berpunca daripada satu saja iaitu kritikan Hassan Ali terhadap Anwar Ibrahim. Nampaknya sekarang ini Anwar Ibrahim lebih berkuasa di dalam PAS berbanding Hadi Awang mahupun Tok Guru Nik Aziz.

Timbul juga persoalan di benak pemikiran penulis, adakah akan berlaku sebagaimana yang pernah terjadi di dalam UMNO di mana Anwar Ibrahim telah berjaya menjatuhkan Allahyarham Tun Ghafar Baba suatu masa dulu.

Tidak dinafikan perkara ini akan terjadi, tambahan pula baru-baru ini Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang meluahkan hasrat ingin bersara dan melepaskan jawatan Presiden. Sekiranya ini berlaku bermakna Anwar Ibrahim sudah berjaya mencorakkan PAS mengikut corak yang diingini oleh beliau.

Begitu juga, demi Pakatan Rakyat PAS sanggup menjadi parti Islam yang Liberal. Kadang-kadang kelihatan PAS hanyalah sebuah parti 'Pak Turut' di dalam Pakatan Rakyat. Bagi penulis PAS sememangnya tidak layak menjadi parti 'Pak Turut' sepatutnya merekalah yang menunjangi Pakatan Rakyat.

Entah sampai bila PAS ingin terus membiarkan parti mereka terus diperalat oleh Anwar Ibrahim. Sekiranya PAS masih belum sedar sampai bila-bila pun mereka akan dipergunakan oleh Anwar Ibrahim untuk kepentingan diri Anwar Ibrahim sendiri.

Hassan Ali seorang bekas pemimpin PAS yang tabah, impian murni beliau untuk membersihkan PAS daripada anasir-anasir jahat atau yang dilabel sebagai 'Parasit' oleh Hassan Ali telah disekat sehinggakan beliau dikeluarkan dari PAS, namun perjuangan itu diteruskan di luar PAS.

Daripada beberapa kenyataan Hassan Ali jelas sekali 'hati dan jiwanya' masih lagi PAS dan tidak berminat untuk berhijrah kepada parti-parti yang menjadi lawan kepada PAS mahupun parti yang menjadi 'kawan' kepada PAS. Bagi meneruskan agenda perjuangan beliau menubuhkan JATI.

Hari-hari terus berlalu, PAS terus berubah dan berubah lagi berubah....perjuangan mereka selama ini sekarang ini sudah tidak kendengaran mungkin benar mereka sudah menjadi sebuah parti 'Pak Turut' di dalam Pakatan Rakyat.

Tahniah diucapkan kepada mereka-mereka yang dilabel 'parasit' oleh Hassan Ali kerana mereka sudah berjaya merosakkan PAS. Perjuangan mereka-mereka di dalam PAS sebelum ini sudah menjadi sia-sia dek kerana 'parasit-parasit' di dalam PAS.

Akhirkalam, pada pandangan penulis PAS perlu kembali kepada perjuangan asal dan berhenti daripada menjadi parti yang hanya menjadi 'Pak Turut' di dalam Pakatan Rakyat.

Baca Lagi!

Tuesday, January 31, 2012

Kesejahteraan dan Kemakmuran Rakyat

Kesejahteraan dan Kemakmuran Rakyat
Oleh: yieMEGA

RAKYAT merupakan satu yang terpenting bagi sesebuah negara, tidak akan bermakna sebuah negara kalau ianya tidak di diami rakyat. Begitu juga dengan kerajaan, tidak ada gunanya kerajaan sekiranya tiada rakyat tambahan pula rakyat yang memilih kerajaan.

Dewasa ini, rakyat memainkan peranan penting di dalam pembentukkan kerajaan, rakyat jugalah yang akan menentukan masa depan sesebuah parti politik. Rakyat Marhaen juga akan memilih kerajaan yang menepati 'selera dan citarasa mereka' dan pastinya parti politik yang tidak menepati selera mereka akan ditolak ketepi oleh mereka.

Kerajaan perlu prihatin dengan 'selera dan citarasa' di dalam menentukan kesinambungan kuasa kerajaan yang berkuasa. Kegagalan kerajaan memenuhi 'selera dan citarasa' rakyat sudah pastinya ia akan secara 'mandatori' akan dihukum rakyat di dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang. Inilah yang dikatakan 'suara rakyat suara keramat'.

Kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dipilih menjadi tajuk artikel penulis pada kali ini. Di dalam artikel ini kita akan membincangkan sejauh mana pentingnya kesejahteraan dan kemakmuran rakyat. Sejak akhir-akhir ini kita sering mendengar Kerajaan sering mengumumkan perkara-perkara yang berkaitan dengan "kesejahteraan dan kemakmuran rakyat".

Kebelakangan ini kita sering mendengar mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) dan yang terbaru Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1M) itulah sebahagian program-program yang ada kena mengena dengan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Sejak akhir-akhir ini kita dapat lihat bahawa kerajaan begitu aktif dan bersungguh-sungguh di dalam memberikan kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat. Persoalanya cukupkan program-program yang bakal memberikan kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat? Adakah ianya benar-benar sampai ke semua rakyat marhaen atau beberapa kerat sahaja yang mendapat kemakmuran dan kesejahteraan daripada program-program tersebut.

Bagi penulis program-program yang direncanakan oleh kerajaan untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat tetapi keberkesanan program itu perlulah dipertingkatkan lagi. Penulis kerap kali mendengar rungutan daripada rakyat marhaen yang banyak bantuan-bantuan kerajaan yang tidak sampai kepada rakyat ini adalah kerana wujudnya Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKK) yang mengagihkan bantuan tersebut secara 'pilih bulu' dan juga 'pilih parti'.

Perkara-perkara yang seumpama inilah yang perlu dielakkan oleh kerajaan kerana perkara sebeginilah yang akan menjadi liabiliti kepada kerajaan yang berkuasa. Ketirisan bantuan kerajaan ini bakal mendatangkan kemarahan rakyat. Oleh yang demikian, Kerajaan perlu memantau semua Pengerusi JKK dan pastikan JKK yang gagal menjalankan tugas dengan baik diberhentikan dan digantikan dengan JKK yang bertangungjawab.

Cara lain yang mungkin boleh digunakan kerajaan ialah cuba adakan satu program memberi kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat yang tidak memerlukan ia disalurkan melalui JKK mahupun mendapat pengesahan JKK biarlah ia dibuat menerusi agensi-agensi kerajaan yang sedia ada kerana buat masa ini merupakan cara yang terbaik.

Kepada semua Pengerusi JKK di seluruh negara janganlah menjadi JKK yang memilih bulu kerana ia akan memberi reputasi yang buruk kepada kerajaan. Jangan sampai anda menjadi penyebab kenapa rakyat membenci kerajaan. Fikir-fikirkanlah....

Baca Lagi!

Monday, January 30, 2012

Satu Perkara yang patut difikirkan mengenai PAS dan UMNO

Satu Perkara yang patut difikirkan mengenai PAS dan UMNO

Oleh: yieMEGA

SATU PERKARA yang patut kita semua rakyat fikirkan mengenai PAS dan UMNO sengaja penulis menjadikanya tajuk untuk artikel penulis pada kali ini. Idea ini timbul apabila penulis terpandang satu Poster Ceramah Politik yang berbunyi "Anak Muda Tolak UMNO" kalau tak silap penulis lah.

Sebelum ini penulis juga pernah terpandang Poster Ceramah Politik yang bertajuk "Asal Bukan UMNO". Melihat kepada logo yang diletakkan di poster tersebut ternyata poster tersebut disediakan oleh PAS. Selain itu di satu masa yang lain penulis pernah melihat satu Poster Ceramah Politik yang bertajuk "Selamat Tinggal PAS" dan ianya disediakan oleh UMNO.

Jadi berdasarkan poster-poster di atas, penulis membuat kesimpulan bahawa PAS hanya bermusuh dengan UMNO dan UMNO hanya bermusuh dengan PAS. Sedangkan kedua-dua parti ini didominasi oleh orang Islam berbangsa Melayu.

Setakat ini, tak pernah penulis jumpa Poster Politik yang disediakan oleh PAS menyerang parti-parti komponen BN yang lain selain daripada UMNO. Sebaliknya kebanyakkan tajuk-tajuk yang dicipta adalah lebih kepada untuk menyerang UMNO, Adakah ini bermakna PAS memusuhi Orang Islam sendiri dan tidak memusuhi orang kafir?

Untuk berlaku adil, jarang juga penulis menjumpai risalah atau poster yang disediakan oleh UMNO yang menghentam parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat cuma bukan tiada langsung sepertimana PAS cuma ianya jarang dilakukkan UMNO tetapi tetap menumpukan serangan kepada PAS semata-mata.

Terlintas juga di pemikiran penulis, mengapa PAS lebih suka menyerang UMNO berbanding parti lain dalam Barisan Nasional begitu juga dengan UMNO mengapa mereka lebih suka menyerang PAS berbanding parti-parti lain di dalam Pakatan Rakyat.

Adakah ini bermakna PAS hanya memusuhi UMNO dan UMNO hanya memusuhi PAS. Mengapa ini semua harus berlaku? Orang Islam memusuhi orang Islam sendiri, sebaliknya yang bukan Islam dijadikan sahabat baik lagi suci.

Kalau begini jadinya bermakna rancangan musuh-musuh Islam yang ingin memecahbelahkan umat Islam di seantero dunia akan menyadi kenyataan dan dapat direalisasikan. Mereka melaga-lagakan sesama Islam, apabila umat Islam bertelingkah sesama Islam mereka bertepuk tangan dan akan terus mengatur strategi untuk menjadikan umat Islam sebagai hamba mereka.

Sampai bila 'peel perangai' kedua-dua parti ini nak berubah ataupun mereka tidak akan berubah sampai bila-bilapun. Setakat hari ini semua parti ini begitu 'keras kepala' PAS dengan cara PAS, UMNO pula dengan cara UMNO.

Baca Lagi!

Sunday, January 22, 2012

Gong Xi Fa Cai

Gong Xi Fa Cai
Oleh: yieMEGA

TAHUN baru Cina akan disambut esok. Suasana 1Malaysia dalam menyambut Tahun Baru Cina jelas dirasai. Kebetulan Tahun Baru Cina kali ini ialah Tahun Naga Air. Kesempatan ini penulis nak ucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua pembaca blog penulis yang berbangsa Cina.

Bertuahlah kepada mereka-mereka yang menyambut Tahun Baru Cina di Malaysia. Apa tidaknya mereka dapat menyambut kedatangan tahun baru mereka dengan aman damai tanpa kacau bilau di kebanyakkan negara lain.

Bercakap mengenai Tahun Baru Cina, tahun ini merupakan Tahun Naga Air. Menurut kepercayaan masyarakat Cina Tahun Naga Air ini memberi energi kehidupan dan akan berlaku perubahan yang besar pada tahun ini. Apakah perubahan besar yang akan berlaku pada tahun ini? Kita Nantikanya apakah perubahan besar yang bakal berlaku itu pun sekiranya berlaku.

Penulis berharap Tahun Baru Cina pada kali ini memberi seribu erti kepada semua rakyat Malaysia yang berbangsa Cina. Moga-moga tahun ini mendatangkan kebahagian kepada mereka. Salam Gong Xi Fa Cai ini penulis buat sesuai dengan semangat 1Malaysia yang kerap kali disebut akhir-akhir ini.

Sambutan Tahun Baru Cina ini pasti akan bertambah meriah apabila masing-masing akan mengadakan sesi rumah terbuka. Di dalam Tahun Baru Cina yang lepas sambutan terhadap rumah-rumah terbuka ternyata meriah termasuklah rumah terbuka yang dianjurkan oleh Kerajaan Malaysia.

Baca Lagi!
Blog Widget by LinkWithin