Bilangan Pengunjung:

Thursday, June 5, 2008

Harga Minyak : Cara Pak Lah Selesaikan Masalah

Hari ini telah diumumkan bahawa harga petrol telah dinaikkan sebanyak RM 0.78 seliter, bermakna, rakyat hari ini terpaksa membayar RM 2.70 bagi setiap liter, berkuatkuasa 12 tengah malam ini. Walaupun pada mulanya dikatakan akan menaikkan harga petrol pada bulan Ogos, namun seperti biasa Pak Lah sekali lagi memungkiri kata-katanya kepada rakyat.

Saya sendiri yang telah pun merancang perbelanjaan saya untuk mempersiapkan diri menghadapi kenaikan harga minyak dua bulan lagi seperti melangsaikan hutang dan sebagainya, menepuk dahi kerana terpaksa pula menghadapi kenaikan ini secara tiba-tiba.


Jika kita masih ingat, tahun 1997-1998 dahulu ketika dunia dilanda kegawatan ekonomi, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir telah menambat nilai matawang kita. Kesannya, rakyat ketika itu tidak begitu terasa bahang kegawatan tersebut. Begitulah gaya seorang pemimpin dinamik yang mampu menyelamatkan rakyatnya daripada merasai secara terus setiap konflik dan krisis yang dihadapi dunia. Idea dan buah fikirannya akan menjadi perisai kepada rakyat daripada merasai kesusahan. Berbeza dengan Pak Lah hari ini, yang setiap keputusannya menuntut rakyat bersama-sama menderita bersama kerajaan menanggung masalah negara.

Pemimpin seperti Pak Lah dilihat tidak dapat menyelesaikan masalah, sebaliknya lebih berminat memberikan penjelasan kepada rakyat supaya rakyat memahami "kesusahan" kerajaan. Contohnya, menjelaskan kepada rakyat, bahawa negara lain membayar harga petrol lebih mahal daripada Malaysia. Ini bukanlah perkara yang diharapkan oleh rakyat daripada sebuah kerajaan yang telah dipilih. Rakyat mahukan penyelesaian, bukannya penjelasan.

Lihat sahajalah zaman Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri ketika dahulu, hinggakan pada satu tahap di mana timbalannya hendak mendapatkan bantuan IMF, tetapi Dr Mahathir telah berjaya mengeluarkan penyelesaian terbaik yang tidak membebankan rakyat walaupun ketika itu dunia huru-hara kerana kemelesetan ekonomi. Saya pada masa itu mempunyai beberapa orang rakan dari negara jiran berasa kasihan mendengar keluhan mereka kerana terpaksa menanggung kesusahan kerana kerajaan mereka gagal menangani masalah kemelesetan ekonomi tersebut. Di dalam hati saya ketika itu mengucapkan rasa kesyukuran kerana mempunyai Perdana Menteri yang bijak seperti Tun Dr Mahathir.

Pak Lah nyata kekurangan idea. Beliau sebenarnya tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia ketika dunia dilanda kegawatan seperti ini. Rakyat memerlukan seorang pemimpin yang bijak, berpandangan jauh dan berwawasan untuk menangani segala krisis yang mungkin dihadapi. Kerana itulah rakyat memerlukan kerajaan. Rakyat memilih kerajaan untuk dipertanggungjawabkan memikirkan masalah rakyat. Bukannya kerajaan yang tidak habis-habis membebankan rakyat dengan masalah kerajaan.

Tetapi itulah cara Pak Lah menyelesaikan masalah. Memang harga minyak global sekarang sangat tinggi tetapi bagi saya itu bukan soalnya. Soalnya sekarang ini adalah kerajaan hari ini tidak lagi mampu memberikan subsidi. Mengapa begitu? Jawapannya mudah, kerajaan pimpinan Pak Lah hari ini tidak lagi mampu menjana ekonomi dengan berkesan. Kantung kewangan kerajaan semakin kekeringan dan pertumbuhan ekonomi pula adalah lembap. Sepatutnya Pak Lah duduk semeja berbincang dengan Dr Mahathir meminta buah fikiran berdasarkan pengalaman luas Dr Mahathir mentadbir negara. Tapi hari ini Tun dihina, dikutuk dan dikeji.

Kepada rakyat Malaysia, saya menyeru supaya kita semua menunaikan solat taubat. Mungkin kita terlalu banyak melakukan dosa hinggakan kita dikurniakan seorang Perdana Menteri yang dungu seperti Pak Lah. Lihat sahajalah jawapan Pak Lah ketika negara tidak cukup beras tempoh hari, disuruhnya pula kita makan ubi kentang dan makan nasi segenggam sehari. Siapa sahaja boleh jadi PM begitu. Kesimpulannya, Pak Lah harus undur. Beliau patut mengakui beliau tidak mampu memimpin negara membangun seperti Malaysia. Berundur bukan bererti kalah, tetapi akan diingati oleh rakyat sebagai pengunduran penuh maruah dengan mementingkan kepentingan rakyat melebihi segala-galanya.

dipetik dari:
http://www.mykmu.net

No comments:

Blog Widget by LinkWithin