Bilangan Pengunjung:

Saturday, June 14, 2008

Mufti Perlis rayu Mahathir-Pak Lah-Anwar-Nik Aziz ‘duduk semeja’

MUFTI Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini menyeru pemimpin-pemimpin Melayu Muslim agar duduk semeja atas semangat persaudaraan untuk menyelesaikan masalah negara yang sedang dihadapi kini.

Dr Asri membuat seruan ini setelah melihat perkembangan politik yang tidak berapa sihat dewasa ini.

“Memandangkan masa depan umat Islam yang mula goyah maka saya merayu pemimpin-pemimpin politik Melayu Islam agar dapat duduk semeja atas semangat persaudaraan Islam bukan atas semangat politik kepartian,” kata Dr Asri ketika dihubungi di sini tengahari.

Katanya lagi, masa depan negara dan umat lebih utama daripada segala-galanya.

“Maka saya merayu kepada tokoh-tokoh yang mempunyai hubungan baik dengan saya iaitu Tun Mahathir, Datuk Seri Abdullah Badawi, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Nik Aziz agar sudi duduk semeja demi kepentingan negara,” jelas Dr Asri.

Menurut Dr Asri, keadaan politik semasa membuat beliau terpanggil untuk membuat rayuan ini.

“Disebabkan ketidaksefahaman ini, orang lain mengambil kesempatan dan ini bukanlah masa yang sesuai untuk kita terus bertelagah,” katanya.

Beliau juga menyarankan masa sekarang ini untuk mereka berbincang tentang masalah negara yang sudah mencapai tahap kronik ini.

“Saya rasa masa sekarang ini adalah masa yang sesuai untuk mereka membincangkan hal tersebut. Setiap pemimpin juga perlu berdiskusi dengan parti masing-masing tentang apa yang mereka inginkan demi mencapai matlamat rakyat dan negara.

“Saya cuma mencadangkan. Walaubagaimanapun, saya rasa mereka patut lakukannya sambil mendengar luahan hati antara satu sama lain,” terang Dr. Asri lagi.

Jika mereka bersetuju, mahukah Dr. Asri dilantik menjadi ‘orang tengah’ di dalam perbincangan tersebut?

Katanya, “Biarlah mereka pilih sendiri orang yang lebih sesuai.”

Dalam isu lain yang bersangkutan, Dr Asri mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan pusat dan negeri yang berusaha melakukan pemotongan elaun demi kepentingan rakyat.

“Di harapkan langkah-langkah lain terus diambil. Pihak istana-istana di seluruh negara juga perlu melakukan tindakan yang menggambarkan keprihatinan mereka terhadap rakyat.

“Demikian juga syarikat-syarikat swasta dan badan koperat yang berasingan yang mempunyai pendapatan yang tinggi termasuk Petronas perlu mengambil langkah yang sama. Pada masa inilah kita semua cuba membuktikan tangungjawab dan cinta kita terhadap rakyat,” kata Dr Asri.

Dr Asri akan mengulas lagi tentang isu ini petang nanti di Hotel Vistana di dalam satu sidang akhbar.

dipetik dari:

http://drmaza.com

No comments:

Blog Widget by LinkWithin