KEMANAKAH HILANGNYA DASAR KETERBUKAAN PAK LAH?
Oleh : yieMEGA
Penulis terlebih dahulu ingin mengucapkan selamat membaca kembali artikel penulis yang sudah lama tidak menghantarnya kepada Sinar Harian untuk disiarkan. Penulis juga ingin memohon maaf sekiranya sepanjang ketiadaan artikel penulis di akhbar pilihan utama yang bersifat neutral ini telah menyebabkan pembaca setia Sinar Harian tertanya-tanya kemanakah perginya penulis, sebenarnya penulis sebelum ini boleh dikatakan agak sibuk memandangkan banyak tugas-tugas yang terpaksa penulis pikul dan sekaligus mengurangkan sedikit masa untuk penulis menghasilkan artikel terbaru. Penulis berharap artikel ini dapat mengubat sedikit kerinduan pembaca kepada artikel-artikel yang ditulis oleh penulis.
Janji Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi
Selepas Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr. Mahathir Bin Mohammad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan juga semua jawatan di dalam UMNO, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi dipilih sebagai pengganti. Penulis masih mengingati janji Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang akan menggunakan Dasar Keterbukaan di dalam era kepimpinanya dan juga Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan Slogan “Bekerja bersama-sama saya bukan bekerja untuk saya”
Pada masa itu penulis meramalkan pada masa itu Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi ini seorang yang telus dan tidak meminta orang-orang untuk berkerja untuknya tetapi bekerja bersama-sama denganya. Bukan sahaja penulis meramalkan begitu bahkan rakyat pun meramalkan sedemikian rupa sehinggakan diterjemahkan di dalam Pilihan Raya Umum 11 di mana Barisan Nasional mampu menguasai balik Kerajaan Negeri Terengganu dan hampir-hampir menguasai Kerajaan Negeri Kelantan dan memaksa PAS memerintah Kelantan dengan majority mudah.
Mungkin juga pada masa itu Pengenalan Konsep Islam Hadhari juga telah mengubah sedikit pemikiran rakyat terhadap Barisan Nasional dengan mungkin juga menganggap pada masa itu konsep Islam Hadhari di anggap oleh rakyat sebagai satu langkah Barisan Nasional untuk menuju kea rah Islam. Sebenarnya penulis tidak berapa setuju dengan Islam Hadhari ini tetapi bukanlah pada isinya ia pada namanya. Isinya penulis memang akui ia memang baik tetapi namanya telah mengelirukan orang ramai dan lebih teruk lagi apabila wujud golongan tertentu berusaha mengelirukan orang ramai tentang Islam Hadhari ini.
Apa sudah jadi pada janji Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
Pertama sekali penulis ingin membuat sedikit penilaian berhubung janji Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai Dasar Keterbukaan yang akan di amalkanya sewaktu menjadi Perdana Menteri dan juga Presiden sebuah parti yang bernama UMNO. Sebenarnya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memungkiri janji untuk melaksanakan dasar keterbukaan semasa era kepimpinanya apabila seorang Blogger yang merupakan ahli UMNO dipecat menjadi ahli UMNO kerana mengkritik beliau sebagai Pemimpin tertinggi di dalam UMNO. Jelas ini adalah kali pertama beliau telah melanggar dasar keterbukaan yang ingin dilaksanakanya.
Dasar Keterbukaan ini terus dilanggar oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila beliau telah membawa Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Zaid Ibrahim yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang dan Tajuddin Abdul Rahman yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Salak ke Lembaga Disiplin UMNO dan ikuti kenyataan berbaur ugutan daripada Lembaga Disiplin UMNO yang mengatakan mungkin sesiapa yang di bawa ke Lembaga Disiplin UMNO akan hilang hak untuk bertanding. Persoalanya mengapa tindakan sejauh itu patut diambil kerana bergaduh menggunakan media seseorang itu di larang bertanding? Tidak kah sepatunya tindakan sejauh itu hanya dikenakan ke atas sesiapa yang mengamalkan politik wang ataupun sama sahaja politik wang dengan bergaduh dengan menggunakan media? Sepatunya Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi lebih rasional dalam hal ini.
Tekanan yang diberikan oleh Menteri Belia dan Sukan yang baru Datuk Ismail Sabri dan juga bekas Menteri Belia dan Sukan ke atas anak kepada Tun Dr. Mahathir Bin Mohammad iaitu Datuk Mokhzani Mahathir untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi Sepang International Circuit (SIC) hanya kerana Datuk Mokhzani bukan lagi ahli UMNO juga telah membuktikan dasar keterbukaan yang ingin dijalankan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO sekarang sudah hilang tambahan pula Tan Sri Sanusi Junid juga menerima tekanan yang sama kerana sebab yang sama iaitu kerana bukan lagi ahli UMNO. Dari Pemerhatian penulis jelas sekali Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memungkiri janjinya untuk memperkenalkan dasar keterbukaan.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini telah memperkenalkan slogan “bekerja bersama-sama saya bukan untuk saya” mungkin pada slogan tersebut orang akan menganggap Datuk Seri seorang yang baik dan tidak pentingkan diri. Namun pada masa ini penulis lebih melihat semua orang bekerja di bawahnya bukan bekerja bersamanya dan lebih kepada bekerja untuknya. Ini boleh dibuktikan apabila Menteri-Menteri Kabinet yang baru di lantik berhempas pulas mempertahankan beliau sampai ada yang sanggup mengeluarkan kata-kata yang boleh mengecilkan hati orang yang lebih tua daripadanya. Ini tidak masuk lagi ada yang mengherdik seorang warga mas yang bergelar negarawan yang sudah 22 tahun berjasa pada Negara dengan perkataan yang mungkin boleh dikatakan sebagai kasar contohnya seperti nyanyuk, tak sedar diri. Begitulah lumrah hidup manusia sepertimana kata pepatah Melayu yang berbunyi “Kacang sudah lupa kulit” atau dengan kata lain “Habis madu sepah dibuang”.
Dalam sibuk kita berkempen supaya golongan muda menghormati orang yang lebih tua, menteri kabinet pula telah memberi contoh yang tidak baik kepada generasi muda , ingatlah “Kalau cikgu Kencing Berdiri, Anak Murid Kencing Berlari” dan Ketam tidak akan dapat mengajar anaknya berjalan lurus. Jadi ubahlah sikap wahai Menteri Kabinet dan pohonlah Maaf kepada orang yang lebih tua daripada anda.
Semoga Datuk Seri Abdullah berpegang kepada janjinya untuk menggunakan dasar keterbukaan di dalam era kepimpinan beliau. Semoga Malaysia Selamat, Aman dan Makmur.
Artikel ini sudah dikirimkan kepada Sinar Harian, InsyaAllah kalau tak ada aral yang melintang ia akan disiarkan Sinar Harian. Sekian
No comments:
Post a Comment