Bilangan Pengunjung:

Friday, June 13, 2008

Kisah Pak Lah di Masjid Muhammadi Kota Bharu Kelantan

Hari ini Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO dan juga mertua kepada Khairy Jamaluddin telah membuat lawatan kerja ke Kelantan negeri yang diberikan dengan jolokkan "Serambi Mekah" itu. Beliau telah menunaikan Solat Berjemaah di Masjid Muhammadi Kota Bharu, Kelantan.

Secara kebetulan, penulis pun menunaikan solat jumaat di Masjid yang sama, namun penulis hanya sekadar jadi pemerhati sahaja nak tengok macamana sambutan rakyat terhadap beliau pasca pilihan raya dan juga pasca Kenaikkan harga minyak yang melampau dan tercatat di dalam sejarah harga minyak Malaysia.

Penulis melihat sambutan boleh dikira meriah walaupun tidaklah semeriah dulu. Apa yang menarik penulis tertarik dengan pertanyaan seorang kanak-kanak yang bertanya "Sapo hok mari ni Sulte ko Badawi?"di dalam loghat Kelantan yang bermaksud "Siapa yang datang ni, Sultan ke Badawi" dan beberapa minit kemudian apabila kelihatan susuk tubuh Pak Lah keluar daripada pintu Masjid Muhammadi seraya budak itu berkata "Badawi, Badawi, Badawi" lalu orang ramai yang sedang menanti berpaling ke arah budak itu dengan jelingan yang tajam. Lalu budak itu terdiam.

Penulis berpendapat tiada salahnya budak itu berkata begitu kerana mungkin budak itu pun merasa kesan kenaikkan harga minyak yang melampau yang diumumkan oleh Pak Lah. Sememangnya benar Kanak-kanak pun dapat 'tempias' daripada kenaikkan harga minyak baru-baru ini. Kalau pembaca tidak percaya cubalah tanya pada kanak-kanak kerana jarang sekali kanak-kanak menipu.

Berbalik kepada Sambutan Pak Lah di Masjid Muhammadi, apa yang penulis hairan kedatangan Pak Lah hari ini tidak seperti dulu, selepas Pak Lah turun daripada pintu Masjid dia terus memasuki keretanya tanpa melambai kepada rakyat seperti mana yang pernah diamalkan dulu sewaktu datang ke Masjid yang sama. Mungkin juga kegagalan UMNO atau Barisan Nasional yang terajuinya gagal menawan Kelantan menjadi faktor penyebab kerana kerana kegagalan itu memberi kemaluan yang amat besar terhadapnya. Boleh jadi juga mungkin kerana kenaikkan harga minyak yang diumumkanya juga memberi faktor penyumbang sehinggakan ia takut berhadapan dengan rakyat, lebih-lebih lagi rakyat Kelantan.

Akhir kalam, itulah serba sedikit kisah Pak Lah di Masjid Muhammadi Kota Bharu, Kelantan yang dapat penulis ceritakan dan kesimpulan yang boleh dibuat ialah rakyat sudah mula hilang hormat terhadap Pak Lah dan rakyat sudah tidak mempercayai lagi kata-katanya.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin