Bilangan Pengunjung:

Wednesday, June 4, 2008

Masyarakat berbilang kaum Malaysia

Saya ditanya apakah makna negara Malaysia berbilang kaum bagi saya.

Pengertian masyarakat majmuk berbeza bagi setiap negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum misalnya Singapura yang mendakwa ianya negara berbilang kaum tetapi secara dasarnya adalah sebuah Negeri yang dikuasai oleh penduduk berketurunan Cina yang besar.

Kerana keengganan keturunan kaum pendatang dari China dan India untuk di serap ke dalam masayarakat pribumi, kita terpaksa terima pengekalan identiti rakyat Malaysia daripada keturunan Cina dan India. Orang keturunan Indonesia memilih untuk diserap sebagai kaum pribumi oleh itu mereka tidak terbahagi kepada kaum-kaum yang berlainan.

Negara berbilang kaum pada kebiasaannya tidak stabil. Ketegangan kaum kerap berlaku. Jika Malaysia hendak mengelakkan konflik antara kaum ianya mesti cuba kurangkan perbezaan diantara kaum-kaum tersebut.

Kita tidak boleh menukar etnik. Jadi kita perlu menerima perbezaan etnik yang terdapat. Perbezaan agama juga tidak boleh ditukar.

Bagaimanapun, beberapa aspek perbezaan kebudayaan boleh di jadikan sesatu yang boleh diterimapakai oleh semua kaum. Makanan Cina di Malaysia melihatkan pengaruh cita rasa Melayu dan India. Kita juga boleh meraikan perayaan kaum-kaum lain dan sebagainya.

Perbezaan tahap pencapaian ekonomi merupakan satu masalah besar. Tetapi ianya juga merupakan satu bidang di mana pembetulan dapat dibuat dan ketegangan kaum dapat dikurangkan.

Jika kita mahu melihat, kita akan dapati bahawa walau di dalam negara yang mempunyai satu etnik sahaja pun perbezaan di dalam agihan kekayaan akan membawa kepada konflik. Sebab utama ideologi Sosialis dan Komunis diperkenalkan dan diterima pakai kelas pekerja adalah kerana jurang kekayaan yang terlalu besar di antara pekerja dan majikan. Tetapi Sosialis dan Komunis kerap membantutkan pertumbuhan ekonomi sehingga bukan sahaja yang kaya merasai kesan buruknya, tetapi juga yang miskin.

Kesatuan Sekerja juga boleh membantutkan pertumbuhan ekonomi kerana ianya sering disalahguna oleh pihak tertentu dengan, mengadakan mogok kerana sebab-sebab politik.

Konfrantasi di antara pekerja dan majikan, yang pada dasarnya adalah antara yang kaya dan yang miskin kerap berlaku termasuk di negara-negara bukan berbilang kaumpun.

Jika pekerja dan yang miskin sebahagian besarnya terdiri daripada satu kaum di dalam sebuah negara berbilang kaum manakala yang menjadi majikan yang kaya pula adalah daripada kaum yang lain, permusuhan antara kelas akan menjadi lebih buruk kerana perbezaan kaum. Itulah yang terjadi di Malaysia sebelum 1969, dan kita tahu hasilnya
Kepimpinan Melayu, Cina dan India ketika itu bersetuju bahawa perbezaan kekayaan diantara kaum mesti dikurangkan. Oleh sebab itu kita telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan menghapuskan identiti kaum dengan fungsi ekonomi.

Malangnya tindakan yang diambil tidak dapat tidak melibatkan diskriminasi terhadap kaum Cina dan India untuk memberi keutamaan kepada kaum Bumiputera. Ini menyebabkan ketidak puasan hati kerana di dalam kaum yang termaju dan mewah sekalipun terdapat sebilangan yang miskin. Mereka ini akan lebih merasai diskriminasi.

Satu lagi aspek DEB ialah untuk menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum. Daripada kajian yang dijalankan amat jelas bahawa terdapat lebih banyak kemiskinan di kalangan pribumi berbanding kaum Cina. Kemungkinan kemiskinan dapat di hapuskan di kalangan kaum Cina adalah lebih besar berbanding Melayu dan penduduk pribumi di sabah dan Sarawak. Malangnya pemimpin kaum India tidak membangkitkan masalah kemiskinan di kalangan mereka.
Jika kita hendak memperbetulkan ketidakseimbangan ini, adalah perlu untuk kita cuba mengurangkan kemiskinan di kalangan pribumi berbanding di kalangan kaum Cina. Tetapi jika terdapat di kalangan orang Cina yang miskin yang menunjukkan kebolehan luar biasa, umpamanya mendapat keputusan pepriksaan yang cemerlang, mereka tidak harus diketepikan daripada mendapat bantuan hanya kerana mereka adalah daripada kaum yang lebih kaya.

Secara prinsipnya DEB amat baik, tetapi di dalam pelaksanaannya terdapat beberapa kegagalan dan kelemahan. Bagaimanapun, sejak dari 1969 kita tidak melihat berlakunya konflik perkauman yang besar di Malaysia. Dan walaupun terdapat kelemahan pada DEB, Malaysia jauh lebih stabil daripada kebanyakan negara-negara berbilang kaum yang lain, begitu juga negara yang mempunyai satu kaum sahaja. Dan perkembangan ekonomi di Malaysia juga menidakkan apa-apa jangkaan negatif hasil daripada DEB.

Saya yakin jika kita boleh mengurangkan jurang ekonomi diantara rakyat Malaysia mereka tidak akan begitu hiraukan atau begitu tekankan akan perlunya mereka di identifikasikan menurut ketrurunan kaum mereka. Mereka akan tetap jadi Melayu, Cina, India, Murut, Bajau, Dayak dan sebagainya tetapi mereka akan kurangkan bersengketa tehadap satu sama lain.

Ras-ras di Malaysia saling berpaut antara satu sama lain dan mereka saling bergantung sesama mereka. Walaupun masyarakat berbilang kaum Malaysia akan terus berasingan daripada segi etnik kaum, namun Malaysia akan terus aman, berkeupayaan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan memperlihatkan keharmonian perhubungan antara kaum jika pimpinan negara ini memahami masalah yang terdapat dan mempunyai kemampuan mengurus.

Sebanyak itulah yang boleh kita harapkan kerana kita tidak bersetuju untuk bertuturkata di dalam satu bahasa dan mengamalkan satu budaya serta melepaskan identifikasi dengan negara-negara dari mana nenek moyang kita berasal.

dipetik dari:
h
ttp://www.chedet.com

No comments:

Blog Widget by LinkWithin