Bilangan Pengunjung:

Thursday, June 19, 2008

Isu Konsert di Piala Sultan Selangor

Beberapa hari lalu timbul isu berhubung tindakan Dewan Pemuda PAS meminta Konsert semasa Piala Sultan Selangor dibatalkan. Perlu ingat konsert sahaja yang Dewan Pemuda PAS tidak setuju tetapi Piala Sultan Selangor mereka setuju teruskan. Sudah menjadi kelaziman ada orang yang cuba menangguk di air yang keruh apabila The Star melaporkan Sultan Selangor Murka pada PAS. Apa yang menariknya berita ini tidak disiarkan oleh Utusan Malaysia akhbar yang telah diboikot oleh Pakatan Rakyat. Penulis mengandaikan umum mengetahui The Star mengetahui yang laporan The Star sebelum ini boleh disifatkan sebagai pro pembangkang tetapi lain pula jadinya kali ini.

Mungkinkah laporan The Star berkenaan Sultan Selangor Murka terhadap PAS itu adalah cubaan untuk menjatuhkan PAS yang datangnya daripada anggota Pakatan Rakyat sendiri? Politik sememangnya sejuta kemungkinan jadi mungkin ada pihak di dalam Pakatan Rakyat yang tidak senang dengan PAS.

Mengapa pula Utusan Malaysia yang diboikot oleh Pakatan Rakyat tidak menyiarkan laporan berita seumpama The Star itu? Ini sudah jadi pelik atau kata orang "Harapkan pagar-pagar makan padi" Maklumlah apa yang Pakatan Rakyat harapkan ialah akhbar-akhbar yang tidak diboikotnya akan terus membuat laporan yang memberikan kelebihan kepadanya tetapi lain pula jadinya sebaliknya yang diboikot itu boleh dikatakan memihak kepadanya kerana tidak melaporkan berita seumpama The Star itu.

Timbul juga persoalan cadangan memboikot Utusan Malaysia itu datang dari siapa? Adakah Parti Keadilan Rakyat (PKR) ataupun Parti Islam se Malaysia (PAS) dan mungkinkah Democratic Action Parti (DAP). Penulis merasakan kemungkinan besar idea untuk memboikot Utusan Malaysia ini berasal daripada DAP, maklum sahajalah The Star kan sebahagian daripada kaum kerabat DAP. Jadi sekiranya orang boikot Utusan Malaysia sudah tentu akan beli The Star jadi untunglah kaum kerabatnya dan pada masa yang sama mengambil kesempatan untuk melaga-lagakan Melayu.

Berbalik kepada isu Konsert di Piala Sultan Selangor. Apa yang menarik lagi ada juga Melayu daripada Pakatan Rakyat sendiri menyifatkan tindakan PAS itu sebagai "Menambahkan kebencian golongan muda terhadap PAS" Penulis merasakan kata-kata ini mungkin dari mulut orang yang berasal daripada Parti Keadilan Rakyat, sebuah parti sekular baru. Tujuan PAS sebenarnya untuk membuktikan beliau bukan Parti Islam Liberal seperti yang didakwa ramai selepas beberapa tindakan mereka sebelum ini disifatkan liberal.

Sebenarnya PAS tidak salah malah ianya berhak untuk menghalang konsert yang menampilkan dua orang wanita yang mendedahkan aurat dan yang paling mendukacitakan ada yang akan mendendangkan lagu dangdut. "Irama dan lagu tidak dapat dipisahkan" begitu jugalah dengan "Dangdut dan gelek sememangnya tidak dapat dipisahkan". Kerana tanpa "Gelek" bukan dangdut namanya walaupun gelek itu tidak lah sehebat "Goyang Gerudi Inul". Cuba bayangkan jika Pemimpin PAS yang selalu mengenakan Jubah dan Serban duduk menontong Konsert Dangdut yang memperagakan pinggul wanita? Sudah tentu ia tidak sesuai bukan.

Kesimpulan yang penulis buat daripada isu ini ialah isu ini adalah percubaan pertama untuk mengagalkan usaha PAS untuk melaksanakan polisi Syariah di negeri-negeri Pakatan Rakyat. Malah juga satu percubaan untuk mengagalkan usaha PAS untuk memperkenalkan Polisi berlandaskan Al-quran sekiranya Pakatan Rakyat Memerintah Malaysia. Ini sudah tentunya dilakukan oleh "Musuh di dalam selimut" siapa musuh dalam selimut itu? Bak Kata Nabil Raja Lawak 2 "Lu Fikir Lah Sendiri".

No comments:

Blog Widget by LinkWithin