Bilangan Pengunjung:

Sunday, April 20, 2008

DS Najib Tolong Selamatkan Siswa UNITAR!

Penulis sebelum ini pernah mengutarakan masalah ini di dalam blog milik penulis malah lebih dulu daripada Siasah Online menyiarkanya. Isu berkenaan siswa Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) ini bukan perkara main-main. Perkara ini melibatkan siswa dan secara tidak langsung melibatkan rakyat. Penulis bukanlah berniat untuk menangguk di air yang keruh tetapi niat penulis adalah baik untuk membela nasib rakyat dan juga bangsa kita yang menjadi anak didik UNITAR. Perlu diingatkan penulis mengkritik bukan kerana menentang tetapi mengkritik kerana sayang.

UNITAR yang terkenal dengan jolokkan 'universiti virtual pertama' di Malaysia yang dahulunya dikenali dan disegani. Dahulunya UNITAR ini diuruskan oleh KUB Malaysia Berhad tetapi kini sudah di bawah 'jagaan' Yayasan Pendidikan Tun Abdul Razak (Yayasan PINTAR) sebuah badan yang dipengerusikan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Penulis sendiri pernah 'merasa' bagaimana corak pengurusan yang dikendalikan oleh kedua-dua badan ini.

Ternyata perbezaanya amat nyata, zaman UNITAR diletakkan di bawah pengurusan KUB Malaysia Berhad siswa UNITAR tidak mengalami sebarang tekanan dalam pengajian mereka memandangkan pihak pengurusan tidak 'terlalu memaksa' untuk siswa melangsaikan hutang-hutangnya dengan pihak UNITAR, semasa itu UNITAR di bawaha 'jagaan' KUB yang dipengerusikan oleh Dato Hassan Harun. Namun, selepas Dato Hassan Harun meninggalkan KUB, siswa UNITAR mula mengalami tekanan demi tekanan sehinggakan mereka tidak mampu menumpukan sepenuh perhatian terhadap pembelajaran mereka.

Beberapa bulan kemudian, dikhabarkan pula Yayasan PINTAR akan mengambil alih UNITAR daripada KUB, berita ini pada mulanya memberi 'secangkir kegembiraan' kepada siswa UNITAR. Namun kegembiraan mereka hanya seketika seperti kata pepatah "Keluar daripada Mulut Singa Masuk Ke Dalam Mulut Buaya". pentadbiran UNITAR dibawah pengurusan Yayasan PINTAR juga memberi masalah kepada siswa berkenaan dengan yuran pengajian malah lebih teruk daripada dulu, bayaran yuran pengajian di UNITAR langsung tidak boleh dibawa berbincang! malah tekanan demi tekanan yang dikenakan oleh pengurusan UNITAR semakin hebat.

Memang benar UNITAR adalah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta, tetapi bukan semua yang melanjutkan pelajaran di sini ialah datangnya daripada keluarga kaya raya yang mempunyai harta bertimbun-timbun yang hidup berfoya-foya tetapi boleh dikatakan majoriti siswa yang melanjutkan pelajaran di UNITAR adalah datangnya daripada keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai anak berduyun-duyun, hutang berjela-jela. Kalau dikira dari segi statistik hampir 60% adalah siswa yang datangnya daripada keluarga berpendapatan rendah, 20% adalah siswa yang datangnya daripada keluarga sederhana dan 20% siswa yang berasal daripada keluarga kaya yang mempunyai harta bertimbun-timbun dan sekadar hidup berfoya-foya.

Penulis ingin menggesa DS Najib Tun Razak supaya menyelesaikan permasalahan ini, merekalah siswa merekalah rakyat, ibu dan bapa mereka juga adalah rakyat. Masalah lain yang menghatui mereka ialah Kadar Pinjaman PTPTN yang diberikan kepada mereka adalah lebih rendah berbanding yuran pengajian mereka atau dengan kata lain tidak mencukupi untuk membiayai yuran pengajian mereka inikan pula nak menampung perbelanjaan harian makan mereka. Mereka berhak mendapat lebih di kala siswa UNISEL yang berada di Selangor yang diterajui pembangkang mendapat pinjaman terlampau lebih daripada yuran pengajian yang ditaja oleh badan yang bernama PTPTN juga.

Yuran pengajian yang dikenakan juga membebankan memandangkan UNITAR sekarang diterajui oleh sebuah Yayasan sepatutnya yuranya lebih rendah daripada IPTS lain. Bayangkan yuran pengajianya RM5ooo - RM6000 untuk satu semester panjang dan RM2000 - RM3500 untuk satu semester pendek. Satu tahun UNITAR mempunyai dua semester panjang dan satu semester pendek. Memang amat membebankan siswa. Teringat kisah seorang sahabat penulis di masa sama-sama menuntut di UNITAR dulu, beliau menangis tak henti-henti kerana tidak tahan dengan tekanan yang diberikan oleh pihak UNITAR terhadapnya dan "Kata Nak Tolong Orang, tetapi ini nak menzalimi orang namanya' katanya sambil menitiskan air mata.

Cadangan penulis kepada DS Najib Tun Razak ialah supaya mengemaskinikan semula kadar yuran pengajian di UNITAR yang agak tinggi sekarang ini. Di samping itu, sistem belajar dulu bayar kemudian juga harus diperkenalkan bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung siswa UNITAR. Sebagai pengetahuan sistem belajar dahulu bayar kemudian ini telah dipratikkan oleh Kolej Teknologi Bestari, Putera Jaya, Setiu Terengganu dan tiada sebarang masalah.

Di samping itu, pihak pengurusan perlu menambahkan pensyarah atau tutor yang baru terutamanya di UNITAR kampus Kota Bharu kerana ia mengalami kekurangan pensyarah yang memaksa pihak pengurusan mengupah pensyarah luar yang sukar ditemui oleh siswa sekiranya mereka mempunyai masalah.

Pemulihan Universiti yang menjadi kebangaan UMNO ini wajar diberi keutamaan bagi memulihkan kembali sokongan rakyat kepada UMNO. Sebelum penulis mengakhiri artikel ini sekali lagi penulis ingin katakan bahawa tujuan penulis mengetengahkan isu ini bukan untuk menjatuhkan siapa-siapa, bukan mendapat upah daripada siapa-siapa, tetapi sudah menjadi hak penulis untuk menerangkan yang Haq (Kebenaran) di samping menyanggah kebatilan. Ingatlah Demi Islam untuk Melayu Kerana Mu Malaysia tanah air tercintaku.

Mengkritik bukan bermakna Menentang
Menyanggah bukan bermakna Membakang
Mengkritik bermakna Sayang
Menyanggah bermakna memberi Peluang

No comments:

Blog Widget by LinkWithin