Bilangan Pengunjung:

Saturday, April 26, 2008

Ku Li: UMNO perlu kembali kepada visi asal dan membuktikan persepsi popular hari ini tidak benar


Mantan Naib Presiden UMNO Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah petang ini mengatakan UMNO perlu merenung semula dasar, cara pergerakan dan pandangan serta penerima ahli, terutama orang Melayu. “Perlu dibuktikan bahawa persepsi rakyat hari ini keatas UMNO sebenarnya tidak betul dan UMNO sebenarnya masih lagi relevan untuk orang Melayu, rakyat Malaysia dan menangani cabaran Globalisasi”.

Beliau membuat gesaan ini dalam satu majlis bersama sama Cawangan Umno sekitar Subang Jaya di Holiday Villa.

Kuasa orang Melayu hari ini bergantung kepada kekuatan sokongan dari Sabah dan Sarawak kerana calon UMNO telah kalah dan tidak lagi mempunyai kekuatan seperti pilihanraya umum sebelum ini.

“Biasanya dalam sistem demokrasi, Kerajaan yang tidak mendapat sokongan majoriti, tidak akan berkesan” ujar pemimpin UMNO berusia 71 tahun itu. “Rakyat mahukan sistem ‘check and balance’, yang ditafsirkan dalam Pilihanraya Umum ke XII (PRU 12) 8 Mac 2008, melalui undi popular. Demokrasi makin matang, maju dan celik politik”.

UMNO ditolak dalam PRU 12 kerana keputusan yang dibuat Kerajaan tidak memihak dan menjaga kepentingan rakyat kerana Kepimpinan tidak mendengar hasrat akar umbi. “UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO”. Imej dan Perjuangan UMNO perlu membayangi aspirasi akar umbi yang mereka pimpin.

“Rakyat ini hilang keyakinan dan marah kepada BN dan UMNO”. Beliau menegaskan. Walaubagaimanapun, beliau tidak begitu yakin Pakatan Rakyat dengan mudah dapat menubuhkan Kerajaan kerana calon pemimpin mereka bukanlah dari golongan yang cukup mantap. “Yang penting UMNO perlu kembalikan usaha meyakinkan rakyat, memperkuatkan parti dan ubah budaya.

Keadaan yang berlaku hari ini ialah pada orang Bukan Melayu, parti komponen BN terlalu mengikut kehendak UMNO sehingga mereka ditolak sama sekali. Walaubagaimanapun, pada orang Melayu, UMNO dilihat terlalu berkompromi kepada desakan orang Bukan Melayu.

“Krisis yang melanda hari ini ialah mengenai nilai dan Kepimpinan” ujar Tengku Razaleigh. Kelemahan Kepimpinan ialah untuk melaksanakan visi asal UMNO ditubuhkan. Orang UMNO hari ini sanggup memberikan sokongan mereka kepada PAS dan PKR dan membelakangkan UMNO kerana mereka mempunyai persepsi bahawa Pembangkang itu lebih jujur, amanah, bersih dan adil. UMNO hari ini bertanggung jawab untuk membuktikan persepsi ini salah dan UMNO sebenarnya masih relevan.

UMNO didesak perlu menghapuskan persepsi ianya sebuah ‘parti elitis’ dan menangkis tohmahan bahawa UMNO hari ini lebih bersifat ‘liabiliti’, terutama sebagaimana yang dialami parti komponen BN.

“Dasar parti ialah untuk kepentingan Bangsa dan Negara, Bukan untuk Bangsa dan Negara lain”, sebagai gesaan terutama tindakan Kepimpinan hari ini dilihat memberikan kelebihan pada pihak lain, termasuk luar.

Diakhir ucapan, Tengku Razaleigh mengaris langkah yang perlu UMNO lakukan untuk kembali relevan:

1. UMNO perlu mengekalkan semangat Kebangsaan, tanpa mengadaikan roh Islam yang didukungnya

2. Kuatkan sistem oganisasi dengan elemen innovatif, dinamik dan proaktif mutu Kepimpinan

3. UMNO perlu ditingkatkan setara seluruh peringkat dan tidak bergelumang dengan persepsi seperti rasuah dan kronyism

Ini merupakan ucapan paling komprehensif Tengku Razaleigh pernah berikan, yang dibuat atas platform UMNO dalam konteks ‘membaikan’ parti nasionalis Melayu yang berusia 62 tahun itu.

sumber: http://bigdogdotcom.wordpress.com

No comments:

Blog Widget by LinkWithin