Berpegang kepada Islam bermaksud beriman atau yakin sepenuhnya dengan segala inti kandungan ajaran agama yang agung tersebut. Pegangan terhadap ajaran Islam ini hendaklah berteraskan keimanan kepada Allah S.W.T bahawa Dia telah memerintahkan kita untuk tunduk kepadaNya menerusi kepatuhan kepada titah perintahNya dalam al-Quran dan al-Sunnah.
Kita tidak menonjolkan pegangan kita kepada Islam ini kerana hendak menjaga hati rakyat, atau keyakinan pengundi atau ‘apa orang kata’ atau untuk meraih dan mengaut untung sesuatu habuan atau perniagaan. Kita tidak boleh berkempen kepada Islam supaya dapat mengukuhkan politik kita, atau melariskan jualan kita, atau meng’halal’kan kesalahan kita.
Berpegang dengan Islam sebagai agama yang diimani amatlah berbeza dengan berpegang dengan Islam sebagai alat mengauh atau meraih keuntungan tertentu. Pegangan Islam sebagai al-Din adalah jalan hidup para rasul dan pengikut mereka.
Firman Allah: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya Aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang lurus, (kepada) agama yang tetap teguh, iaitu agama Nabi Ibrahim yang tulus, dan dia bukanlah daripada orang-orang yang musyrik. Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan yang demikian itulah aku diperintahkan, dan aku adalah orang yang awal bersegera menyerah diri kepada Allah..
Katakanlah: Patutkah Aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia lah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh seseorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain; kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu ia menerangkan kepada kamu akan apa Yang kamu berselisihan padanya.(Surah al-Am’am: 161-164).
Jelas dari ayat ini, Islam adalah matlamat, bukannya alat. Islam itu dipegang atas kesedaran dan keyakinan bahawa itulah tuntutan dan itulah yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah pada hari akhirat kelak.
Demikian sepatutnya kita dalam berpegang dengan ajaran Islam ini. Walaupun setiap kita ada kelamahan dan kesilapan dalam hidup ini. Kita mungkin gagal untuk mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh, tetapi kita tidak boleh jadikannya alat meraih keuntungan. Kita mungkin ada dosa, tetapi kita tidak boleh menghalalkan dosa kerana kita telah melakukannya.
Maka, ketika kita berpegang atau beramal dengan mana-mana perkara dalam ajaran Islam hendak pegangan dan amalan itu dibina di atas keimanan yang membawa keikhlasan hanya kerana Allah. Di situlah datangnya rahmat dan keberkatan. Bukan kerana sebarang kepentingan yang mengatasi asas tersebut. Jika tidak agama ini menjadi mainan kelompok yang sentiasa mencari untung dan kesempatan.
Jika agama hanya alat, maka kita lihat bagaimana berbagai ubatan yang dijual pada hari ini yang menggunakan nama agama. Sehingga kononnya ada air ajaib yang dihasil dari tulisan al-Quran atas piring atau pinggan yang jika diminum memperolehi berbagai keajaiban yang jika para sahabah Nabi s.a.w masih hidup pun akan terkejut mendengarnya. Mereka pun tidak pernah mendapat jampi daripada Nabi s.a.w yang seistimewa itu.
Begitulah juga apabila al-Quran dijadikan alat bukan matlamat, maka kita dapati seseorang yang sepanjang hidupnya tidak pernah memperdulikan ajaran kitab agung itu, tiba-tiba apabila meninggal diupah orang untuk dibaca al-Quran di tepi mayatnya. Adakah al-Quran memberikan manfaatkan kepadanya, padahal selama ini dia langsung tidak pernah menghiraukan ajaran dan titah Allah dalamnya? Apakah jika mayatnya mendengar alunan al-Quran yang menyuruh dia bersolat, berpuasa, berzakat, menunaikan haji, amanah, adil, juga larangan berjudi, riba, arak, rasuah, khianat dan sebagainya, dia dapat bangun dari kematian yang telah datang kepadanya untuk melaksanakan semua arahan dan titah perintah itu?
Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w menyebut: “Al-Quran itu boleh menjadi hujah untuk membela kamu, atau untuk menentang kamu” (Riwayat Muslim). Namun, oleh kerana ada pihak yang membuat bisnes dengan ‘melelong pahala’, maka al-Quran menjadi alat untuk mengaut keuntungan, bukan pegangan kehidupan. Maka muncullah dalam masyarakat kita pembekal pahala yang boleh diupah dengan beberapa ribu ringgit yang menggunakan bacaan al-Quran untuk pembikinan pahala. Lalu pahala pun boleh diniaga dan akhirat pun boleh dibeli. Justeru itu Nabi s.a.w. pernah memberi ingatan: “Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).
Begitulah juga dalam pungutan zakat. Kempen ke arah zakat begitu hebat lebih daripada kempen kepada solat. Padahal solat adalah rukun kedua Islam selepas syahadah. Namun zakat adalah fulus, maka berbagai ayat al-Quran tentang dosa tidak membayar zakat pun dikeluarkan. Baguslah. Memang pun kewajipan zakat amat besar.
Namun tujuan zakat bukanlah untuk mengutip harta orang berada, tetapi untuk memastikan tiada jurang kekayaan yang menakutkan dalam masyarakat, untuk membersihkan jiwa, menghapuskan permusuhan antara yang miskin dan yang kaya, untuk memastikan prinsip bantu membantu dalam kebaikan dan taqwa ditunaikan dalam masyarakat.
Maka sepatutnya, bukan dosa tidak membayar zakat sahaja yang patut dikhutbahkan kepada masyarakat, tetapi dosa tidak mengagihkan zakat dengan cara yang betul juga patut diingatkan kepada pihak yang menguruskan. Jangan sampai zakat puluhan atau ratusan juta terkumpul, tiba-tiba cerita si miskin yang menderita masih banyak dan yang menguruskan zakat tidak pula sampai-sampai ke rumah mereka.
Bayangkanlah jika ratusan juta itu diagih secara tepat, apakah masih patut ada muslim yang merempat, tidak bersekolah dan bertukar pakaian? Patutkah ada muallaf yang masih hidup dalam kehinaan? Patutkah badan-badan dakwah masih meminta sedekah? Padahal, yang menguruskan nampaknya sudah ada yang bertukar dan bertambah kereta.
Apakah patut hanya dosa tidak bayar zakat sahaja yang ditonjolkan, sedangkan kita melupakan, atau kurang mengingatkan tentang dosa salah guna kuasa, rasuah, kronisme yang membelasah harta negara untuk kaum keluarga? Padahal kesemuanya dosa dan kesemuanya mengundang ketidakadilan kitaran ekonomi dalam negara. Namun, jika agama hanyalah alat, maka kita hanya ingatkan rakyat apa yang boleh untuk dikaut untung lalu kita tinggalkan apa yang kita rasa tidak untung.
Dalam politik, agama selalu menjadi mangsa. Berbagai nas dibaca menjelang pilihanraya. Ada yang ikhlas, ada yang salah guna. Dahulu ada sahabat saya yang sering membaca firman Allah: (maksudnya) “Sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka merekalah orang-orang yang kafir” (Surah al-Maidah, ayat 44) dan firman Allah: (maksudnya) “Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman, dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun” (Surah Ali ‘Imran ayat 28).
Lalu berbagai orang yang dilebel kafirkan olehnya. Saya pernah meminta agar dia meluaskan pengetahuannya mengenai ayat-ayat tersebut supaya dia tidak terlalu jumud dan sempit dalam tafsirannya. Tujuannya agar tidak dikafirkan orang lain dengan begitu mudah. Dia bantah saya, hampir saya pun dikafirkannya.
Namun hari ini, apabila apabila partinya berkongsi kuasa dengan bukan Islam, nadanya sudah berbeza. Saya berkata kepadanya: “apa jadi dengan nas-nas yang dulu?”. Katanya: “syeikh, kita jangan sempit sangat, mesti tengok berbagai perkara, bukan semua kita boleh buat”. Saya dengan sinis bertanya: “Tak jadi kafir ke kalau macam tu?”. Jawab dia: “Kena tengok keadaan la”. Saya diam. Ya, mungkin kafir dulu itu, kafir politik. Namun, begitulah nasib nas-nas al-Quran apabila ia dibaca untuk sesuatu kepentingan.
Agama dalam negara ini pun dalam banyak keadaan menghadapi nasib yang sama. Kadang-kala sebutan agama itu hanya sekadar penghias majlis, bukan prinsip yang dipegang. Macamlah mereka yang memulakan majlis dengan bacaan doa rasmi itu dan ini, namun perjalanan majlis tidak pula berteraskan prinsip agama.
Islam tidak menyuruh majlis mesti dimulakan dengan ‘doa rasmi’, tetapi menyuruh agar perjalanan sesuatu program berteraskan ajarannya. Berteraskan ajaran Islam bukanlah bererti kena ada ceramah agama, atau penonjolan kempen agama. Cukuplah sekurang-kurangnya tidak melakukan apa yang menyanggahi agama ini.
Maka pendirian pemimpin-pemimpin dalam negara ini pun ada yang bagaikan ‘sumpah-sumpah’ yang boleh merubah warna kulit berdasarkan keperluan majlis. Ada yang bercakap tentang rakyat jangan membazir, tetapi jika dilihat dalam majlis yang lain dia mengepalai pembaziran. Ada yang bercakap jangan rasuah dan amanah terhadap harta negara, tetapi dalam majlis yang lain merekalah juga yang menganugerahkan projek-projek kepada ‘anak-pinak’ dan ‘rakan-taulan’ dengan cara yang dipertikaikan.
Ada yang merasmikan musabaqah bacaan al-Quran dan orang yang sama juga akan menolak prinsip-prinsip al-Quran di majlis yang lain. Maka tidak hairanlah jika kita melihat wajah yang amat-amat berbeza antara bidang pendidikan, industri hiburan, perindustrian dan berbagai lagi. Sekejap macam nak ikut Islam, sekejap macam tidak mahu ikut langsung dan berbagai lagi.
Hari ini beras dan barangan mula naik. Nanti akan kedengaranlah forum-forum perdana, atau ustaz-ustaz tv berceramah; ‘jangan membazir’, jimat cermat, belanja berhemat dan berbagai lagi. Seakan agama ini hanya diperlukan ketika susah semata, tetapi ditinggalkan ketika senang. Atau seakan agama ini untuk mak cik-makcik di kampung sedangkan yang di atas tiada kena mengena.
Negara ini cukup kaya, jika diuruskan dengan penuh amanah sejak dulu, semua rakyat akan menikmati kekayaannya. Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul Aziz memerintah hanya tiga puluh bulan, tetapi kesemua rakyat merasa tidak layak menerima zakat di bawah pemerintahannya. Kewajipan adil dalam pengagihan kekayaan itu yang wajib diforumkan di tv dan radio dahulu, kemudian barulah disuruh rakyat berjimat cermat. Memang selama ini pun, mereka yang kekurangan itu telah pun berjimat cermat. Janganlah agama hanya alat untuk kepentingan tertentu, bukan dijadikan prinsip yang memandu perjalanan negara.
Allah menyebut tentang sikap manusia dalam al-Quran, firmanNya: (maksudnya) Dia lah Yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadanya semata-mata (sambil merayu dengan berkata):
“Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, Kami menjadi orang-orang yang bersyukur. Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar. Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan derhaka kamu itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri. (dengan itu kamu hanya dapat merasai) kesenangan hidup di dunia ; kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya kamu, maka Kami akan memberitahu apa Yang kamu telah lakukan. (Surah Yunus ayat 22-23)
Bertindak untuk kepentingan tanpa prinsip itu macamlah cerita Panglima Muda di Negera Entah Berentah yang menghunuskan keris menunjukkan keperwiraan. Namun, apabila dia merasakan pengundi negaranya ada yang tidak bersetuju, maka dia memohon ampunan maaf hanya kerana keris yang dihunuskan ke langit, belum pun ditikam ke perut. Maka dia yang ingin mendapat sanjungan Hang Berani telah bertukar menjadi Hang Takut. Namun, saya rasa kesalahan panglima Negara Entah Berentah memperalatkan keris itu tidaklah seburuk tindakan memperalatkan nas-nas agama.
dipetik dari:
laman web Minda Mufti
http://www.drmaza.com
Baca Lagi!