Bilangan Pengunjung:

Monday, May 19, 2008

Tun Dr. Mahathir Keluar UMNO, Pak Lah terus jadi Tunggul Kayu


Hari ini berita yang mungkin mengemparkan dan mengejutkan apabila Mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Muhammad istiharkan keluar daripada UMNO. Berita ini telah menjadi pilihan utama berita-berita stesen-stesen tv negara dan menjadi topik utama perbualan di kedai-kedai kopi di seluruh negara dan mungkin besok berita ini akan turut menghiasi dada-dada akhbar arus perdana dan dijadikan tajuk muka depan.

Tindakan Tun Dr. Mahathir mungkin juga boleh dilihat sebagai 'tekanan' yang diberikan ke atas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak memahami suara akar umbi yang rata-ratanya mahukan perubahan pucuk pimpinan di lakukan segera. Namun, tindakan Tun Dr. Mahathir itu tidak diendahkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malah dia terus mengekalkan status 'tunggul kayu' yang diberikan oleh akar umbi terhadapnya. Sememangnya akar umbi mahukan perubahan pucuk pimpinan tetapi suara akar umbi tidak sampai kerana suara akar umbi telah disekat oleh Presiden yang berkuasa.

Penulis meramalkan lebih ramai lagi ahli-ahli UMNO akan mengikut jejak langkah Tun Dr. Mahathir yang merupakan orang yang besar pengaruhnya di dalam UMNO, ini terbukti apabila mantan Menteri Besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid juga turut keluar daripada UMNO dan tidak mustahil selepas ini ramai lagi ahli-ahli UMNO akan keluar UMNO beramai-ramai selagi Pak Lah terus menjadi tunggul kayu dan mahu terus jadi Presiden dan juga Perdana Menteri.

Komen Tuan Guru Nik Aziz Tentang Tun Dr. Mahathir keluar UMNO

Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul am PAS mengatakan bahawa beliau lah orang yang paling gembira apabila Tun Dr. Mahathir Mohammad istiharkan keluar UMNO kerana Tun Dr. Mahathir orang yang berpengaruh dan dikenali dunia, pada masa ini orang yang ingin sertai UMNO tak payah sertai kerana Tun Dr. Mahathir pun dah keluar UMNO. Apabila ditanya adakah PAS berminat untuk menawarkan Tun Dr. Mahathir keahlian PAS, beliau berkata saya terima sesiapa sahaja nak menjadi ahli PAS.

Namun itu adalah pandangan Tuan Guru Nik Aziz sahaja, penulis berpendapat Tun Dr. Mahathir tidak akan menyertai mana-mana parti pembangkang tetapi sebaliknya hanya keluar UMNO untuk memberi desakkan kepada Pak Lah agar segera meninggalkan kerusi empuk Presiden tetapi sekiranya Pak Lah terus menjadi tunggul kayu tidak mustahil aktiviti keluar UMNO beramai-ramai akan dicatatkan di dalam buku sejarah UMNO.

Apa Tindakan Yang Mesti Pak Lah Lakukan?

Pada pandangan penulis untuk menyelesaikan perkara ini dengan segera hendaklah diadakan satu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dengan segera kerana kehilangan Tun Dr. Mahathir umpama kehilangan emas yang bernilai berbillion ringgit di dalam simpanan. Kehilangan Tun Dr. Mahathir juga umpama meletakkan UMNO terus ke dalam lubang kubur yang sudah sedia digali oleh Pak Lah. Apa yang jelas di sini Pak Lah ada tiga Pilihan iaitu Pertama Mengadakan Perhimpunan Agung Luar Biasa atau Mengawalkan Perhimpunan dan Pemilihan Agung UMNO yang dijadualkan pada bulan Disember ini dan juga pilihan terakhir ialah 'menguburkan' UMNO dengan terus menjadi 'tunggul kayu' dan memekakkan telingga daripada mendengar 'teriakan' akar umbi yang mahukan perubahan pucuk pimpinan.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin