Bilangan Pengunjung:

Thursday, May 1, 2008

Siaran Langsung Persidangan Parlimen Wajar Diteruskan

Penulis pada kali ini ingin mengetengahkan isu berkaitan dengan sidang Parlimen yang kini disiarkan secara langsung di RTM1 selama 45 minit. Kelmarin ada pertikaman lidah berlaku di antara Karpal Singh, Bukit Gelugur dan Datuk Bung Mokhtar Radin, Kinabatangan, di mana Karpal Singh menggelar Datuk Bung Moktar Radin sebagai Big Foot kerana menganggu soalanya yang mempersoalkan kedudukan Datuk Paduka Ibrahim Ali kerana berada di dewan sebagai Ahli Parlimen Bebas sedangkan DP Ibrahim Ali menang atas tiket PAS.

Berkenaan dengan isu DP Ibrahim Ali ini, sepatunya ia sudah tidak menjadi isu kerana sebelum Pilihan Raya Umum 12 baru-baru ini, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menerangkan bahawa DP Ibrahim Ali adalah Calon Bebas yang bertanding atas tiket PAS. Kemudian diikuti pula oleh kenyataan media DP Ibrahim Ali selepas beliau berjaya memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas yang mengatakan beliau hendak menjadi Ahli Parlimen Bebas. Jelas di sini DP Ibrahim adalah ahli Parlimen Bebas dan sesiapa yang mempersoalkanya mungkin dia tak habis sekolah.

Berbalik kepada Siaran Langsung Sidang Parlimen yang disiarkan oleh RTM1. Penulis berpendapat siaran langsung ini wajar diteruskan malah wajar ditambah waktu penyiaranya bagi memperlihatkan perangai sebenar ahli-ahli Parlimen dari seluruh negara kerana di dalam sistem demokrasi ini menuntut rakyat menjadi juri, jadi adalah lebih elok sekiranya siaran ini diteruskan dan ditambah masa siaranya.

Tak perlulah kita menjadikan pertikaman lidah Karpal dan Bung Moktar Radin sebagai kayu pengukur untuk menentukan kewajaran siaran langsung ini kerana rakyat memang tahu di dalam Parlimen memang penuh dengan pancaroba. Berikanlah peluang kepada rakyat untuk mengadili pemimpin yang mewakili kawasan mereka berhujah kerana inilah peluang terbaik untuk menjadikan rakyat lebih 'telus' di dalam memilih pemimpin mereka.

Penulis membantah sekeras-kerasnya sekiranya Siaran Langsung Sidang Parlimen ini dihentikan kerana ia telah menutup peluang rakyat di dalam proses mengadili Ahli Parlimen yang mewakili kawasan mereka. Penulis memohon Siaran Langsung Sidang Parlimen ini diteruskan kerana "Hanya jauhari yang mengenal manikam". RTM1 tidak akan rugi apa-apa sekiranya terus menyiarkan siaran langsung ini malah lebih mengutungkan lagi memandangkan rating mereka semakin meningkat selepas Ahmad Shabery Cheek mengambil alih Kementerian Penerangan.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin