Bilangan Pengunjung:

Thursday, May 8, 2008

Politik Pembangunan Sudah Tidak Relevan?

Bahang Pilihan Raya Umum 12 masih lagi terasa walaupun pilihan raya itu sudah hampir 3 bulan berlalu, namun seperti kata pepatah tempat jatuh lagi dikenang inikan pula Barisan Nasional kehilangan kuasa di 4 negeri selain gagal di dalam misinya untuk menawan Kelantan.

Penulis berpendapat punca berlakunya tsunami politik baru-baru ini ialah politik pembangunan sudah tidak relevan masih dijadikan produk Barisan Nasional dan di jaja ke seluruh negara dengan pembentukkan Koridor-koridor pembangunan di seluruh Malaysia. Penulis berharap pembaca tidak salah faham, penulis bukanya menolak pembangunan dan penulis memang akui pembangunan ada faedah yang tersirat. Faedah yang tersirat itu gagal disuratkan oleh Rakyat kerana rakyat lebih suka melihat apa yang tersurat daripada apa yang tersirat.

Apa yang tersirat gagal dicungkil oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional sedia ada menyebabkan rakyat tidak mengetahui apa yang tersirat di sebalik projek-projek pembangunan yang menjadi produk jajaan Barisan Nasional saban kali pilihanraya, penulis akan terangkan apa yang tersurat dan memberi impak impak kepercayaan rakyat kepada Barisan Nasional.

Yang Tersurat:

Kenaikkan harga minyak memang membebankan rakyat tertutamanya rakyat yang berpendapatan rendah, sedangkan menteri-menteri menaiki kereta mewah yang selesa tanpa perlu membayar minyak kerana ianya telah dibiayai oleh kerajaan ini membuatkan rakyat merasakan ada jurang pendapatan yang sangat tinggi antara pemimpin dengan rakyat, kerana kalau dikira pemimpin dulu-dulu sanggup bersusah payah membanting tulang untuk berkhidmat kepada rakyat sebab itulah wakil rakyat dulu-dulu dipanggil Yang Berkhidmat bukan Yang Berhormat oleh rakyat.

Kenaikkan barang keperluan juga menjadi faktor penyumbang kenapa rakyat sudah mula tidak mempercayai kewibawaan kerajaan pimpinan Barisan Nasional ini, sudahlah harga minyak melambung tinggi, harga barang keperluan juga melambung ini bermakna rakyat sudah jatuh ditimpa tangga sehinggakan kemarahan mereka membuak-buak lalu mereka terjemahkan di dalam bentuk pangkah bulan, mata ataupun roket semasa pilihan raya umum baru-baru ini.

Isu-isu yang timbul gagal dijawab dengan sempurna oleh pemimpin Barisan Nasional, menyebabkan Pakatan Pembangkang atau kini dikenali sebagai Pakatan Rakyat mempergunakan dan menjaja isu-isu tersebut di seluruh negara dan menjadikan ianya sebagai produk baru mereka untuk memenangi hati rakyat.

Penyalahgunaan kuasa oleh beberapa Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di seluruh negara telah juga menjadi punca kemarahan rakyat yang merasakan mereka ditindas, JKKK sepatutnya menjadi duta bagi kerajaan bukan menjadi 'duri dalam daging' bagi kerajaan. Penulis tidak nafikan memang ada Pengerusi JKKK yang memilih ideologi politik untuk menyalurkan bantuan kerajaan tetapi Alhamdullilah Pengerusi JKKK kawasan penulis nampaknya tidak menyalahgunakan kuasa dan tidak hanya menyalurkan bantuan kepada penduduk yang menyokong kerajaan sahaja tetapi maklumat yang penulis terima daripada kampung yang berhampiran dengan kampung penulis mendapati bahawa JKKK kampung itu memilih ideologi politik untuk menyalurkan bantuan kerajaan. Penulis berpendapat sebagai rakyat mereka juga berhak mendapat bantuan kerajaan walaupun mereka tidak menyokong kerajaan. Usahlah takut untuk 'melepaskan anjing yang tersepit' kerana kalau kena gigit pun sakit itu akan cepat sembuh tetapi sekiranya kita tidak melepaskan anjing tersepit, mungkin anjing yang tersepit itu akan membaham kita secukup-cukupnya sekiranya anjing itu berjaya melepaskan diri tanpa bantuan kita.

Pemimpin Barisan Nasional iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan juga Ahli Parlimen yang sukar ditemui, sememangnya ini berlaku di Kelantan di mana ADUN sukar dijumpai oleh rakyat kerana banyak yang berumah di Kuala Lumpur sedangkan pemimpin PAS lebih senang dilihat berada di kedai-kedai kopi untuk bertanyakan masalah rakyat. Bagi Ahli Parlimen mungkin boleh dimaafkan kerana mereka ada tugas sebagai pembahas di Parlimen namun bagi ADUN penulis berpendapat tiada maaf bagimu kerana nak buat apa ADUN berada di Kuala Lumpur sedangkan mereka sepatutnya berbahas di Kota Bharu, Adakah ini lojik? Penulis memang tidak nafikan ada juga ADUN Barisan Nasional yang senang dilihat dan dijumpai oleh rakyat contohnya Besut di mana ADUN BN biasa dan yang bertaraf Exco boleh kelihatan di kedai-kedai kopi untuk permasalahan rakyat malahan Mantan Menteri Besar Terengganu sendiri pun senang di lihat berada di kawasanya walaupun sibuk dengan tugas-tugas rutin sebagai Menteri Besar di samping menjadi Khatib sewaktu Solat Jumaat di masjid kawasan Beliau. Sepatutnya semua ADUN BN perlu mencontohi mereka ini agar mendekatkan rakyat dengan pemimpin.

Tindakan beberapa pemimpin BN terutamanya BN Kelantan yang menghina Ulama' seperti Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat sedikit sebanyak menyumbang kepada kemarahah orang Kelantan kerana Ulama' ialah perwaris Nabi, mengapa perlu kita menghina ulama' demi politik? Penulis tidak nafikan tiada salahnya jika kita hendak mengkritik tetapi biarlah berpada-pada, kalau nak kritik habis-habisan carilah orang lain bukan Tok Guru orangnya. Penulis sendiri sudah berkali-kali mempersoalkan tindakan pemimpin BN itu tetapi ianya tidak diendahkan dan dipandang sepi oleh pemimpin BN itu kerana semangat perjuangan mereka melebihi segala-galanya dan lupa batas-batas kempen pilihan raya di antara sesama umat Islam.

Yang Tersirat:

Projek pembangunan memberi faedah yang tersirat kepada rakyat antaranya ialah meningkatkan pendapatan rakyat, menambahkan peluang pekerjaan, menambahkan peluang perniagaan, menaikkan taraf ekonomi rakyat dan juga pelbagai-bagai lagi faedah yang bakal diterima oleh rakyat sekiranya pembangunan berada di kawasan mereka, namun perkara ini sudah gagal diterangkan oleh Pemimpin Barisan Nasonal sehinggakan rakyat nampak pembangunan buat apa sekiranya kos sara hidup meningkat.

Kesimpulan

Barisan Nasional perlu mencari 'produk' baru bagi mengantikan 'produk pembangunanya' yang sudah lekang dek hujan dan lapuk dek panas kerana ianya sudah tidak sesuai lagi digunakan untuk menghadapi senario politik pada hari ini. Penulis tidak menyekat sebarang projek pembangunan tetapi keselesaan rakyat perlu di dahulukan sebelum membuat apa-apa projek pembangunan. Penulis teringat denga kata-kata seorang Pengurus Agensi Insurans Nuzihan Consultancy Sdn Bhd, Nuzihan Zakaria yang mengatakan "seseorang agen insurans itu mengharapkan hasil yang berlainan dengan cara yang sama ialah orang gila". Ada kebenaran juga kata-kata Encik Nuzihan itu, walaupun ianya ditujukan kepada ejen insurans yang berorientasikan perniagaan namun tidak semestinya kita tidak boleh adaptasikan kepada politik kerana Politik sebenarnya adalah perniagaan, Ahli Politik sebagai peniaga dan rakyat sebagai Pelanggan dan Pelanggan sentiasa betul, jadi tiada salahnya Barisan Nasional menggunakan pendekatan lain sedikit pada masa akan datang dan janganlah lagi menjual produk yang orang sudah tidak mahu beli ini.

Apa yang baik datang dari Allah tuhan seru sekian Alam, apa yang buruk datang daripada penulis kerana penulis adalah insan biasa yang tidak lekang melakukan kesilapan walaupun sebesar zarah. Penulis berharap artikel ini dapat dijadikan rujukan kepada rakyat dan juga pemimpin dan apa yang baik jadikan tauladan, apa yang buruk jadikan sempadan.

2 comments:

Mohd Nurul Amin said...

Nampaknya lebih banyak yang tersirat dari yang tersurat.. so boleh paham la kenapa rakyat terutama orang2 muda macam aku ni tak menyokong kerajaan.

Kau jangan umpamakan rakyat yang menerima bantuan kerajaan tetapi tidak menyokong kerajaan sebagai 'anjing yang tersepit'. Itu sudah menjadi tanggung jawab kerajaan membantu semua rakyat tanpa mengira fahaman politik. Kerajaan BN dipertanggungjawabkan untuk membantu rakyat. Bukannya mempersoalkan kesetiaan rakyat. Rakyat ada hak nak sokong siapa-siapa.. Walaupun aku dapat biasiswa penuh JPA tapi tak perlu rasanya aku menyokong kerajaan. Hak akulah nak sokong mana-mana.

Kau punya blog tidak mencerminkan suara orang muda yang sebenarnya... Tukar nama lah.. nanti orang keliru

yiemega said...

saudara encik pundak..apa yang saya katakan anjing yang tersepit itu bukanlah orang yang tidak menyokong kerajaan...sebaliknya peribahasa yang selalu digunakan oleh JKKK ketika saya mengusulkan supaya JKKK lebih telus jadi bukan maksud saya untuk menghina orang yang tidak menyokong kerajaan yang menjadi maksud saya ialah untuk memperbetulkan tanggapan JKKK kerana anggapan mereka itu salah, saya berharap saudara faham kerana saudara sudah pun belajar tinggi-tinggi kalau saudara tak paham itu maknanya saudara kurang ajar...

Blog Widget by LinkWithin